Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:30 PM

Wisma Anwar Ibrahim pemangkin gerakan refomasi

Presiden Parti Keadilan Rakyat Malaysia (keADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan kewujudan Wisma Anwar Ibrahim di Seremban adalah sebagai pemangkin kepada Gerakan Reformasi di Malaysia.

Menurut beliau, wisma tersebut akan menjadi sebuah pusat bagi aktivis, penggiat dan penyokong Gerakan Reformasi mengakses maklumat mengenai Gerakan Reformasi terutama sekali selepas peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas merasmikan Bangunan Wisma Anwar Ibrahim, di Taman Desa Puteh, Rasah, Seremban malam tadi. Perasmian tersebut diadakan semalam bersempena mengingati tragedi 'Black 14' dan bersempena ulang tahun ke-5 Gerakan Reformasi.

Turut hadir dalam upacara perasmian wisma tersebut ialah, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakop, Ketua Penerangan Pemuda keADILan Malaysia, Badrul Hisham Shaharim, Ahli Majlis Tertinggi Dr Badrulamin Bahron dan beberapa pemimpin serta kira-kira 700 penyokong parti.

Dr Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, Wisma Anwar Ibrahim yang juga dinamakan Pusat Akses Gerakan Reformasi Malaysia (PAGER) akan menjadi sebuah wisma yang menggerakkan segala aktiviti parti KeADILan dan parti gabungan di dalam Barisan Alternatif bagi tujuan penerangan gerakan reformasi.

Justeru, beliau menyeru kepada penggiat reformasi dan rakyat yang cintakan keadilan, agar memanfaatkan kewujudan wisma tersebut dalam usaha mereformasikan kerajaan korupsi yang ada sekarang, kepada kerajaan reformasi yang lebih telus dan mengamalkan prinsip keadilan pimpinan BA.

Sementara itu, Dr Rosli menegaskan, penubuhan wisma tersebut adalah menunjukkan lambang kesinambungan perjuangan Anwar dalam mereformasikan pemikiran rakyat Malaysia.

Di samping itu, ia juga menunjukkan kesinambungan idea dan inisiatif Almarhum bekas Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, yang mencetuskan Gerakan Reformasi dalam usaha membela Anwar yang disifatkan tertindas dengan difitnah dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

"Beliau adalah korban politik dan keangkuhan kerajaan Barisan Nasional (BN), justeru kewujudan wisma ini sedikit sebanyak akan memberi sinar kepada perjuangan reformasi dan aktivis menggiatkan usaha memantapkan Gerakan Reformasi," tegasnya lagi.

Wisma Anwar Ibrahim merupakan sebuah pusat gerakan reformasi yang mempunyai sebuah dewan yang mampu memuatkan seramai 500 pengunjung.

Wisma tersebut mempunyai ruang pejabat, bilik mesyuarat, pusat aktiviti 'indoor game' dan perpustakaan yang dinamakan 'reformasi resource centre' yang boleh dimanfaatkan sebagai pusat rujukan gerakan pembebasan Anwar dan reformasi.