Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 8:32 PM

EDITORIAL

Isu moral pelajar sekolah...pemimpin bagaimana?

Amat menarik sekali menonton laporan khas yang dibuat oleh NT7 menerusi edisi siasat mengenai salahlaku pelajar-pelajar dibeberapa buah sekolah beberapa hari yang lalu. Didalam laporan khas tersebut yang memaparkan bagaimana pelajar-pelajar sekolah menengah kita melakukan pelbagai kesalahan moral seperti merokok di khalayak ramai, ponteng sekolah, lepak dan sebagainya.

Bukanlah isu moral para pelajar sekolah tersebut yang memang telah menjadi polemik yang berpanjangan sejak sekian lama yang menarik minat kita. Tetapi  apa yang menariknya ialah bagaimana reaksi para pelajar tersebut sebaik sahaja diketahui aktiviti mereka dirakamkan oleh pihak jurugambar stesyen TV tersebut. Pelbagai aksi dan isyarat lucah telah ditunjukkan kepada jurugambar tersebut.

Seolah-olah tidak takut aksi mereka dirakamkan, mereka dengan selamba sahaja menunjukkan isyarat lucah kepada jurugambar. Mana mereka belajar ni? Bukankah sekolah itu mengajar perkara yang elok-elok. Guru sentiasa memberi pengajaran yang terbaik kepada anak muridnya. Bukannya mengajar menunjukkan isyarat-isyarat lucah ini. Ini bukan budaya kita.

Tetapi sebenarnya, ini tidak menghairankan. Bukankah budaya ini yang diajar oleh pemimpin-pemimpin UMNO? Mereka becakap soal moral. Bagaimana nak membentuk peribadi anak-anak kita kononnya.

Maka timbullah pelbagai idea dan program seperti Program Khidmat Negara dan sebagainya. Semata-mata untuk menutup kegagalan mereka selama ini didalam membina akhlak golongan remaja.

Tetapi sebenarnya mereka cakap tak serupa bikin.

Pemimpin UMNO bak kata pepatah seumpama ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Masihkah kita ingat bagaimana kecoh satu ketika dulu, sewaktu kempen pilihanraya kecil Sanggang, Menteri Besar Pahang telah menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong pembangkang? Elok ke?

Pun begitu, tentu kita masih ingat satu ketika dulu bagaimana bekas Ketua Menteri Melaka didakwa terlibat dengan isu seks dengan gadis bawah umur? Yang melakukan itu bukan tukang kebun atau tukang pungut sampah tetapi pemimpin tertinggi sebuah kerajaan negeri, pemimpin UMNO yang sibuk kesana kemari bercakap soal moral. Ini amat memalukan.

Kalau beginilah nilainya moral pemimpin-peminpin UMNO, maka tidak hairanlah generasi yang sebegini yang telah mereka lahirkan. Bukankah kepimpinan melalui teladan

Maka apabila terjadi peristiwa anak-anak kita melakukan aksi yang sama kita melenting. Mengapa? Memang ini yang diajar oleh pemimpin-pemimpin mereka, pemimpin yang mereka sanjung-sanjung. Yang mak bapak pulak, tak sedar-sedar asyik nak memangkah parti yang satu ni. Sampai bila nak sedar?

Ketika kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu memperkenalkan kod etika umpamanya tidak membenarkan pelancong berpakaian separuh bogel ketika dipantai, mengasingkan lelaki dan perempuan ketika berada ditempat awam seperti pasaraya dan sebagainya, UMNO melenting. UMNO kata ianya ketinggalan zaman, tidak menggalakkan pembangunan.

Sedangkan itulah yang sebaik-baiknya bagi membasmi pergaulan bebas yang sekali gus akan melahirkan masyarakat berperibadi mulia.

Pilihlah pemimpin yang berakhlak baik kalau nakkan anak kita menjadi baik. Pemimpin yang baik akan melahirkan satu masyarakat yang baik pekertinya. Itu yang diajar oleh agama. Soal memilih pemimpin dan melahirkan sebuah negara yang baik, amat berkait rapat. Ini yang cuba dilahirkan oleh Anwar Ibrahim melalui konsep Masyarakat Madani.

Fikirlah demi masa depan anak-anak kita. Masa depan anak-anak kita, kita yang tentukan. Bukan mereka. Pilihlah pemimpin yang berupaya memberi kesejahteraan dunia dan akhirat.