Wednesday, 24-Mar-2004 9:21 PM

MANIFESTO PILIHAN RAYA BARISAN ALTERNATIF

Bersama Malaysia Baru: kesejahteraan untuk semua

Para pengundi yang dihormati,

Menjelang Pilihan Raya Umum Kesebelas anda akan memilih parti politik yang akan membentuk kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang. Sudah tentu anda mahukan pilihan yang tepat demi kesejahteraan anda dan keluarga anda.

Pilihan raya kali ini memberi peluang kepada anda untuk membuat perubahan. Anda pastinya sudah bosan dengan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah yang telah dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional. Anda juga turut dihidangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dengan politik wang, politik menakut-nakutkan rakyat, memencilkan kepentingan rakyat, budaya bermegah-megah dengan projek mega, serta kepemimpinan bersifat autoritarian. Walaupun baru-baru ini berlaku perubahan pucuk pimpinan, namun ianya hanyalah bersifat lahiriah sahaja. Kami yakin anda seperti juga ramai yang lain mahukan era pemerintahan kerajaan Barisan Nasional selama 46 tahun ditamatkan.

Dengan kesedaran ini, Barisan Alternatif merumuskan bahawa tunggak kepemimpinan negara mestilah berpaksi di atas lima prinsip utama, iaitu bertanggungjawab, adil, berakhlak, bersatu dan telus. Berakhlak dengan rujukan bahawa pemimpin mestilah terdiri dari kalangan ahli masyarakat yang berakhlak dan beramanah. Bersatu dengan maksud kepemimpinan yang membawa ikatan rakyat kepada keadilan, perpaduan, dan mengetepikan dasar-dasar yang berbau diskriminasi. Bertanggungjawab dengan fokus bagi mengubah halatuju kerajaan dari bermotifkan keuntungan semata-mata agar kembali memikul tanggungjawab sosial seperti yang telah diamanahkan.

Sesungguhnya, dasar-dasar yang terkandung di dalam Manifesto Barisan Alternatif 2004 ini bertitik tolak dari kesinambungan dokumen dasar penubuhan Barisan Alternatif serta Manifesto ‘Ke Arah Malaysia Yang Adil’ yang telah diisytiharkan pada tahun 1999.

Oleh yang demikian kami, parti-parti politik yang membentuk kerjasama Barisan Alternatif (BA) menawarkan kepada anda Malaysia Baru yang Adil, Aman dan Makmur. Malaysia baru yang kami pimpin menawarkan kepada anda 10 jaminan berikut :-

1. Hak Anda - Kami Bela

2. Agama & Budaya Anda - Kami Hormati

3. Kehidupan Anda - Kami Tingkatkan

4. Keselamatan Anda - Kami Jamin

5. Kerajaan Anda - Kami Rakyatkan

6. Pendidikan Anda - Kami Majukan

7. Kesihatan Anda - Kami Jaga

8. Perniagaan Anda - Kami Sokong

9. Persekitaran Anda - Kami Ceriakan

10. Masa Depan Anda - Bersama Malaysia Baru

HAK ANDA - KAMI BELA

BA mahu anda menjadi rakyat Malaysia yang berkeyakinan, berani dan ada jatidiri. Hak anda akan terus dilindungi melalui :

Menubuhkan Mahkamah Perlembagaan yang akan mempertahankan perjanjian penubuhan negara pada tahun 1957 serta mengatasi masalah pelanggaran perlembagaan yang pernah dilakukan oleh Kerajaan BN kesekian kalinya. Mahkamah Perlembagaan akan menjamin dan menjaga keseimbangan hak individu, hak pelbagai kaum, hak negeri dan hak Kerajaan Persekutuan.

Menjamin kebebasan dan ketelusan institusi awam yang ditubuhkan untuk melindungi hak anda. Institusi awam ini termasuk mahkamah, jabatan polis dan badan pencegah rasuah. Pengekalan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman akan memastikan hak anda tidak dicabuli.

Mengembalikan kewibawaan badan kehakiman dengan proses pelantikan Hakim dan Peguam Negara oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Parlimen.

