Thursday, 11-Sep-2003 11:41 AM

STRATEGI BELANJAWAN 2004

Latar belakang

1.Malaysia adalah sebuah negara yang kaya. Buminya diberkati dengan berbagai hasil mahsul seperti kelapa sawit, getah, koko dan kayu balak. Di dalam perut buminya pula terdapat hasil mahsul galian seperti  petroleum, gas asli, dan bijih timah. Malaysia juga merupakan negara maritim yang menghasilkan pelbagai produk laut. Kedudukan geografinya yang strategik di tengah-tengah kawasan pertumbuhan ekonomi rantau Asia Tenggara telah membolehkannya membangunkan berbagai industri termasuk perkilangan, pengangkutan, pelancongan dan lain-lain.

2. Rakyat Malaysia pula terkenal dengan sifat tekun bekerja, rajin menabung, berjimat cermat dan berpendidikan. Sifat sedemikian memudahkan usaha meningkatkan produktiviti dan menyediakan dana dalam negara untuk pelaburan.

3. Kerajaan yang ada pada hari ini seharusnya bersyukur kerana dapat memerintah di sebuah negara yang kaya serta didiami oleh rakyat yang mempunyai sifat yang boleh mendorong ke arah kemajuan ekonomi negara. Cukup bagi kerajaan berperanan sebagai pengemudi (navigator) kegiatan ekonomi untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan mengagih kekayaan negara secara saksama.

4. Pemerintah negara sejak Merdeka sehinggalah awal tahun 1980’an telah mengemudi kegiatan ekonomi negara untuk mencapai matlamat sosio-ekonomi iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dalam tempoh tersebut, ekonomi negara berkembang, jurang pendapatan berkurangan, dan pemerintah berperanan sebagai pemudah cara kemajuan ekonomi sektor swasta.

5. Tetapi malangnya, keadaan berubah mulai pertengahan tahun 1980’an apabila bermulanya amalan parti pemerintah menggunakan kekuatan ekonomi untuk mengekalkan kuasa dalam parti dan kerajaan. Wang disalahgunakan secara meluas di dalam pemilihan sengit pucuk pimpinan parti pemerintah dalam tahun 1987. Sewaktu menjawab soalan di Parlimen tentang pemberian kontrak Lebuhraya Utara Selatan kepada UEM Berhad, Perdana Menteri pada waktu itu menyatakan pemberian kontrak tersebut wajar supaya UMNO dapat melangsaikan hutang pembinaan Bangunan PWTC sebanyak RM300 juta.

6. Di sinilah bermulanya amalan memperalatkan kedudukan dalam kerajaan untuk kepentingan politik parti. Episod tersebut memulakan satu era hitam dalam politik Malaysia apabila segala bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan wang awam dilakukan dari peringkat tertinggi kabinet hinggalah ke peringkat paling rendah JKKK Kampung. Penyelewengan ini berkembang melalui deregulasi di dalam prosidur kewangan kerajaan. Langkah penswastaan dan penubuhan Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) membuka ruang lebih luas kepada penyelewengan wang awam.

7. Amalan memperalatkan ekonomi negara untuk mengekalkan kuasa politik serta keterlibatan secara langsung kerajaan dalam urusan transaksi berisiko tinggi menyebabkan ekonomi negara menjadi rapuh apabila diserang oleh spekulator matawang pada 1997. Sayugia diingatkan bahawa kejatuhan ekonomi negara pada 1997 dipercepatkan apabila spekulator matawang asing mengikut jejak langkah tokoh korporat tempatan yang turut menjualkan ringgit kerana tidak yakin terhadap keupayaan matawang negara untuk bertahan.

8. Semenjak 1997, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat tempatan dan pelabur asing terhadap pengurusan ekonomi negara. Beberapa pakej rangsangan ekonomi telah diperkenalkan tetapi hasilnya tidaklah begitu ketara. Usaha merangsang ekonomi kerap tidak berkesan kerana langkah yang diperkenalkan ada kalanya bermotif politik.

