Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:26 PM

Dedahkan nama pembangkang tersebut! - Rahman Othman

Oleh: Faisal Mustaffa

Timbalan Presiden Keadilan, Abdul Rahman Othman mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mendedahkan nama pihak-pihak dari parti pembangkang yang mensabotaj keputusan pilihanraya sehingga menyebabkan kehilangan 67 ribu undi pos.

Abdul Rahman yang merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional berkata bahawa Pengerusi SPR telah menuduh parti-parti pembangkang bertanggungjawab mengenai penculikan 67 ribu kertas undi pos daripada jumlah keseluruhannya sebanyak 200 ribu.

Abdul Rahman Othman menjawab kenyataan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman yang dikeluarkan pada 13 April lalu bahawa Rashid mungkin bermaksud Umno yang berada pada pihak pembangkang semasa pilihanraya lalu.

Justeru itu, Abdul Rahman Othman mendesak Pengerusi SPR itu supaya memberi nama-nama mereka yang dimaksudkan oleh SPR supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

Abdul Rahman berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR itu  hanyalah bertujuan untuk mengalih pandangan rakyat mengenai kepincangan yang telah berlaku sepanjang proses pilihanraya lalu.

Manakala, Dr Hatta Ramli, jawatankuasa PAS pusat menambah sekiranya tuduhan Rashid itu kepada Barisan Alternatif, maka penuduhan tersebut tidak logik.

"Sekiranya kami mempunyai kuasa berbuat demikian, kami akan simpan kertas-kertas undi di dalam peti undi untuk pengiraan dan bukannya disepahkan di tepi-tepi jalan", kata Hatta lagi.

Barisan Alternatif tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Rashid dan SPR sekiranya kenyataan yang telah dikeluarkan oleh SPR itu ditujukan kepada mereka.