Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:18 PM

Pemikiran sempit MB, tidak selesai masalah perumahan

Cadangan kerajaan negeri Selangor, bagi membenarkan rakyat Malaysia yang kaya, membeli dan menyewakan rumah kos rendah kepada golongan miskin, telah memualkan ramai pihak.

Akbar milik BN memetik Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo, bercadang meminda peraturan perumahan supaya membolehkan golongan kaya membeli rumah kos rendah bagi disewakan kepada yang miskin. Katanya, ini dibuat bagi mengurangkan kerugian yang dialami oleh pemaju perumahan.

Pergerakan hak sosial akar umbi, koordinator Pusat Pembangunan Komuniti S Arutchelvan mendapati ia memang satu jenaka.

"Ia tidak logik. Ia sebenarnya mengesahkan keadaan sebenar bahawa golongan miskin masih tidak mampu memiliki rumah, dan kerajaan negeri terus tidak pedulikan perkara ini," katanya apabila dihubungi.

Kelompok berpendapatan rendah hadapi masalah, kemampuan memiliki rumah kos rendah.

"Masalah utama ialah kerajaan negeri tidak bina rumah yang rakyat perlukan atau mahukan," katanya.

Katanya, golongan miskin yang kebanyakannya telah dihalau keluar dari ladang-ladang, perumahan sementara atau penempatan luar bandar, telah tinggal dalam rumah sepanjang hayat mereka.

"Jika kerajaan bina rumah teres kos rendah, saya pasti semua unit habis dijual dalam masa yang singkat. Bukan budaya kita, tinggal di rumah pangsa yang mencakar langit.. oleh itu, mereka enggan beli unit-unit tersebut."

Katanya, peningkatan harga unit kos rendah daripada RM25,000 kepada maksimum RM42,000 juga, menjadi masalah kepada golongan miskin.

"Unit kos rendah itu juga dibina jauh daripada kemudahan-kemudahan asas dan awam, ini menyisihkan lagi kelompok yang sudah sedia dipinggirkan," tambahnya.

Komentar Wanita berpendapat, kesukaran mendapat pinjaman juga antara sebab, ramai golongan berpendapatan rendah tidak mampu miliki rumah. Kerajaan negeri sewajarnya sudah fikirkan perkara tersebut kerana ini merupakan antara halangan besar bagi golongan miskin memiliki rumah.

Cadangan Khir Toyo juga mempamerkan kedangkalan cara berfikir seorang MB BN. Tiada bezanya antara membayar sewa dan membayar pinjaman dari bank, jika golongan miskin tidak mampu membeli rumah, mereka juga tidak mampu membayar sewa. Kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah perumahan dari punca sebenar permasalahan. Masalah perumahan bukan perkara baru, ia telah berkembang bersama 'pembangunan' yang dibawa oleh kerajaan BN. Kerajaan negeri sepatutnya cuba memungkinkan golongan miskin memiliki rumah dan bukan dengan membebankan mereka dengan memaksa mereka menyewa atau menempatkan mereka di tempat sementara.

Sikap kerajaan negeri yang tidak mahu bertanggungjawab kepada rakyat yang kurang bernasib baik amat jelas, apabila Khir Toyo menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada golongan kaya, agar sewakan unit-unit kos rendah kepada penduduk miskin.

Langkah yang ingin diambil ternyata hanya menjaga kepentingan pemaju-pemaju perumahan yang mengadu tidak mendapat untung besar lantaran unit-unit kos rendah tidak habis dijual atau tiada pembeli.

Siapa yang akan membeli rumah dan sewakan dengan murah kepada orang miskin?  Itu satu saranan yang tidak masuk akal. Tambahan, pungutan sewa juga akan menjadi masalah kerana, penyewa sudah sedia hadapi masalah untuk menyara hidup, inikan pula perlu membayar sewa.

Percayakah anda, saranan tersebut datang daripada menteri besar negeri Selangor, iaitu negeri termaju dalam Malaysia? Pemikiran yang sempit dan pendek, menjanjikan masa depan yang kelam bagi Selangor. Malang sungguh, itulah pilihan yang telah dibuat oleh pengundi, bagi mentadbir masa depan mereka.