Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:31 PM

Pemuda DAP Mengecam pengurusan PLKN

Oleh: Faisal Mustaffa

Pemuda DAP (Dapsy) menyifatkan masalah kekurangan perancangan dan pengurusan berkualiti yang mencukupi menjadi punca utama remaja tidak mahu menyertai program Latihan Khidmat Negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dapsy itu berlanjutan daripada kenyataan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Prof Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri yang mendakwa punca asal remaja tidak mahu menyertai program tersebut sebagai tidak patriotrik.

Dapsy menganggap kenyataan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara itu sebagai tidak adil.

Dapsy juga beranggapan bahawa tindakan Majlis itu untuk membawa 10,000 peserta yang gagal melaporkan diri termasuk 2,700 daripadanya yang telah dihubungi tetapi masih gagal mendaftar  ke mahkamah sebagai tidak adil kerana berkemungkinan besar kerana masalah teknikal walaupun tahu nama mereka tersenarai.

Kenyataan Dapsy menyebut perkara yang lebih mustahak perlu dilakukan oleh Majlis Latihan Khidmat Negara adalah masalah serius di kem-kem latihan serta memulihkan keyakinan ibubapa terhadap program tersebut.

Sekiranya perancangan terutamanya proses pengambilan peserta berjalan baik termasuk masa yang diberikan mencukupi, Dapsy percaya masalah peserta melaporkan diri tidak akan berlaku.