9. Pemulihan ekonomi juga terjejas lantaran impak global peristiwa 11 September, pengeboman di Pulau Bali dan mutakhir peristiwa pengeboman di hotel J.W.Marriot, Jakarta. Proses pemulihan ekonomi negara terus terganggu akibat penularan wabak SARS di beberapa negara di rantau Asia. Kebimbangan SARS menyerang semula masih menghantui fikiran kita.

10. Sewaktu membentangkan Bajet 2003 pada tahun lalu, Perdana Menteri telah mempersoalkan bagaimana Barisan Alternatif (BA) boleh mengemukakan belanjawan sedangkan BA tidak tahu berapa hasil Kerajaan Persekutuan. Jawapan kami ialah maklumat yang kami ada tidak jauh berbeza dengan data yang digunakan Kementerian Kewangan.

11. Pertamanya, Belanjawan 2004 ini disediakan bagi tempoh 1 Januari 2004 hingga 31 Disember 2004. Angka pembuka kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan bagi belanjawan 2004 ialah angka pada 31 Disember 2003, setelah ditutup urusan kewangan kerajaan.  Menteri Kewangan yang akan membentangkan Bajet 2004 pada 12 September 2003 juga hanya membuat anggaran tentang kedudukan kewangan kerajaan pada 31 Disember 2003. Kita sama-sama meneropong empat bulan ke hadapan.

12. Pada tahun lalu, bekas Timbalan Menteri Kewangan yang kini telah menjadi Menteri Pengangkutan telah memberitahu Parlimen bahawa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, salah satu pemungut hasil utama Kerajaan Persekutuan telah gagal menepati sasaran pungutan hasil cukai bagi tahun 2001. Cukai yang dianggar dipungut ialah RM23 billion sedangkan pungutan sebenarnya ialah RM18 billion. Perbezaanya ialah 22%. Ini menunjukkan dengan segala data yang ada Kementerian Kewangan juga tak berupaya menjamin bajet yang tepat.

13. Pada tahun yang lalu BA telah mengemukakan belanjawannya empat hari sebelum pembentangan oleh Menteri Kewangan. BA dengan berani telah menganggarkan hasil tahun 2003 sebanyak RM87 billion. Empat hari kemudian Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet 2003 di Dewan Rakyat dengan anggaran hasil sebanyak RM89.8 billion. Perbezaan anggaran kami dengan anggaran Kementerian Kewangan hanya 2.2 %, 10 kali lebih tepat daripada anggaran yang dibuat oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

14. Penyediaan Belanjawan 2004 yang kami bentang pada hari ini, telah melalui pelbagai proses. Kami telah mengadakan beberapa siri dialog pra-belanjawan dengan berbagai kumpulan berkepentingan, soal-selidik dikalangan rakyat dan menerima pelbagai input daripada pakar kewangan dan ekonomi. Maka belanjawan ini layak diiktiraf sebagai belanjawan rakyat.

Tinjauan Ekonomi 2003-04

15. Ekonomi Malaysia adalah sebuah ekonomi yang terbuka. Sebagai ukuran, jumlah eksport dan importnya sebanyak RM658 bilion (2002) merupakan tiga kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (2002: RM219.3 bilion). Oleh itu, perkembangan ekonomi antarabangsa khasnya di negara-negara rakan dagang Malaysia yang utama, pastinya menghadirkan pengaruh yang besar ke atas prestasi ekonomi Malaysia.

16. Walaupun sudah banyak usaha dijalankan untuk mempelbagaikan geografi pasaran, namun kejayaannya masih terhad. Hala tuju eksport Malaysia masih bertumpu kepada beberapa buah negara khasnya Amerika Syarikat yang menyerap lebih daripada 20% daripada eksport negara (2002), Singapura (17%), Negara Kesatuan Eropah (12%), Jepun (11%) dan Hong Kong, Republik Rakyat Cina dan Taiwan sebagai satu kumpulan (16%). Ini bermakna, sebanyak lebih daripada 75% eksport negara diserap hanya oleh tujuh buah negara menandakan bahawa agihan geografi eksport masih sempit.

