Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:17 PM

KOMENTAR WANITA

Isytihar harta di Parlimen

Pengisytiaran harta oleh wakil-wakil yang dipilih mesti dibuat kepada Parlimen bagi mengelak proses tersebut daripada hanya menjadi rutin.

"Semua ahli parlimen mesti mempunyai akses kepada laporan tersebut," kata timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Dr Syed Husin Ali hari ini.

Katanya, pengisytiharan harta oleh wakil yang dipilih wajar diberi akses kepada awam.

"Laporan mengenai pengisytiharan bukan untuk Perdana Menteri sahaja," sambungnya.

Dia mengulas laporan dalam akbar Sun hari ini yang mengatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, mengalu-alukan arahan kepada semua wakil BN yang dipilih mengisytiharkan harta masing-masing sehingga hujung bulan depan.

"Ini telah menjadi budaya. Kita telah mengisytiharkan harta masing-masing semenjak masa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "

"Kita telah lakukan setiap dua tahun dan ini amalan yang biasa," dia dipetik. Akbar New Straits Times melaporkan Perdana Menteri telah mengarahkan semua wakil BN yang dipilih, mengisytiharkan harta mereka.

Dia dilaporkan telah berkata bahawa ADUN BN perlu mengisytiharkan harta kepada pengerusi negeri BN dengan salinan diserahkan kepada perdana menteri sementara ahli-ahli parlimen dan menteri-menteri perlu menyerahkan senarai harta mereka kepada PM.

Komentar Wanita ingin bertanya; Mengapa dengan amalan mengisytiharkan segala harta milik wakil BN yang dipilih, masih juga boleh berlaku perbuatan rasuah dan salahguna kuasa? Adakah perdana menteri sendiri, bersekongkol melakukan rasuah kerana menggunakan kuasanya melindungi dan menutup fakta daripada pengetahuan umum?

Dengan itu, pengisytiharan harta oleh wakil-wakil yang dipilih dan kaum keluarga mereka, perlu diserahkan kepada parlimen dan kemudian dipaparkan kepada umum, agar rakyat tahu perkara sebenar dan boleh memastikan wakil-wakil tersebut, terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Masyarakat umum juga wajar diberi kebebasan membuat keputusan sendiri, siapa yang wajar menjadi wakil mereka berdasarkan maklumat yang benar.