Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:29 PM

Mahkamah tidak boleh dipercayai lagi

Jurucakap sebuah pertubuhan yang memperjuangkan kebebasan Anwar, Gerakan Anwar Bebas (GAB), Badrul Hisham Shaharin dalam kenyataannya, memberitahu, GAB tidak meletakkan  harapan yang tinggi kepada mahkamah Malaysia di peringkat mana pun untuk berlaku adil pada Anwar.

Badrul Hisham mengingatkan, bahawa Anwar dikurung melalui sebuah mahkamah yang tidak adil dengan proses perbicaraan yang tempang .

"Perbicaraan Anwar menyaksikan reka cipta pertuduhan yang melibatkan Jabatan Peguam Negara dan polis, hakim berat sebelah, ugutan terhadap saksi dan peguam, halangan mengemukakan saksi serta kecacatan perundangan dan hak asasi lain hasil konspirasi politik yang direncanakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," dakwa beliau.

Oleh itu, mahkamah tidak boleh dipercayai lagi, untuk memberi walau seinci pun keadilan kepada tokoh pejuang yang cekal seperti Anwar.

Tambah beliau, Abdullah Badawi hanya meneruskan dasar lapuk yang ditinggalkan Mahathir untuk terus mendera Anwar

Menurut Badrul, Abdullah Badawi tidak berusaha membawa perubahan dengan  membebaskan Anwar malah mengambil keuntungan politik

"Abdullah  akan terus membiarkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu terpenjara," tambah beliau.