17. Setelah mengambil kira semua faktor, pemerhati-pemerhati perkembangan ekonomi dunia berpendirian bahawa perkembangan ekonomi dunia masih menghadapi “downside risks” yang masih besar dan ini termasuklah:

Konflik yang berpanjangan dan kemusnahan yang meluas di Iraq mungkin membawa impak negatif yang besar kepada ekonomi dunia. Walaupun pencerobohan sudah berakhir, namun konflik terus wujud dan berkemungkinan terus memuncak dan merebak.

Pemulihan ekonomi dunia nampaknya masih bergantung kepada prospek ekonomi Amerika Syarikat.

Kemungkinan kejatuhan di “mature financial markets” tidak boleh ketepikan sama sekali.

Beberapa negara di dalam kumpulan “emerging market countries” masih menghadapi beberapa kelemahan.

18. Berasaskan kepada senario ekonomi 2003–2004, keutamaan dasar ekonomi haruslah menjurus kepada memulihkan “external confidence”  dan memperkukuhkan dasar fiskal negara.

Strategi Belanjawan

19. Bagi Belanjawan 2004, BA telah mengenalpasti 4 strategi utama seperti berikut:

Pertama: Meningkatkan bilangan Keluarga Mampu daripada 20% bilangan isi rumah kepada 40% bilangan isi rumah menjelang 2010. Seterusnya sasaran jangka panjang ialah untuk meningkatkan bilangan Keluarga Mampu kepada 80% bilangan isi rumah menjelang 2020.

Kedua: Menjana pertumbuhan yang mapan dan seimbang bagi mendokong kehidupan berkualiti bagi seluruh rakyat Malaysia.

Ketiga: Menambah hasil negara dengan meningkatkan produktiviti pengeluar tempatan, daya saing di peringkat antarabangsa dan mengenalpasti punca pendapatan baru.

Keempat: Mengembalikan kewibawaan pengurusan kewangan negara dengan meningkatkan tahap urus tadbir sektor awam dan swasta.

Meningkatkan Bilangan Keluarga Mampu

20. Mengikut kajian pendapatan isi rumah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) pada tahun 1999, 43.8% daripada 4.6 juta bilangan isi rumah hanya mampu meraih pendapatan rendah di bawah RM1,500 sebulan. Sementara, 37% bilangan isi rumah mempunyai pendapatan sederhana di antara RM1,500 -  RM3,500 sebulan. Hanya 19.2% isi rumah mendapat lebih dari RM 3,500 sebulan.

21. Walaupun demikian, kerajaan BN masih lagi menggunakan ukuran ketinggalan zaman sebagai penetapan garis kemiskinan. Garis kemiskinan bagi Semenanjung Malaysia ialah RM 510, bagi Sabah RM 685 dan bagi Sarawak RM 584. Angka-angka yang rendah ini terus digunakan walaupun kerajaan sedar pendapatan sehingga RM 3,500 sebulan hanya membolehkan sebuah keluarga menyediakan kemudahan asas semasa untuk hidup.

22. Garis kemiskinan yang rendah ini juga memberi gambaran tahap kemiskinan negara tidak serius. Kita diberi gambaran bahawa mereka yang berpendapatan melebihi RM 510 sudah dianggap mampu memenuhi keperluan asas walhal dalam realiti kehidupan moden kini, pendapatan sebanyak itu adalah terlalu rendah.

23. Sebagai satu gabungan parti politik yang prihatin terhadap nasib rakyat, Barisan Alternatif telah membuat kajian perbelanjaan isi rumah bagi penduduk bandar dan luar bandar. Kajian tersebut mendapati satu keluarga lima orang di bandar memerlukan RM 3,050 sebulan sementara di luar bandar memerlukan RM 2,250 sebulan untuk menyara keperluan hidup moden yang asasi. BA mentakrifkan keluarga mampu sebagai sebuah isi rumah yang terdiri daripada lima orang ahli keluarga yang menikmati pendapatan RM3,050 sebulan bagi kawasan bandar dan RM2,250 sebulan di desa dan pekan.

24. Keperluan kewangan ini meliputi keperluan rumah yang sederhana, kenderaan mampu beli (kereta Proton), belanja makan, bayaran bil air, letrik dan telefon, bayaran pendidikan anak-anak, rawatan kesihatan pesakit luar dan sedikit rekreasi keluarga. Sila rujuk lampiran bagi butiran keperluan perbelanjaan.

