Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:33 PM

BPR tahan peguam sebelum buat siasatan

Jawatankuasa Majlis Peguam Kedah/Perlis sebulat suara meluluskan satu resolusi dalam mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM), menyelar penangkapan secara sewenang-wenangnya dan tidak menurut undang-undang dua orang ahlinya oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam dua kejadian yang berasingan.

Dalam mesyuarat tersebut yang hanya membincangkan perkara ini sahaja  telah dihadiri oleh 170 orang ahlinya.

Apabila dihubungi, Pengerusi Jawatankuasa Vazeer Alam Mydin Meera berkata, ahli majlis peguam amat mengambil berat mengenai perkara tersebut . Beliau berkata, tangkapan dan penahanan kedua-dua peguam tersebut tidak sah dan dibuat tanpa sebab yang munasabah.

"Penyiasatan yang teliti tidak dibuat sebelum mereka ditahan. Ahli-ahli kita sebulat suara merasakan penangkapan mereka dibuat secara sewenang-wenangnya" kata beliau.

Beliau mendakwa, badan tersebut telah menyalahgunakan kuasa mereka, kerana penangkapan tersebut dibuat hanya berdasarkan laporan berat sebelah yang dibuat kepada BPR, dan ianya tidak dapat dipastikan kesahihan dan kebenaran laporan tersebut.

"Kejadian yang sebegini hanya akan memberi kesan yang buruk kepada kami, lebih-lebih lagi mereka yang menjalankan perniagaan mereka di bandar-bandar kecil. Kami merasakan, menjalankan penyiasatan selepas tangkapan dibuat adalah salah".

"Ini tidak bermakna, kami menyokong sebarang aktiviti yang salah di sisi undang-undang .Tetapi penyiasatan perlu dibuat sebelum tangkapan dibuat, terutamanya yang melibatkan golongan professional," tegas beliau.

Vazeer Alam berkata ahli-ahlinya menyokong penuh dasar kerajaan yang menentang sebarang bentuk penipuan, "kita tetap menentang sekeras-kerasnya" penahanan dan penangkapan kedua-dua mereka.

Beliau enggan mendedahkan identiti kedua-dua peguam terbabit sehingga siasatan selesai.

"Kita menuntut agar BPR dan lain-lain pihak, menjalankan siasatan penuh dan bebas bagi mengenalpasti pegawai-pegawai BPR yang terlibat, dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas mereka.

"Ahli-ahli kita amat terkejut, bagaimana kuasa tersebut telah digunakan walaupun sebelum mendapat bukti-bukti yang kukuh untuk menyokong penangkapan tersebut.

"Kami akan mengemukakan kepada Ketua Pengarah BPR dan Peguam Negara untuk mengkaji semula prosidur tangkapan oleh BPR.

Beliau mendedahkan, salah seorang peguam yang ditangkap pada 8 Mac yang lalu, berkaitan dengan kes tanah, manakala seorang lagi ditangkap pada 23 Mac, mengenai soal bayaran perkhidmatan oleh pengadu.

Kes yang pertama, peguam terbabit ditahan disebuah bank dan digari. Beliau juga turut digari sewaktu dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan reman.

Kes yang kedua, pegawai BPR telah menggunakan bahasa yang kasar dan memaki hamun terhadap peguam terbabit  sewaktu ditahan dan enggan menyatakan sebab-sebab penahanan beliau.

Vazeer berkata resolusi juga turut mendesak Majlis Peguam, membangkitkan isu tersebut kepada Ketua Pengarah BPR, Peguam Negara, Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Diraja Pasukan Polis.