Memansuhkan undang-undang yang menzalimi hak anda dan menyekat kebebasan anda termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Percetakan & Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Pertubuhan.

Menggubal Akta Kebebasan Maklumat bagi menjamin kebebasan media dan hak anda untuk berkarya dan menerbit. Akta ini akan menjamin penyebaran maklumat secara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kesan sosial yang negatif.

Menjamin pilihan raya yang bebas dan adil dan penghapusan undi pos. Kami akan meminda Perkara 43 dan Perkara 55 Perlembagaan bagi maksud menjelaskan supaya dalam masa Parlimen dibubarkan Jemaah Menteri berfungsi sebagai Kerajaan Sementara dan dikenakan sekatan ke atas penyalahgunaan jentera kerajaan bagi tujuan kempen pilihan raya.

Mempertingkatkan Hak Wanita dengan peruntukan 30% dalam jawatan pembuat dasar. Segala bentuk diskriminasi terhadap anda samada di dalam sektor awam atau sektor swasta akan dihapuskan. Institusi awam akan digerakkan untuk menghadapi segala bentuk keganasan sama ada di rumah atau di tempat awam.Khidmat sokongan dan guaman akan disediakan secukupnya kepada anda yang terdedah kepada diskriminasi dan penganiayaan. Lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak akan disediakan bagi ibu-ibu yang bekerja.

Mengupayakan Golongan Muda. Golongan muda adalah aset masa depan negara. Kami mahu setiap anak muda merasakan mereka mempunyai peluang belajar dan peluang pekerjaan yang sama tanpa mengambilkira latar belakang. Program Khidmat Negara akan dijadikan program pengupayaan golongan muda. Penindasan terhadap golongan muda termasuk segala bentuk buruh kanak-kanak akan dihapuskan.

Menggalakkan dan Mengiktiraf Gerakan Masyarakat Madani-Sivil sebagai wadah dalam memugar hak dan tanggungjawab rakyat.

Menjamin hak asasi manusia merangkumi keselamatan nyawa, harta dan maruah.

AGAMA  DAN  BUDAYA ANDA - KAMI HORMATI

Kami berpendapat kehidupan beragama dan nilai sejagat adalah asas kepada Malaysia Baru yang Adil, Aman dan Makmur. Kehidupan sedemikian akan melahirkan individu yang seimbang, sederhana dan bertolak ansur. Bagi meningkatkan kesedaran hidup beragama dan mewujudkan rasa hormat di antara agama dan kaum, BA mencadangkan :

Menghayati Islam sebagai cara hidup (Ad-deen) bagi umat Islam

Menjamin kebebasan beragama bagi penganut agama-agama lain.

Menubuhkan Institusi Perhubungan Agama dan Kaum untuk mengembang pengetahuan, rasa hormat dan prihatin rakyat mengenai isu-isu  agama, kebudayaan dan perkauman.

Menjamin tiada pemaksaan budaya terhadap budaya yang lain serta pemeliharaan amalan tradisi budaya.

Memastikan tiada masjid, gereja, kuil  dan tempat-tempat ibadat boleh dimusnahkan tanpa perundingan, persetujuan dan kelulusan masyarakat setempat dan tanpa gantian sesuai.

Menyediakan undang-undang keluarga yang seragam bagi semua negeri.

Melaksanakan reformasi perundangan syariah meliputi hak wanita yang diceraikan undang-undang zakat & pentadbiran mahkamah syariah.

KEHIDUPAN ANDA - KAMI TINGKATKAN

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya. Sebagai rakyat anda layak menikmati kekayaan negara dan kehidupan yang makmur dan sejahtera. BA akan terus berjuang untuk mempertingkatkan kehidupan anda dengan menawarkan kepada anda :

Menurunkan harga kenderaan sekurang-kurangnya 10% mulai 1 Januari 2005 sesuai dengan penyusunan semula tarif kenderaan berikutan perlaksanaan perjanjian AFTA. Memansuhkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat di semua lebuh raya mulai 1 Januari 2005

Memotong caj telefon sebanyak 20% bagi semua pengguna talian tetap dan telefon bersel.

