Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:20 PM

KOMENTAR WANITA

Pengakuan JI 4: TV3 jalankan perbicaraan melalui media

Mana-mana individu yang waras dan berfikiran rasional, akan merasa marah apabila menonton 'pengakuan' kononnya ahli Jemaah Islamiyah (JI) yang ditayangkan baru-baru ini. Edmund Bon, peguam yang mewakili beberapa tahanan yang didakwa ahli JI, merasa amat jijik. Suhakam juga turut mengutuk TV3 kerana menayangkan 'pengakuan' empat tahanan tersebut.

Wanita mengucapkan syabas kepada Edmund, seorang peguam yang berani menyatakan kebenaran demi keadilan dan hak asasi seorang manusia.

Sekali lagi, TV3 menempa sejarah dengan menayangkan temubual eksklusif empat orang tahanan JI yang masih ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia. (Lihat laporan malaysiakini TV3's 'confession' flick irks Suhakam, 2 April 2004).

Pemerhatian yang dibuat oleh Edmund mendapati fakta-fakta  berikut dan tidak hairan mengapa JI4 yang ditemubual membuat pengakuan tersebut.

Peserta-peserta: Mereka adalah warga Malaysia yang ditahan di Indonesia. Mereka ditahan pada waktu yang berlainan. Maklumat berkaitan penahanan dan tempat mereka ditahan tidak diketahui sepenuhnya. Bagaimana mereka dilayan semenjak ditahan tidak diberitahu atau diketahui oleh mahkamah. Samada mereka mendapat khidmat dan nasihat guaman, antara sialan yang belum terjawab. Perkara yang perlu diingat, peserta-peserta tidak bebas. Mereka ditangkap dan dalam tahanan.

Tempat: Temubual tersebut diadakan dalam bangunan polis Indonesia. Walaupun, latar belakangnya nampak bergaya tetapi ia hanyalah balai polis. Pihak polis mengawalnya. Peserta di bawah kawalan dan pemerhatian, arahan dan peraturan polis. Tiada kebebasan. Ia persekitaran yang dikawal ketat.

Kru TV: Kru dibawa dari stesen tv Malaysia, TV3. Ada dua orang yang bertanya soalan, dengan beberapa lagi sebagai kru penggambaran. Kehadiran mereka hanya dengan bantuan daripada pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia. Mereka mempunyai 'laptop' dan berpakaian kemas. Mereka sudah tahu apa yang diinginkan daripada temubual tersebut. Jawapan yang diberi bunyi seperti sudah dilatih dan dihafal. Mereka yang membuat 'pengakuan' tidak nampak 'real' dan benar.

Kerajaan: Kerajaan Malaysia dan Indonesia tidak diwakili semasa pengakuan dibuat. Ini sudah diduga, mereka perlu berselindung di balik tabir. Walaupun begitu, ia amat jelas, kebenaran mereka perlu diperolehi dan mereka sudah tahu akan rancangan tersebut yang akan ditayangkan. Mungkinkah mereka membenarkan pengakuan dibuat mengenai tidak wujudnya kumpulan JI atau menafikan kewujudan aktiviti yang dianjurkan oleh JI? Adakah mereka akan benarkan yang disyaki mengatakan pihak berkuasa telah menyeksa, memaksa atau memujuk dengan janji-janji untuk membuat pengakuan?

Program: Ia suatu gimmick. Tiada 'pengakuan'. Semuanya telah dibuatkan skrip. Semua mereka telah lakonkan watak masing-masing. Mengapa ini semua dilakukan, tidak dapat difahami tetapi spekulasi mengatakan pihak berkuasa cuba sedaya upaya mengesahkan dakwaan mereka akan aktiviti kumpulan pengganas JI serta kewujudannya.

Dunia tahu mereka tidak dapat lakukan dalam perbicaraan Bashir yang kononnya ketua JI, tidak lama lagi akan dibebaskan dalam bulan April 2004, sementara kononnya pengikutnya di Indonesia dan ramai lagi di Kamunting terus ditahan. Jika tiada siapa yang tidak dapat lakukan dalam mahkamah, mengapa tidak dilakukan perbicaraan melalui media?

