Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:32 PM

Kerajaan amalkan pendakwaan terpilih

Kerajaan hari ini didakwa melakukan pendakwaan terpilih terhadap dua bekas ahli Dewan Rakyat PAS dan KeADILan  dalam kes tuntutan berlebihan perjalanan atas urusan kerajaan.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar menegaskan, pendakwaan ke atas bekas ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohammad dan bekas ahli Parlimen Kota Bharu, Haji Ramli Ibrahim hanyalah satu tindakan politik untuk memburukkan pembangkang.

Sepatutnya kerajaan mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghadapkan 15 lagi bekas ahli parlimen BN jika benar-benar kerajaan di bawah Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi mahu membersihkan pentadbiran yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob pula menegaskan, pihaknya menggesa BPR segera mengeluarkan kenyataan berhubung status 15 lagi bekas ahli parlimen BN yang terlibat dengan kes tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, pihaknya mahu pendakwaan turut dilakukan keatas lima belas lagi individu yang disenaraikan oleh bekas Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar dalam Sidang Dewan Rakyat yang lalu.

Lima belas lagi yang masih belum didakwa ialah Ahli Parlimen Lubuk Antu, Jawah Gerang (empat kali membuat tuntutan melebihi RM10,000); Abdul Rahman Yusof (Kemaman - dua kali) serta masing-masing sekali oleh Abdul Fatah Harun (Rantau Panjang); Dato' Lau Hoi Chew (Sibu); Dato' Mastika Junaidah Husin (Arau); Kong Cho Har (Lumut); Hoo Seong Chang (Kluang); Lim Bee Kau (Padang Serai); Goh Kheng Huat (Nibong Tebal); Ramli Ibrahim (Kota Bharu); Abu Bakar Othman (Jerlun); Mohd Nasir Che Daud (Kuala Krai); Dr James Dawos Mamit (Mambong); Jimmy Donald (Sri Aman) dan Ronald Kiandee (Beluran).

 Apandi didakwa dengan 13 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba memperdaya Parlimen dengan mengemukakan tuntutan perjalanan sejak Februari 2002 hingga Julai 2003 bernilai kira-kira RM30,500.

Sementara Ramli pula di dakwa dengan satu pertuduhan melibatkan pemalsuan tuntutan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Kota Bharu ke Kuala Lumpur pada 25 dan 27 Oktober 2002 bernilai RM792.

Mereka, masing-masing bekas Ahli Parlimen PAS dan Parti Keadilan Nasional, ditahan BPR  selepas diminta hadir ke ibu pejabat badan itu di Putrajaya untuk memberi penjelasan berhubung tuntutan berkenaan.

Mereka di tahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mengambil keterangan mereka mengikut Seksyen 45 (3) Akta Pencegah Rasuah 1997.

Menurut Pendakwaraya, Stanley Agustine, mereka dituduh kerana mengemukakan borang tuntutan dengan butiran perbelanjaan penginapan dan perjalanan yang cuba memperdaya prinsipal (Parlimen).

Dokumen tuntutan perjalanan mereka itu disemak mulai Januari hingga Oktober 2002 dan Januari hingga Jun 2003. Daripada jumlah itu, BPR dapat menyelesaikan 11 kes, manakala lima lagi memerlukan siasatan lanjut.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 11 C Akta Pencegah Rasuah 1997 kerana kesalahan dengan niat hendak memperdayakan prinsipal (Parlimen) menerusi resit, akaun atau dokumen lain dan yang mengandungi pernyataan palsu atau silap atau tidak lengkap.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan didenda sehingga lima ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Ramli dan Apandi dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing sebanyak RM10,000 sementara hakim mengarahkan semua dokumen perjalanan kedua-dua tertuduh diserahkan kepada Mahkamah

Sementara itu Hakim Rosenani menetapkan 28, 29 September dan 11,12 Oktober 2004 bagi perbicaraan kes melibatkan Ramli dan 6,7,26 dan 27 Oktober bagi perbicaraan kes Apandi. 

Kedua-dua tertuduh diiringi oleh peguam, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Husam Musa, Salahuddin, Exco Pemuda PAS Pusat, Hanipa Maidin; AJK Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmood dan beberapa penyokong PAS.