Memotong bil air sebanyak 20% mulai 1 Januari 2005

Mencapai matlamat isi rumah memiliki rumah sendiri serta jaminan tempat tinggal bagi semua rakyat.

Melaksanakan gaji minima RM 1,000.00 bagi semua sektor awam, swasta dan perladangan. Semua pihak diberi tempoh 2 tahun  untuk melaksanakan peraturan ini.

Mewujudkan ‘Pusat Kerjaya - Job Center’ sebagai pusat untuk menemukan majikan dan pekerja secara cekap bagi menyelesaikan masalah pengangguran.

KESELAMATAN ANDA - KAMI JAMIN

Anda pasti salah seorang yang bimbang tentang keselamatan diri anda, keluarga anda dan jiran anda. Peningkatan jenayah rompak, rogol dan bunuh sangat menakutkan. Kami telah memutuskan untuk menjadikan keselamatan anda dan keluarga anda sebagai keutamaan kami. Kami tidak  mahu anda bimbang terhadap keselamatan anak anda yang keluar untuk tuisyen dan isteri anda yang pergi ke pusat membeli belah. Bagi menjamin keselamatan diri anda dan keluarga BA akan :

Melaksanakan program ‘Kita Semua Satu Keluarga’ untuk melahirkan rasa prihatin terhadap jiran anda dan masyarakat anda. Kemudahan akan disediakan kepada persatuan penduduk setempat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial bersama.

Memulih dan menggalakkan pasukan polis supaya menjadi institusi yang profesional, mesra rakyat, bebas dari pengaruh politik dan terletak di bawah undang-undang.

Memerangi gejala dadah sampai ke akar umbi dan mencari penyelesaian punca masalah seperti kemiskinan, keruntuhan moral dan penguatkuasaan.

Memperkuatkan institusi keluarga melalui :

a.       Membanteras gejala sosial seperti deraan ke atas wanita dan kanak-kanak

b.       Menguatkuasakan bantuan nafkah bagi anak-anak ibu tunggal     

c.       Memberi insentif cukai bagi pengambilan anak angkat dan penjagaan warga emas.

d.       Mempergiat pembanterasan kegiatan pelacuran dan penyebaran bahan lucah.

KERAJAAN ANDA - KAMI RAKYATKAN

Kami menjanjikan kepada anda sebuah kerajaan yang patuh kepada undang-undang. Undang-undang menentukan hak dan kewajipan di antara rakyat dan kerajaan. Kerajaan wajib menggunakan sumber secara efisien dan berkesan untuk membangunkan rakyat dan negara. Bagi memperkasa kewibawaan kerajaan serta mempertingkatkan pertanggungjawaban dan ketelusan BA mencadangkan :

Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Memulihkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi memastikan ahli Majlis  bertanggungjawab penuh dan memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk.

Mengisytiharkan harta semua Ahli Jemaah Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Wakil Rakyat, Pegawai Tinggi Kerajaan dan Eksekutif Pengurusan badan Penswastaan dibuat kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada setiap tahun.

Menyerahkan Petronas, syarikat minyak negara untuk bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen.

Membatalkan penyenaraian FELDA ke MSEB, sebaliknya melepaskan cukai untuk tempoh tertentu bagi menggerakkan dana yang bertujuan membela kehidupan peneroka.

Menyerahkan Badan Pencegah Rasuah untuk bertanggungjawab terus kepada  Parlimen.

Mengembalikan bayaran royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan menjamin royalti minyak bagi negeri-negeri lain mengikut Akta Petroleum 1974.

Menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, eletrik dan sistem pembentungan pada harga yang munasabah yang menjadi tanggungjawab Kerajaan.

Mengekalkan pengurusan sistem bekalan air di bawah kendalian kerajaan negeri.

