Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:16 PM

KOMENTAR WANITA

Rashid wajar bertindak tanpa tekanan atau pilih kasih

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman digesa keluar dari kotak pemikiran kakitangan kerajaannya.

"Dia tidak sedar bahawa dia bukan seorang kakitangan kerajaan yang bertanggungjawab kepada kerajaan. Sikapnya sewajarnya memberi keyakinan kepada rakyat," kata Aliran.

Aliran juga berkata, bahawa Abdul Rashid tidak sedar yang kewibawaan dan kedudukannya dilihat seperti seorang yang keliru.

"Dia juga keliru dengan tugasnya yang sebenar. Berikutan kekecohan yang berlaku semasa Pilihan Raya ke 11 dan kritikan yang ia terima akibat daripada itu, Abdul Rashid sendiri mencadangkan dibentuk sebuah badan bebas bagi menyiasat kesilapan yang berlaku," kenyataan itu menyebut.

"Tetapi sebaik saja Perdana Menteri menyebut yang badan bebas tidak perlu, dia (Abdul Rashid) dengan segera menukarkan kenyataannya dan mengikut apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri. Di manakah kebebasan berfikir dan bertindaknya?" kenyataan tersebut menambah.

"Dia bertanggungjawab kepada warganegara Malaysia untuk bertindak tanpa takut atau menjaga kepentingan sesiapa. Itu yang dituntut daripadanya," menurut Aliran.

Aliran memberitahu bahawa kenyataan Abdul Rashid baru-baru ini bahawa SPR akan mengemukakan laporan khas mengenai kekecohan semasa hari menundi di Selangor kepada kerajaan, merosakkan segala lakonan akan kebebasan SPR.

 "Bolehkah dia memberi alasan yang munasabah mengapa laporan tersebut perlu diberikan kepada kerajaan sahaja?" kenyataan itu menyebut.

"Kegagalan mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil menjadi perhatian utama setiap warga. Kami mahu tahu apa yang telah berlaku yang menyebabkan kekecohan. Setiap calon yang terlibat juga perlu tahu. Setiap parti politik berhak lihat laporan tersebut. Ia patut dibuka kepada awam," kenyataan itu menyebut.

"Kurang daripada itu, akan mendedahkan betapa tidak bebasnya institusi yang sepatutnya bebas dan akan menjadi suatu yang menjatuhkan maruah negara," sambungnya.

Aliran berpendapat, dalam pilihan raya yang lalu, suruhanjaya tersebut, merupakan pengadil dan dia dituntut berlaku adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Baru-baru ini, Abdul Rashid menuduh pembangkang 'merampas' 67,000 undi pos. Dia juga menuduh pembangkang mensabotaj pilihan raya yang baru berlalu.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Wanita Keadilan, Fuziah Salleh berkata, pengerusi SPR mesti bertanggungjawab ke atas kenyataannya. Jika benar sebanyak 67,000 undi pos telah dirampas oleh pembangkang, dedahkan nama parti tersebut dan dakwa mereka agar proses undang-undang boleh dilaksanakan. Keadilan tidak gentar, kerana perkara penipuan tiada dalam agenda parti.

Menurutnya, SPR perlu bertanggungjawab atas segala kenyataan dan dakwaan yang dibuat kerana sebagai badan yang diserahkan tanggungjawab menjaga hak rakyat, ia perlu sungguh-sungguh melaksanakannya dan tidak hanya mengeluarkan kenyataan yang 'menggemparkan' dan selepas itu tiada tindakan. Begitu juga dalam kes kesilapan mencetak kertas undi. SPR tidak boleh menyalahkan Percetakan Nasional kerana syarikat tersebut yang mencetak kertas-kertas undi tersebut. SPR sebenarnya bertanggungjawab ke atas keseluruhan proses pilihan raya dari memilih petugas-petugas kepada mencetak kertas undi. Menjadi tugas SPR, memastikan pencetak memenuhi spesifikasi yang diberi, bukan menyerahkan tugas tersebut kepada syarikat percetakan.

Nampaknya SPR tidak mampu pikul tanggungjawab yang diserahkan kepadanya mengikut apa yang dituntut, amat wajar jika badan tersebut dibubar dan dipilih barisan komisyener baru, yang berwibawa dan bebas.