25. Keperluan yang disenaraikan hanyalah keperluan asas mengikut taraf hidup masa kini. Tidak termasuk di dalam senarai tersebut ialah bayaran kelas tuisyen, rawatan perubatan swasta, kemasukan wad di hospital, penggunaan hawa dingin dan menjamu keluarga di restoran dan penyelenggaran kenderaan.

26. Melalui Belanjawan 2004, BA meletakkan sasaran untuk menstruktur semula kehidupan rakyat dengan matlamat supaya rakyat dapat memenuhi dan menikmati keperluan asas zaman moden. Berdasarkan maklumat yang terkandung di dalam dokumen RMK8 dan mengguna pakai konsep keluarga mampu yang kita cadangkan di sini, maka pada hari ini terdapat 20% bilangan isi rumah yang merupakan keluarga mampu dan 80% bilangan isi rumah boleh dikategorikan sebagai keluarga tak mampu. Matlamat Barisan Alternatif menjelang 2020 ialah Keluarga Mampu akan menjadi 80% sementara Keluarga Tak Mampu akan turun kepada 20%. Matlamat ini akan memberi pengisian sebenar kepada matlamat pembangunan negara iaitu, memperkasa institusi kekeluargaan. Keluarga yang perkasa asas kekuatan negara.

27. Strategi mewujudkan lebih banyak keluarga mampu yang sekaligus merapatkan jurang perbezaan pendapatan memerlukan pendekatan serampang dua mata. Pertama  ialah meningkatkan pendapatan keluarga dan yang kedua mengurangkan atau menstabilkan kos perbelanjaan.

28. Langkah meningkatkan pendapatan keluarga memang merupakan satu cabaran yang besar bagi sektor awam dan swasta. Di sektor awam kebanyakan mereka yang bekerja dengan kelulusan SPM sama ada di Perkhidmatan Awam, Polis atau Tentera mendapat gaji dan elaun yang tidak melebihi RM900. Gaji tertinggi mereka ialah RM1,800.

29. Di sektor swasta pula mereka yang bekerja sama ada di kilang, di bidang perkeranian dan pemasaran hanya mendapat gaji tidak lebih RM1,000 sebulan. Biasanya suami dan isteri terpaksa bekerja untuk mengganda pendapatan. Itupun tidak cukup untuk mencapai taraf keluarga mampu. Apabila ibu dan bapa bekerja, penjagaan anak-anak dikorbankan. Nampaknya ada lojik cadangan untuk menetapkan hanya wanita berumur 40 tahun ke atas boleh bertanding sebagai calon pilihanraya atas alasan keutamaan dan kepentingan anak-anak dan keluarga.

30. Di bidang pertanian, para petani dan peladang bergantung kepada harga keluaran tanaman. Pekebun sawit seluas 5 ekar boleh dapat di antara RM250 hingga RM1,200 sebulan. Penanam padi seluas 5 relong boleh dapat purata di antara RM150 hingga RM400 sebulan.

31. Sejak akhir-akhir ini peniaga warung terjejas kerana rakyat mengurangkan belanja. Jualan di warung berkurangan di antara 30% - 70%. Di dalam iklim perniagaan hari ini peniaga warung yang mendapat untung bersih RM1,500 selepas membayar gaji pekerja dianggap bernasib baik.

32. Walau apapun, sama ada seseorang itu makan gaji di sektor awam ataupun swasta, bertani ataupun berniaga majoriti pendapatannya tidak melebihi RM1,500 sebulan. Berdasarkan pengkelasan di bawah RMK8, saiz pendapatan seperti ini adalah di dalam kategori pendapatan rendah dan dalam konteks definasi keluarga mampu yang kita cadangkan di dalam Belanjawan ini, jumlah pendapatan tersebut tidak mampu untuk menampung keperluan perbelanjaan keluarga zaman moden.