Tahanan tanpa bicara ke atas 'pengikut' Bashir di Indonesia dan Malaysia mengukuhkan lagi bahawa - tiada bukti yang benar kukuh yang mampu bertahan di mahkamah membenarkan pemenjaraan dakwaan ahli-ahli JI kerana dakwaan aktiviti pengganas mereka.

Kandungan: Ini bahan ketawa. Soalan yang ditanya menjurus kepada jawapan yang telah disediakan; namun, peserta tidak menyatakan sesuatu yang belum diketahui daripada propaganda kuas-kuasa Amerika, Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain. Propaganda ini diasak sehingga semua percaya dan yakin akan JI dan keganasan. Tetapi kebenaran tetap ada, walaupun satu kata bohong apabila disebut beribu kali, diputar belitlagi seribu kali, lama-lama akan menjadi atau diyakini kebenarannya.

"Tidak, saya tidak tahu mengenai rancangan atau tindakan mengenai Bali atau pengeboman Marriot tetapi setelah itu, saya sedar ia adalah salah." Di manakah kesalahannya ? Kita semua tahu tindakan mengebom itu salah. Dakwa mereka dan penjara mereka atas tuduhan yang benar. Berikan mereka perbicaraan yang adil di hadapa hakim dan sistem perundangan dan bukan cara propaganda yang berunsur politik.

Jika itu saja yang pihak berkuasa ada terhadap empat yang tertuduh - yang telah meyakinkan mereka untuk menahan empat tersebut atas tuduhan keganasan - kerajaan Indonesia dan Malaysia patut merasa malu. Jika itu saja yang termampu dilakukan oleh skuad Cawangan Khas Malaysia yang cekap terhadap rakan-rakan yang di Kamunting, saya kini faham mengapa tiada tuduhan dibuat di mahkamah sehingga sekarang.

Implikasi perundangan: Pertamanya, TV3 mungkin telah menghina mahkamah. Isu yang diperkatakan belum diputuskan oleh mahkamah. Terdapat 10 tahanan di Kamunting yang memfailkan permohonan habeas corpus di mahkamah Malaysia. Permohonan ditolak baru-baru ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Rayuan kepada mahkamah persekutuan masih tertangguh. Mereka didakwa ahli JI. Antara isu yang termasuk dalam permohonan adaah, samada terdapat bukti kewujudan JI dan dakwaan aktiviti keganasannya. Program TV3 tentang 'pengakuan' akan mempengaruhi Mahkamah Persekutuan menentukan kes terhadap tahanan.

Kedua, soalan samada 'pengakuan' yang dibuat adakah selamat, boleh dipercayai? Diseksa untuk mereka mengaku? Bagaimana kita tahu? Bagaimana kita uji? Adakah kita melayan mereka yang menanti dibicarakan begini? Isunya - adakah seorang yang ditahan dibenarkan membuat 'pengakuan' di mana-mana selain daripada di mahkamah? Jika begitu, mengapa perlu ada system kehakiman jika kita boleh mengatasinya.

Dipaksa? Dipujuk dengan janji tempoh tahanan akan dipendekkan atau dibebaskan serta-merta? Adakah TV3 bertanya siapa yang mendapat layanan istimewa sebelum 'pengakuan' ditayangkan? TV3 tidak bertanya, siapa mendapat hak istimewa dalam tahanan untuk bertemu isterinya di sebuah hotel. Atau bertanya, siapa yang dapat bercakap dengan orang-orang di seberang laut melalui talifon. Mengapa tidak? Adakah itu akan memberi kelainan? Mungkin.

Sistem kehakiman jenayah bertujuan memastikan 'pengakuan' diberi secara sukarela dan bebas. Gunakan sistem tersebut.