Kami mahukan negara Malaysia yang berdaulat dan dihormati di peringkat antarabangsa. Untuk mencapai hasrat tersebut kami mencadangkan:

a.       Mengembangkan diplomasi pelbagai hala di dalam hubungan dengan negara luar

b.       Mempertingkatkan pertukaran budaya dan pendidikan untuk perhubungan kemanusiaan

c.       Menggalakkan industri tempatan mengeksport barangan jenama Malaysia.

PENDIDIKAN ANDA - KAMI MAJUKAN

Di dalam era globalisasi dan Information and Communication Technology (ICT), anda dan keluarga anda perlu diberikan pendidikan yang komprehensif untuk membolehkan anda terlibat aktif dalam pembangunan negara. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengajak anda sama-sama memainkan peranan di dalam arus perdana pembangunan dengan :

Menggerakkan reformasi pendidikan bagi memastikan pendemokrasian pendidikan

Menyediakan buku teks percuma bagi sekolah rendah & sekolah menengah

Memastikan pendidikan rendah dan menengah diwajibkan dan memansuhkan yuran persekolahan dan peperiksaan.

Membina enam buah universiti awam baru menjelang tahun 2008.

Mengiktiraf dan membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil untuk memastikan semua anak-anak mendapat pendidikan mengikut pilihan ibu bapa masing-masing hingga ke peringkat tinggi.

Mengembalikan bantuan perkapita untuk Sekolah Agama Rakyat

Menyediakan Tabung Biasiswa dan Pinjaman yang mencukupi bagi melahirkan lebih ramai graduan.

Menambah bantuan awal tahun bagi keluarga yang layak dari RM 120 kepada RM 200.00.

Menghapuskan kadar faedah 3% yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

KESIHATAN ANDA - KAMI JAGA

Kami cukup prihatin terhadap kesihatan anda. Pelbagai jenis penyakit baru yang ditemui seperti SARS dan Bird Flu telah meranapkan ekonomi beberapa buah negara. Hari ini kos rawatan penyakit sudah melambung tinggi. Rawatan segera dan berkualiti di luar kemampuan anda.
Bagi memastikan anda terjamin mendapat rawatan apabila ditimpa penyakit atau kemalangan, BA mencadangkan :

Membatalkan penswastaan perkhidmatan kesihatan dan hospital.

Menyegerakan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (SPKN) untuk membolehkan semua rakyat mendapat rawatan di hospital awam dan swasta. Kami mencadangkan supaya potongan statutori EPF dikurangkan dan amaunnya dicarum sebagai premium SPKN.

Memastikan tiada wang bukan alasan anda tidak mendapat rawatan di hospital. Mereka yang layak akan mendapat rawatan percuma. Di samping itu memendekkan masa menunggu para pesakit untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Menambahkan infrastruktur, peralatan dan kakitangan di hospital.

PERNIAGAAN ANDA - KAMI SOKONG

Kami menyedari bahawa perniagaan anda yang maju akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kami akan mewujudkan persekitaran ekonomi yang merangsang kepada kemajuan perniagaan anda. BA akan terus menyokong perniagaan anda dan perusahaan anda dengan :

Meluluskan semua permohonan permit, lesen dan premis yang memenuhi syarat di dalam tempoh 14 hari.

Menambah dana pinjaman kredit mikro kepada RM50,000 untuk meningkatkan saiz perusahaan peserta. Dana ini akan disalurkan kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

Mewujudkan pusat latihan usahawan bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan.

Menggalakkan usaha penjodohan di antara pengeluar dan pengguna dari dalam dan luar negara untuk tujuan pemindahan teknologi dan pemasaran.

Memotong kadar cukai syarikat bagi syarikat yang mempunyai keuntungan sehingga RM 100,000.00. Kami  mencadangkan kadar cukai sebanyak 10% bagi keuntungan RM 50,000 pertama dan kadar cukai 15% bagi keuntungan RM 50,000 kedua. Pada jangka masa panjang dicadangkan kadar cukai korporat semua syarikat diturunkan kepada 20%.