33. Tahap kemampuan keluarga menyediakan kemudahan hidup yang asas semakin terjejas apabila kos perbelanjaan keluarga meningkat dengan ketara semenjak kerajaan melaksanakan langkah penswastaan. Bayaran ansuran dan sewa rumah naik, bayaran letrik naik, bayaran air naik, bayaran pengangkutan termasuk tol bertambah, kos rawatan kesihatan melambung dan belanja persekolahan juga bertambah.

Rumah

34. BA akan mengambil langkah proaktif supaya matlamat 80% isi rumah mempunyai rumah mampu milik dapat dicapai. Selain dasar yang mahu dilaksanakan melalui Syarikat Perumahan Negara, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) disetiap negeri harus kembali kepada fungsi asal membangunkan rumah mampu milik harga rendah dan harga sederhana.

35. Amat dikesalkan apabila PKEN yang pada suatu ketika dulu mempunyai pengalaman dan kepakaran pembangunan perumahan kini hanya menjadi tuan tanah dan melantik syarikat gergasi perumahan sebagai rakan kongsi memajukan tanah milik PKEN.

36. PKEN ini ditubuhkan untuk melaksanakan fungsi sosial, tetapi apabila ia menjalinkan usahasama dengan syarikat pemaju swasta matlamatnya berubah kepada mengaut keuntungan dan fungsi sosialnya terpaksa dikorbankan. Bagi membolehkan PKEN menyediakan rumah mampu milik, BA mencadangkan untuk memberi pinjaman modal pusingan dalam jumlah yang sewajarnya kepada PKEN-PKEN. Pinjaman dari bank yang mengenakan syarat dayamaju dan keuntungan yang tinggi perlu diberhentikan kerana bebannya pada akhirnya dialihkan kepada rakyat.

37. Prestasi PKEN pula perlulah diukur dari segi pencapaian objektif sosial dan tidak terbawa-bawa dengan prestasi keuntungannya. Dengan kos tanah yang rendah dan skala pembangunan yang besar PKEN dijangka dapat mengurangkan harga rumah sebanyak 20%. Untuk memastikan pencapaian hasrat ini, BA tanpa kompromi akan membanteras amalan rasuah di dalam setiap projek perumahan ketika berurusan dengan pihak berkuasa negeri mahupun dengan sektor swasta perlu dihapuskan.  

38. Bagi memaksa harga rumah turun, kerajaan wajar dalam tempoh 5 tahun serahkan kepada kuasa pasaran untuk menentukan harga hartanah. Pasaran hartanah semasa merupakan pasaran pembeli. Stok hartanah berlebihan sebanyak RM 7 billion. Harga rumah sepatutnya dah turun tetapi ini tidak berlaku. . Sikap kerajaan yang terlalu pro-bisnes dengan berbagai insentif dan galakan kredit untuk sektor hartanah di dalam pakej-pakej rangsangan telah mengekalkan harga rumah di paras yang tinggi.

39. Ini berbeza dengan dasar kerajaan pada tahun 1980an yang pro pengguna yang akhirnya memaksa tauke hartanah menurunkan harga. Sekiranya dasar 1980an digunapakai, harga hartanah dijangka sudah turun 30% - 40% dan lebih ramai rakyat khususnya keluarga muda akan memiliki kediaman berkualiti.

Kenderaan

40. Perbelanjaan untuk kereta merupakan komponen tertinggi perbelanjaan isi rumah keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Memiliki sebuah kereta merupakan keperluan setiap keluarga. Malangnya bagi keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang tak mampu membeli kereta baru, kos penyelenggaraan kereta terpakai adalah tinggi. Kos pengangkutan menjadi lebih tinggi apabila bayaran tol di lebuhraya melebihi bayaran petrol.

41. Bayaran tol sepatutnya hanya mengambilkira kos pembinaan lebuhraya dan kos penyelenggaraan perkhidmatan lebuhraya. Malangnya komponen rasuah dan tambahan harga (mark-up) sebanyak 30% di dalam kos pembinaan lebuhraya telah menyebabkan bayaran tol melambung naik. Rakyat buat masa ini terpaksa membayar kedua-dua cukai jalan dan tol.

