Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:27 PM

Mafrel akan tanamkan pendidikan Pilihanraya

Oleh: Faisal Mustaffa

Selepas didapati banyak penyelewengan yang berlaku semasa Pilihanraya Umum 11 lalu, Mafrel, sebuah badan bebas yang mahukan pilihanraya bebas dan adil akan meneruskan agenda seterusnya iaitu mendidik pengundi dan penyokong mengenai penuntutan sebuah pilihanraya yang bebas dan adil.

Setiausaha Mafrel, Khairul Anuar berkata, pengetahuan mengenai pentingnya mempunyai sebuah proses pilihanraya yang adil supaya kemudian hari para pengundi akan dapat mempunyai kekuatan massa yang bukan menyokong membuta tuli tetapi terdidik dengan prinsip yang bebas dan adil.

Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Jonah telah merumuskan di mana selepas banyak pemerhatian dijalankan, tiba masanya untuk sistem fundamental yang digunapakai dikaji semula.

Mafrel menyifatkan SPR tidak serius dalam menangani pilihanraya sedangkan ianya suatu yang amat mustahak.

Khairul Anuar mengambil cotoh kes 67,000 undi pos yang telah hilang dalam simpanan dan SPR gagal menanganinya. “Ini suatu kes yang amat serius”, ujarnya.

Secara peribadi, Khairul Anuar telah menyangkal Dr Mahathir yang mempertaruhkan demokrasi. Menurut beliau, falsafah yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai sempit dan ianya sangat mirip kepada pemikiran tipikal seorang diktator untuk mempertahankan kuasa.