Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 8:59 PM

Wanita sambut baik keputusan hakim bebaskan Ezam

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April 2004 telah mempertahankan rayuan oleh Ketua Pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor dan menggugurkan kesalahan dan hukuman penjara dua tahun kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972.

Hakim KN Segara berkata pendakwaan telah gagal mewujudkan kes tanpa ragu bahawa dokumen – melibatkan dua laporan ke atas dakwaan rasuah oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik – telahpun diklasifikasi sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi semasa ia diedarkan oleh Ezam kepada media pada  November 1999.

“Pembela kepada yang tertuduh (Ezam) sepatutnya tidak panggil oleh mahkamah sesyen. Saya dengan ini membenarkan rayuan dan menolak tuduhan dan hukuman. Tertuduh dibebaskan,” kata hakim Segara pada penutup penghakiman lisannya.

Keputusan tersebut disambut dengan gembira oleh semua pejuang reformasi dan keadilan. Menerima berita tersebut, Pn Fuziah Salleh, Ketua Wanita Keadilan mengucapkan tahniah kepada hakim KN Segara yang telah dengan berani dan tegas membuat keputusan mengikut undang-undang dan tidak tunduk kepada tekanan politik. Ini memberi harapan kepada rakyat Malaysia, mendapat keadilan daripada mahkamah. Institusi kehakiman yang telah lama dicemari oleh kuasa politik pemerintah perlu membebaskan institusi tersebut daripada cengkaman dan kawalan kerajaan. Ini diharap menjadi titik permulaannya.

Katanya lagi, kes Ezam akan menjadi teladan kepada hakim-hakim lain, bahawa keadilan perlu dilaksanakan tanpa mengira dari sebelah mana seseorang itu berada, samada di pihak kerajaan atau sebaliknya. Sesungguhnya, para hakim akan dihormati malah akan disegani oleh semua, jika mereka jalankan tugas dan tanggungjawab mereka tanpa merasa tertekan dan pilih kasih.

Keadilan yang ditangguh sebenarnya keadilan yang telah dinafikan. Ezam terpaksa berada sepuluh bulan dalam penjara, seolah sebagai bayaran kepada keadilan yang ditagih. Begitu juga yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih merengkuk dalam penjara, telah dihukum atas tuduhan yang direka, permohonan ikat jamin dinafikan dan rayuan ditolak.

Menurut Fuziah, pembebasan Ezam disambut baik oleh semua penyokong dan pejuang keadilan. Ia akan menjadi pemangkin kepada perjuangan membawa perubahan yang berterusan. Wanita menyambut baik keputusan tersebut dan melihat barisan Angkatan Muda Keadilan akan bertambah mantap dengan kehadiran semula, Ezam dalam barisan kepimpinannnya.