Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:36 PM

Kementerian Pendidikan gagal bentuk peribadi pelajar- Teras

Setiausaha Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam kenyataan medianya menggesa pihak Kementerian Pelajaran mengkaji semula semua aspek pembentukan disiplin pelajar dalam sistem pendidikan yang ada masa kini.

Ahmad Tarmizi dengan tegas berkata, Kementerian Pelajaran bertanggungjawab penuh terhadap keganasan pelajar dan perlu mengambil langkah memulihkan akhlak pelajar yang terlibat. Teras tegas didalam isu ini, dan tidak akan bersetuju dengan tindakan memindahkan pelajar ke sekolah lain atau membuang pelajar dari sekolah atas alasan disiplin kerana tindakan sedemikian hanya merupakan langkah memindahkan masalah dan bukannya menyelesaikan masalah.

Ahmad Tarmizi mempersoalkan apa fungsi guru-guru kaunseling sepenuh masa dan guru-guru disiplin di semua sekolah-sekolah kebangsaan, sedangkan kegiatan samseng masih berleluasa.

Menurut beliau,  sistem pendidikan kebangsaan masih gagal mewujudkan pembentukan sahsiah pelajar yang seimbang dan penekanan hanya kepada aspek akademik semata-mata.

Sistem pendidikan di negara kita tidak menekankan pendidikan agama dan pembentukan jati diri pelajar, sebaliknya sistem pendidikan negara kita  hanya menekankan pada mata pelajaran seperti sains dan matematik, dengan ini sudah pasti akan melahirkan sahsiah pelajar yang mudah dipengaruhi oleh unsur negatif dan gejala  samseng di sekolah.

"Walaupun Teras berpendapat bahawa pengaruh dari rancangan TV, filem dan permainan video yang banyak unsur ganas juga memberi kesan kepada pembentukan tingkah laku di kalangan pelajar dan remaja, Teras juga mendapati wujudnya kecenderungan untuk mengkesampingkan pembentukan moral dan agama dalam sistem pendidikan yang ada dalam negara sekarang," katanya.

Sehubungan itu, Teras menyeru pihak Kementerian Pelajaran supaya menilai semula perjalanan dan orientasi pembelajaran di sekolah yang gagal melaksanakan konsep keseimbangan pendidikan seperti yang kehendaki dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Teras berharap Kementerian Pelajaran mengkaji semula sistem kurikulum yang terlalu berat dengan pelbagai mata pelajaran yang menyebabkan wujud ketegangan dalam emosi dan mental pelajar akibat dari orientasi pendidikan yang terlalu menekankan pencapaian akademik.

Teras beranggapan insiden keganasan di sekolah-sekolah  adalah fenomena yang berleluasa dan Kementerian Pelajaran harus bertanggungjawab di atas insiden ini. Namun jarang sekolah yang mahu mendedahkannya untuk menjaga nama dan imej sekolah.