42. Melalui belanjawan ini BA mencadangkan supaya kutipan tol dimansuhkan secara berperingkat. Buat permulaan konsesi jalan bertol yang menghala ke semua pusat bandar akan dikaji semula dengan tujuan untuk dimansuhkan.

43. Menjelang perlaksanaan AFTA pasaran automotif dijangka akan menjadi lebih kompetitif. Beberapa syarikat automotif telah mengeluarkan model baru kenderaan dengan harga lebih rendah. Syarikat automobil negara, Proton dan Perodua haruslah menjadikan ini sebagai satu cabaran.

44. Proton dan Perodua wajar menimbangkan usahasama dengan lain-lain syarikat aotomobil untuk mencapai tahap pengeluaran optima. Vendor tempatan kepada Proton dan Perodua juga perlu meningkatkan kecekapan pengeluaran supaya harga keluaran mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

45. Kerajaan wajar mengizinkan persaingan yang sihat disektor automotif untuk kepentingan pengguna. Barisan Alternatif ingin mengulangi jaminannya bahawa menjelang AFTA harga kenderaan harus turun bersesuaian dengan pelaksanaan regim cukai yang rendah dan persaingan terbuka. Kerajaan BA akan menerima pakai AFTA sepenuhnya supaya kesan kemakmuran ekonomi serantau yang dijanjikan oleh AFTA akan dapat direalisasikan sepenuhnya..

46. Buat masa ini pasaran kereta terpakai mengalami situasi berlebihan. Langkah institusi kewangan menggalakkan pinjaman bagi pembelian kenderaan dengan kadar faedah yang rendah telah menyokong harga pada paras yang tinggi. Langkah ini tidak mungkin berkekalan. Sebarang langkah pengekangan kredit akan menyebabkan harga kereta terpakai terus menjunam.

47. Usaha menurunkan harga kenderaan dan bayaran tol dijangka mengurangkan komponen kos pengangkutan didalam perbelanjaan isi rumah daripada 30% - 35% kepada 20% - 25%. Penjimatan bulanan ialah RM80 – RM90.

Elektrik dan Air

48. Elektrik dan air merupakan keperluan asas setiap keluarga, peniaga dan industri. Perlaksanaan penswastaan bekalan elektrik dan air telah menyebabkan tarif elektrik dan air melambung naik. Keadaan menjadi lebih buruk apabila syarikat konsesi diapung di pasaran saham.

49. Syarikat yang disenaraikan seperti Tenaga Nasional mempunyai tanggungjawab kewangan kepada pemegang sahamnya yang jauh mengatasi tanggungjawabnya kepada rakyat. Sangat memeranjatkan apabila baru-baru ini Pengerusi TNB bertanyakan apa sumbangan Kelantan yang boleh diberikan kepada TNB? Soalan yang sewajarnya ditanyakan ialah apakah sumbangan TNB kepada rakyat?

50. Tarif elektrik melambung naik apabila TNB terpaksa membayar harga yang tinggi bagi elektrik pukal yang dibekal oleh syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). TNB membayar 14 sen setiap unit elektrik yang selama ini TNB jana dengan kos 8 sen sahaja. Inilah antara punca seorang bekas Pengerusi TNB meletakkan jawatannya kerana tidak setuju dengan syarat perjanjian IPP yang memihak kepada syarikat konsesi, merugikan TNB dan membebankan rakyat.

51. BA mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula perjanjian dengan semua syarikat IPP dan membayar harga pukal elektrik mengikut kaedah cost-plus TNB. Sebarang penjimatan daripada rundingan semula ini hendaklah di manfaatkan kepada pengguna dalam bentuk tarif lebih rendah.

52. Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk mengambilalih urusan bekalan air setiap negeri. Semua negeri telah setuju kecuali Kelantan dan Terengganu. Alasan Kerajaan Persekutuan ialah kerajaan negeri tak mampu mengurus perkhidmatan bekalan air. Kerajaan Persekutuan pula tak sanggup terus menerus memberi pinjaman kepada kerajaan negeri untuk projek bekalan air.

