Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:27 PM

Bekas tahan ISA saman kerajaan, Norian Mai

6 orang bekas tahan ISA telah menfailkan saman terhadap kerajaan, Menteri Dalam Negeri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Polis Negara Norian Mai.

Kes tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh peguam mereka.

Bekas tahanan ISA tersebut, telah menamakan ketiga-tiga mereka yang dikatakan bertanggunjawab keatas tangkapan dan penahanan meraka yang tidak menurut undang-undang selama 60 hari di bawah seksyen 73, dan dilanjutkan lagi selama 2 tahun di bawah seksyen 8 undang-undang keselamatan, lima daripada mereka.

Mereka juga menyaman Norian secara persendirian, kerana kenyataan yang dibuat oleh beliau kepada pihak media pada April 2001, di mana beliau mendakwa mereka yang ditahan pada 10 dan 11 April 2001, merupakan pengganas yang cuba menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan.

Antara yang mengemukakan saman tersebut ialah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua, Ketua Pemuda Ezam Mohd Noor, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Dr.Badrolamin Bahron dan Saari Sungib dan juga kolumnis Malaysiakini, Hishamuddin Rais.

Kelima-lima mereka telah ditahan di bawah ISA di Kem Tahanan Kemunting Taiping selama 2 tahun dan telah dibebaskan pada Jun tahun lalu.

Mereka yang turut memfailkan saman ialah Badarudin Ismail, Exco Pemuda Ghani Haroon dan N.Gobalakrishnan yang turut ditahan dibawah seksyen 73 selama 45 hari dan 60 hari.

Di dalam sidang akhbar selepas itu, peguam mereka S.Sivarasa berkata, saman ini dikemukakan adalah untuk membuktikan dakwaan kerajaan bahawa tangkapan mereka ini adalah berdasarkan "tipu" dan bermotifkan politik semata-mata.

"Mereka langsung tidak diberikan peluang untuk dibicarakan, jadi kita mengemukakan saman ini untuk memberi peluang kepada mereka menyatakan pendirian mereka dimahkamah." Tambah beliau.

Menurut peguam terbabit, ini merupakan kali pertama tahanan ISA menyaman kerajaan atas dakwaan jahat yang telah dibuat melalui media.

Tambahnya, saman ke atas Norian dibuat atas tuduhan yang dibuat oleh beliau yang telah disiarkan di akhbar-akhbar seperti NST, Star, Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro.

Melalui sidang media, Norian mnejelaskan bahawa tangkapan dan penahanan mereka perlu dibuat kerana mereka telah merancang untuk menggulingkan kerajaan melalui tindakan militan dan dalam usaha memperolehi senjata seperti bahan letupan dan pelancar roket.

Sementara itu menurut Sivarasa, kes ini mempunyai peluang yang cerah untuk dipercepatkan kerana ianya merupakan satu kes yang melibatkan kepentingan umum.