Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 8:28 PM

BICARA PRESIDEN

PORR peluang terbaik untuk kerajaan Pulau Pinang

Barisan Nasional yang memenangi Pilihanraya Umum yang lalu mempunyai peluang terbaik untuk membuktikan komitmennya terhadap memelihara kepentingan rakyat. Untuk tujuan itu, BN tidak perlu memperkenalkan program besar-besaran atau gagasan yang hebat.

Mereka hanya perlu memperbetulkan segala kepincangan yang mereka sendiri lakukan selama ini. Walaupun tanpa sebarang program baru, adalah memadai (dan rakyat akan amat lega) sekiranya BN mengambil langkah segera menghentikan pembaziran, penyelewengan dan rasuah yang mengorbankan kepentingan rakyat dan memberi manfaat kepada kelompok tertentu sahaja.

Salah satunya ialah berkenaan cadangan pembinaan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (Penang Outer Ring Road - PORR). BN mendakwa pembinaannya adalah asasi untuk melegakan kesesakan lalulintas di Pulau Pinang. Pada masa yang sama penduduk, badan-badan bukan kerajaan membantah dengan mengemukakan pelbagai bukti bahawa PORR bukan langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah trafik, sebaliknya akan menyebabkan pelbagai masalah yang lebih besar.

Yang terbaru, Pengerusi Transperancy International (TI) Malaysia Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dalam satu syarahan anjuran badan pemikir kerajaan negeri, Social Economic Research Institute (SERI) telah melabelkan projek RM 1.02 bilion yang penuh kontroversi ini sebagai 'kajian kes korupsi kelas pertama'.

Kata Tunku Abdul Aziz, PORR adalah satu contoh perancangan yang buruk, tiadanya ketelusan dan penswastaan yang meragukan. Justeru beliau percaya ia mempunyai potensi besar untuk menjadi satu malapetaka.

Adalah amat malang kerana bantahan demi bantahan selama ini tidak diberi perhatian serius. BN yang diketuai Ketua Menteri Dr. Koh Tsu Koon bersungguh-sungguh mempertahankannya. Segala bukti dan cadangan balas yang dikemukakan tidak dipedulikan dan pemerintah mengambil sikap 'kami tahu apa yang terbaik' dan menganggap segala bantahan semata-mata kerana membangkang dan 'membuat kacau'.

Kini timbul bukti lanjut mengenai kepincangan dalam proses penswastaan yang menimbulkan pelbagai persoalan tersebut. Terdapat pertembungan kepentingan (conflict of interest) kerana Ahmad Ismail, Pengerusi Eksekutif Peninsular Metroworks Sdn. Bhd. (PMW) (yang merupakan kontraktor utama PORR) adalah juga ahli Jawatankuasa Harta, Pembinaan dan Pengurusan Trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Ahmad ialah Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera. Conflict of interest ini adalah manifestasi urustadbir yang lemah dalam kerajaan.

Saya berharap BN akan dapat melihat pandangan rakyat, termasuk wakil pembangkang, sebagai keprihatinan terhadap masa depan negara dan rakyat. BN bukan satu-satunya  pihak sahaja  yang mahu membawa kebaikan kepada rakyat. Malah pembangkang sama sekali tidak berminat untuk mengganggu gugat kemajuan negara. Pembangkang adalah faktor pengimbang yang bertujuan memastikan kepentingan rakyat terpelihara. Malah Pembangkang adalah satu elemen  yang perlu dan penting dalam pentadbiran.

Justeru saya menyeru Dr. Koh dan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk bertindak segera menangguhkan projek ini dan mengadakan kajian menyeluruh termasuk Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan juga kajian mengenai manfaat dan kesan masa depan yang akan dihadapi. Sebuah jawatanjkuasa yang dianggotai pelbagai pihak - termasuk wakil kerajaan, pembangkang, masyarakat dan pakar perlu diwujudkan untuk menilai projek ini.

Semua kajian perlu dikemukakan secara terbuka kepada rakyat dan forum awam diadakan untuk membincangkan perkara ini dengan memberi ruang kepada semua pihak mengemukakan pandangan. Seterusnya jika perlu satu pungutan suara harus diadakan untuk mendapat kata putus rakyat dalam hal ini.

Cara demokratik sebegini adalah cara terbaik demi memelihara kepentingan rakyat. Demokrasi bukan semata-mata dengan mengadakan pilihanraya lima tahun sekali; sedangkan di antara tempoh tersebut pemerintah melakukan segala-galanya mengikut wewenang mereka dan hanya menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai janji, menurap jalanraya dan meluluskan projek kecil-kecilan untuk mengaburi mata rakyat setiap kali pilihanraya menjelang.

Memang benar negara ini adalah demokratik kerana adanya pilihanraya. Tetapi tanpa keadilan, kebebasan dan menghormati hak rakyat maka demokrasi itu tempang sifatnya.

PORR adalah peluang terbaik untuk BN membuktikan bahawa mereka adalah demokratik, telus dan tidak mengamalkan kronisme. Saya percaya Dr. Koh sedar akan hakikat ini. Saya berdoa beliau akan mengambil tindakan untuk merebut peluang ini bagi memulihkan kredibiliti kerajaan pimpinannya.