Sejarah: Terdapat banyak soalan yang tidak berjawab yang berkaitan program tersebut. Sebelum ini sudah ada tahanan ISA yang membuat 'pengakuan' di TV, hanya ditarik balik 'pengakuan' selepas itu setelah dibebaskan. Kes Chng Suan Tze dan Menteri Dalam Negeri [1989] 1 MLJ 69 dan Teo Soh Lung dan Menteri Dalam Negeri [1990] 2 MLJ 129, adalah dua kes yang dilaporkan di mana tekanan didakwa dikenakan ke atas tahanan untuk membuat 'pengakuan' di udara. Perkara ini benar dan tidak boleh dinafikan.

Isu Hak Asasi: Soalnya, mengapa sekarang? Nampak seolah, selepas peserta ditahan dan dipenjara, mereka ingin meminta maaf dan menyesal. Apa yang telah dilalui semasa dalam tahanan yang membuatkan mereka ingin meminta maaf dan menyesal sekarang, di mana sebelum ini mereka dikatakan di merata tempat meletupkan hotel dan sepertinya?

Tetapi komuniti antarabangsa telah menjangkakan perkara ini dalam Article 95 Standard Minimum Rules For The Treatment of Prisoners, yang berbunyi:

"Without Prejudice to the provisions of Article 9 of the International Covenant on Civil and Political Rights, persons arrested or imprisoned without charge shall be accorded the same protection as that accorded under part I and part II, section C. Relevant provisions of part II, section A, shall likewise be applicable where their application may be conducive to the benefit of this special group of persons in custody, provided that no measures shall be taken implying that re-education or rehabilitation is in any way appropriate to persons not convicted of any criminal offence."

Adakah ini telah dilanggar? Adakah TV3 memastikan ia tidak melanggar fasal tersebut sebelum menemubual dan menayangkan program tersebutt?

Dakwa mereka atau bebaskan mereka. Jangan pamerkan manusia di hadapan seluruh negara bagi dihakimkan cara yang tidak adil di mana program tersebut dioleh sepenuhnya dan berat sebelah.

Berikan mereka perbicaraan yang adil - ia amat mudah. Norma hak asasi manusia menuntut dalam fasal 9 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik bahawa sesiapa yang ditahan atau ditangkap, dibawa segera ke hadapan hakim untuk melaksanakan kuasa kehakiman dan orang tersebut berhak mendapat perbicaraan dalam tempah masa yang munasabah atau dibebaskan.

Sebaliknya: Saya tidak setuju TV3 berhak menyangkan program tersebut. Cukup saya mengatakan, saya terpanggil mengatakan, tedapat penipuan, ketidaktepatan fakta, tokok tambah, dan pembohongan dalam kenyataan yang dibuat oleh yang ditemubual. Kerosakannya telah dilakukan.

Walaupun saya sekali lagi menyatakan bahawa ia adalah salah menayangkan program seperti itu, TV3 mesti bertanggungjaawab dan beretika bagi mengimbangi kerosakan yang telah dilakukan. Kini, TV3 mesti pergi ke Kamunting dan tayangkan program yang menunjukkan empat yang disyaki ahli JI dan membenarkan mereka berkata menolak atau menfikan atau menyokong 'pengakuan' oleh peserta temubual tersebut.

Wan Min Wan Mat (walaupun sepatutnya berada di Kamunting, tetapi kini berada di suatu tempat yang tidak diketahui), Idris Salim dan Roshelmy Shariff adalah antara mereka yang disyaki ahli JI dan ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia, yang turut dituduh oleh mereka dalam program 'pengakuan' tersebut. Mereka perlu diberi peluang berkata sesuatu.

Keputusan: TV3 memanggilnya sejarah. Hanya di Malaysia, kita akan jumpa stesen televisyen yang kononnya bebas dan adil, megah mengatakan TV3 telah menempa sejarah dan masa yang sama mempersenda kemanusiaan dan membunuh tahanan tanpa bicara melalui perbicaraan dimedia.

Persoalan pokok: Tanya diri anda tiga soalan selepas menonton program tersebut, perhatikan samada anda puaskan dhamir anda: apakah manusia, bagaimana manusia melayan satu sama lain dalam masyarakat dan adakah ini jenis masyarakat yang kita mahu hidup di dalamnya?