53. Barisan Alternatif berpendapat bahawa air merupakan hak negeri yang termaktub di dalam Perlembagaan. Hak pengurusan air perlu dikekalkan kepada kerajaan setiap negeri. Sebuah kerajaan negeri boleh menjual atau membeli air dari kerajaan negeri yang lain.

54. Bagi mengatasi masalah pengurusan bekalan air dicadangkan supaya Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran Capitation Grant kepada setiap kerajaan negeri. Kami mencadangkan bayaran Capitation Grant dinaikkan kepada RM100 bagi 500,000 penduduk negeri yang pertama dan RM50 bagi setiap penduduk negeri yang selebihnya.

55. Memandangkan air melibatkan isu keselamatan kami mencadangkan supaya bekalan air tidak diswastakan. Langkah kerajaan negeri Johor menswastakan bekalan air telah menyebabkan tarif bekalan air naik 30%.

56. Bayaran tarif elektrik dan air telah meningkat begitu ketara sejak beberapa tahun yang lalu. Peningkatan ini sangat membebankan rakyat. Langkah yang dicadangkan di atas akan memastikan tarif-tarif tersebut sekurang-kurangnya kekal pada parasnya yang ada buat beberapa waktu.

Telefon

57. Perkhidmatan telefon wajar kekal dilaksanakan sektor swasta. Pasaran telefon yang kompetitif telah banyak menguntungkan pengguna. Walaubagaimanapun, langkah pengurangan kos oleh Syarikat Telekom Malaysia Bhd janganlah sampai terpaksa memberhentikan pekerjanya pada hujung tahun ini.

Pendidikan

58. Kontroversi pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris sudah reda. Ianya reda bukan kerana dasar kerajaan tersebut sudah diterima. Ianya reda kerana rakyat tak mampu menghalang kehendak kerajaan yang memaksa dasar tersebut dilaksanakan sepantas kilat dengan pengumuman perbelanjaan RM 5 billion pada tahun lalu. Rakyat hanya tunggu dan lihat kesan negatif yang sering timbul apabila satu-satu projek dilaksanakan secara tergesa-gesa.

59. Projek makmal komputer Kementerian Pendidikan merupakan satu contoh bagaimana kerajaan menolak prosidur pemberian kontrak kerajaan untuk membolehkan kontrak diberikan kepada kroni. Berlaku juga sikap cemburu di antara Kementerian Pendidikan yang mengawasi makmal komputer sekolah dengan Kementerian Kewangan yang merundingkan pemberian kontrak. Peranan Jabatan Kerjaraya langsung diketepikan untuk membolehkan penyelewengan dilakukan tanpa teguran. Tempoh kontrak tidak munasabah. Sekiranya kontrak makmal komputer dirujuk kepada Jabatan Kerjaraya sudah pasti jurutera JKR dapat mengurus projek secara professional dan menyelamatkan wang beratus juta ringgit daripada dibazirkan.

60. Pada masa lalu, negara mengambil langkah bijak melabur di bidang pelajaran. Pada tahun 1970-an ramai penuntut Melayu diberi peluang untuk belajar di dalam dan di luar negara. Hari ini kebanyakan dari mereka menjadi pentadbir, pengurus dan professional di bidang masing-masing. BA mencadangkan setiap anak diberi pendidikan percuma sehingga peringkat menengah.  Bagi anak-anak dari keluarga tidak mampu dicadangkan supaya dinaikkan pemberian awal tahun untuk memulakan persekolahan dari RM 120 kepada RM 200. Selain dari itu tabung biasiswa dan pinjaman yang mencukupi perlu disediakan untuk melahirkan lebih ramai graduan didalam ekonomi berteraskan ilmu.

61. Pendidikan merupakan tugas asasi kerajaan. Sejarah pendidikan negara menunjukkan bentuk pendidikan rasmi yang dianjur oleh kerajaan dan pendidikan agama dan bahasa ibunda yang diusahakan oleh masyarakat setempat. Sistem pendidikan sebegini sudah berakar umbi sekian lama. Barisan Alternatif mencadangakan semua sekolah rendah samada yang dianjur oleh kerajaan atau sekolah agama dan bahasa ibunda diberi bantuan kewangan yang saksama. Langkah kerajaan memberi bantuan sedemikian akan memudahkan usaha mengawas kurikulum untuk membentuk integrasi nasional.

