Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:35 PM

Regu MB tanding naib presiden UMNO

Kenyataan terbuka Datuk Seri Tajol Rosli yang tidak berhasrat bertanding jawatan naib presiden Umno dianggapkan mengesahkan spekulasi wujudnya pakatan di kalangan menteri besar untuk menghadapi pemilihan parti kali ini.

Mereka dikatakan bersepakat untuk hanya mencalonkan seorang sahaja dari kalangan mereka bertanding naib presiden bagi mengisi kekosongan salah satu jawatan tersebut kerana Datuk Seri Najib Razak dijangka dipilih sebagai timbalan presiden.

Selain itu, salah seorang daripada menteri besar juga dijangka dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang kini disandang oleh Datuk Hishamuddin Hussein.

Tajol Rosli yang juga Menteri Besar Perak sebelum ini disebut-sebut sebagai salah seorang calon yang berminat bertanding mengisi salah satu kekosongan jawatan tersebut.

Dua lagi yang turut disebut berminat bertanding jawatan naib presiden ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Berikutan kenyataan Tajol Rosli itu, kini tinggal Abdul Ghani dan Mohd Ali yang dijangka dicalon bertanding merebut salah satu jawatan naib presiden tersebut.

Bagaimanapun, menurut sumber-sumber, timbul juga desas-desus mengenai kemungkinan dua nama dari kalangan Menteri Besar bakal dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden.

Katanya, selain jawatan itu yang dikosongkan oleh Najib, kedudukan seorang lagi penyandangnya, Tan Sri Muhamad Muhd Taib juga dikatakan tidak begitu kukuh, kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka tidak bermasalah mempertahankan jawatan naib presiden. Ini bermakna ada "kekosongan" bagi dua lagi jawatan tersebut," katanya.

Sementara itu, Bernama memetik Tajol Rosli sebagai berkata beliau hanya menawar diri untuk dipilih ke Majlis Tertinggi parti.

"Saya tidak mahu bertanding naib presiden, Majlis Tertinggi (MT) cukuplah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Ipoh hari ini.

Dalam pemilihan Umno pada tahun 2000, Tajol Rosli berjaya menduduk tempat ketiga teratas bagi jawatan MT Umno dengan memperolehi 1,439 undi.

Ditanya kemungkinan pemimpin-pemimpin lain dari Perak bertanding jawatan naib presiden, Tajol Rosli berkata itu terpulang kepada penilaian anggota parti dan pemimpin itu sendiri.

Perak mempunyai 24 bahagian Umno, yang ketiga terbanyak di kalangan negeri-negeri selepas Johor yang mempunyai 26 dan Sabah 25.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim merupakan orang pertama yang menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti kali ini.

Pengumuman beliau Sabtu lalu, untuk bertanding jawatan tersebut dikatakan telah mengejut banyak pihak, terutama di kalangan kepimpinan Umno di Kelantan.

Sementara itu, sumber-sumber yang rapat dengan Umno Selangor menjangka Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo akan dicalonkan untuk bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.

"Walaupun beliau telah menyatakan tidak berhasrat untuk berbuat demikian, tetapi para ahli berhak mencalonkannya jika mereka mahu beliau memimpin pergerakan itu," kata sumber-sumber tersebut.

Katanya, Mohd Khir sudah pasti bersedia menimbang bertanding jawatan tersebut sekiranya mendapat pencalonan yang di luar dugaan.

Malah, kata sumber-sumber itu, Hishamuddin sepatutnya menimbang bertanding jawatan naib presiden sepertimana yang dilakukan oleh ketua-ketua pergerakan itu sebelumnya.

"Biasanya selepas memimpin pergerakan itu selama dua penggal, ketuanya akan bertanding jawatan yang lebih tinggi, iaitu naib presiden parti.

"Jika beliau benar-benar serius untuk bertanding jawatan tersebut, kami menjangka beliau turut berpeluang menang dengan sokongan padu daripada ahli-ahli pergerakan pimpinannya itu," tambah sumber-sumber itu.