Seruan Keadilan Online - Friday, April 30, 2004 9:15 PM

Pak Lah diminta gantung pengerusi Felcra yang ‘terlalu kaya’

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi digesa menggantung pengerusi Felcra, Hamzah Zainuddin, berikutan pendedahan bahawa pengerusi agensi pembangunan tanah tersebut mempunyai harta bernilai berpuluh-puluh juta ringgit.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang, dalam kenyataannya berkata, kekayaan Hamzah telah menimbulkan tanda tanya oleh orang awam, dari mana datangnya harta begitu banyak, terutama apabila Abdullah telah menjanjikan pentadbiran yang bersih, tiada rasuah, bertanggungjawab dan amanah.

“Saya tidak minta Abdullah menggantung Hamzah sebagai pengerusi Felcra kerana masalah rumahtangganya, tetapi kerana kekayaannya dan harta yang didedahkan oleh penyelesaian Mahkamah Syariah ,”  katanya.

Kit Siang juga membidas agensi berita yang dimiliki kerajaan, Bernama, yang cuba menyembunyikan laporan berita mengenai penyelesaian cerai Hamzah.

Menurutnya, agensi berita nasional tersebut telah mengeluarkan nota kepada semua akhbar tempatan, dua jam selepas mengeluarkan laporan tentang perintah mahkamah tersebut.

Ia berbunyi: Mohon jangan (ulang) guna bahan Bernama bertajuk ’Pengerusi Felcra diperintah bayar lebih RM11 juta kepada bekas isteri’.

“Ini merupakan campurtangan dalam kebebasan ahkbar, amat asing daripada apa yang diseru oleh Abdullah kepada pemimpin-pemimpin BN agar ‘dengar pada kebenaran’, kata Pengerusi DAP itu lagi.

Kit Siang menyeru Bernama agar mengenalpasti dan menggantung pegawai yang telah mengeluarkan arahan tersebut.

Katanya, Bernama, sepatutnya mengadakan siasatan ke atas perkara tersebut, dan laporannya dibentangkan di Parlimen, apabila ia mula bersidang buat pertama kali selepas pilihan raya umum ke 11.

Ketua Pembangkangdi Parlimen itu juga menyatakan rasa kesal, Felcra – sebuah agensi kerajaan bertujuan meningkatkan keadaan sosio-ekonomi, seramai 700,000 pekebun kecil dengan memulihkan tanah terbiar bagi mengusahakan tanaman – mempunyai sejarah rasuah dan salahguna kuasa.

“Terdapat kes yang begitu lama mengenai pengarah Felcra yang didakwa atas tuduhan rasuah melibatkan RM40 juta yang dimiliki agensi tersebut, siasatan BPR ke atas skandal melibatkan kontrak baja Felcra bernilai RM72 juta ..,” ulas Kit Siang.

“Dan pada tahun 1994, saya timbulkan dalam Parlimen, katalog salahguna kuasa dalam tender Felcra dan penipuan projek pembangunan pekebun-pekebun kecil Felcra akan hak mereka.”