Meningkatkan hasil petani dan nelayan dengan mewujudkan Pusat Komuniti Tani, Pusat Komuniti Nelayan, Ladang Muafakat dan Koperasi Rakyat. Dana yang mencukupi akan disediakan untuk meningkatkan kehidupan petani dan nelayan.

PERSEKITARAN ANDA - KAMI CERIAKAN

Perseimbangan di antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar adalah penting untuk menjamin kualiti hidup anda. Pembangunan yang membawa kepada kerosakan ekologi, pencemaran air dan udara serta kesesakan lalulintas akan memudaratkan kehidupan dan kesihatan. Bagi menjamin pembangunan yang mapan BA mencadangkan :

Menghentikan semua projek pembangunan yang merosakkan ekologi dan sumber pendapatan masyarakat setempat yang bergantung kepada persekitaran semulajadi.

Memelihara dan memulihara semua kawasan tadahan hujan, hutan simpanan dan hutan perlindungan hidupan liar yang telah dirizabkan.

Menggubal undang-undang yang berkesan untuk memelihara kualiti air dan udara.

Memastikan bandar dan penempatan penduduk memperolehi kemudahan taman rekreasi yang mencukupi dan selesa.

Memastikan bangunan, jalanraya, pengangkutan awam dan tempat-tempat kemudahan awam diurus dengan selamat dan dapat dinikmati dengan selesa oleh semua kumpulan masyarakat khasnya rakyat kurang upaya, orang tua, golongan istimewa dan kanak-kanak.

Mewujudkan kembali rangkaian bas pengantara di antara kawasan kediaman dan terminal bas, stesen LRT dan stesen komuter. Juga rangkaian bas pengantara di antara kawasan kediaman dan pusat bandar. Sistem bas pengantara adalah pelaburan ekonomikal untuk mengatasi kesesakan dan pencemaran.

MASA DEPAN ANDA - BERSAMA MALAYSIA BARU

BA sedar anda mahukan hak anda dihormati dan dilindungi.

BA sedar anda mahukan kehidupan dan keselamatan yang lebih terjamin.

BA sedar anda mahukan kerajaan menyediakan peluang pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

BA sedar anda mahukan agama dan budaya anda dihormati.

Marilah kita sama-sama bina Malaysia Baru yang Adil, Aman dan Makmur dengan mengundi parti-parti yang mewakili Barisan Alternatif.

IKRAR KAMI

Kami berikrar mewujudkan Malaysia Baru yang menjamin kesejahteraan untuk semua berpaksikan kepada prinsip-prinsip berikut:

Kedaulatan perlembagaan

Raja berpelembagaan

Demokrasi berparlimen

Hak-hak kebebasan asasi

Keluhuran undang-undang

Kebebasan kehakiman

Hak dan tanggungjawab kewarganegaraan

Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip tiada paksaan dalam beragama

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, dan bahasa rasmi dan hak menggunakan dan mempelajari bahasa-bahasa lain.

Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain tanpa disalahgunakan.

Sistem pemerintahan persekutuan yang memenuhi tanggungjawabnya, di mana kedudukan istimewa negeri Sabah dan Sarawak dilindungi dan dihormati.

Oleh kerana itulah, di dalam suasana yang kemelut dengan perbuatan berselindung dan sandiwara politik, Barisan Alternatif menawarkan suatu agenda untuk pembaharuan nasional (national reform) - suatu komitmen bertulis tanpa syarat tersembunyi.

Pilihan raya pada kali ini membawa peluang untuk perubahan, dari penguasaan satu kelompok parti ke atas Parlimen kepada suatu masa depan yang boleh mencerminkan kehendak rakyat yang majmuk. Perubahan bersejarah ini akan menamatkan era sebuah Kerajaan yang terlalu mencengkam, terlalu mementingkan diri, terlalu bergelumang dengan rasuah dan terlalu boros membelanjakan wang rakyat.

Pilihan raya ini boleh menjadi suatu detik permulaan kepada sebuah kerajaan reformasi yang menghormatiasrat setiap warganegara Malaysia.

Check your voter registration here

 

powered by FreeFind