Kesihatan

62. Kos mendapat rawatan perubatan telah melambung tinggi. Hakikatnya ialah kos rawatan bagi beberapa prosidur jauh lebih tinggi di Malaysia daripada beberapa negara Asean dan Australia. Rawatan di hospital kerajaan terpaksa menunggu giliran yang lama.

63. Kos rawatan bagi prosidur mudah di hospital swasta ialah di antara RM3,000-RM5,000. Pembedahan memakan belanja RM15,000 – RM30,000. Bagi penyakit kronik kita biasa dengar kos rawatan sehingga RM200,000 – RM300,000. Bayaran di Hospital Universiti tidak kurang mahalnya. Ada peneroka Felda yang dimasukkan ke Hospital Universiti dikejutkan dengan bayaran bil RM15,000 – RM20,000. Murid sekolah dimasukkan ke wad kerana patah tangan dikenakan bayaran RM500

64. Melalui belanjawan ini, Barisan Alternatif mencadangkan supaya kerajaan mengawal kos rawatan dengan meluluskan satu skala bayaran bagi setiap rawatan dan prosidur.

65. Di samping itu kerajaan harus mengawal kos ubat yang dibeli oleh farmasi kerajaan di mana ada kes kerajaan membayar 300% lebih tinggi daripada pembelian oleh klinik swasta. Amalan korupsi dan penyelewengan di dalam pembelian awam nampaknya tidak mengecualikan perkhidmatan kesihatan.

66. Barisan Alternatif dimaklumkan kerajaan hanya menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (National Health Financing Scheme).  Besar kemungkinan ia akan diperkenalkan selepas pilihanraya akan datang. Skim ini yang melibatkan pembayaran premium insuran kesihatan akan membolehkan setiap rakyat dijamin rawatan kesihatan pada setiap masa. Tetapi tidak semua rakyat mampu membayar premium kesihatan tersebut. BA mencadangkan supaya potongan statutori EPF dikurangkan dan amaunnya dicarumkan sebagai premium SPKN. Bagi mereka yang dibawah garis kemiskinan BA mencadangkan caruman sifar dari mereka.

Bonus

67. Sebagai mengiktiraf sumbangan kakitangan kerajaan termasuk polis dan tentera, BA mencadangkan bayaran bonus sebanyak satu setengah bulan gaji yang dibayar 2 kali ansuran.

Pendapatan dan Potongan Cukai

68. BA juga turut mencadangkan beberapa langkah sokongan ke arah meningkatkan usaha mewujudkan lebih banyak keluarga mampu dengan:

Menetapkan had minima pendapatan untuk taksiran cukai sebanyak RM30,000.

Menambah had maksima pemotongan taksiran cukai bagi premium insuran pendidikan dan kesihatan ke RM5,000.

Potongan pendapatan bagi kos pembelajaran kanak-kanak RM500 bagi bawah 12 tahun.

Menambah potongan pendapatan melalui pembelian buku dan bahan pendidikan sehingga RM1,000.

Memberi potongan penuh dari pendapatan bagi pembelian komputer sebanyak RM5,000 untuk dipotong selama tiga tahun.

Menambah potongan bagi yuran kursus sarjana dan sarjana kedoktoran sebanyak RM10,000 setahun.

Menggantikan kadar faedah 4% untuk pinjaman pendidikan PTPTN dengan caj pengurusan 0.5%.

Membenarkan potongan pendapatan sebanyak RM5,000 untuk penjagaan ibu bapa.

Menghapuskan cukai jalan bagi motosikal bawah 250 cc.

Wanita

69. BA juga prihatin terhadap pembangunan kaum wanita. Sebagai teras kepada wujudnya keluarga yang bahagia dan kukuh, BA akan memberikan penekanan kepada Tabung Usahawan Wanita untuk memberi peluang kepada wanita terpinggir terutama pembelaan di kalangan ibu tunggal. Dana untuk latihan akan diberi kepada pertubuhan seperti Yayasan Pendidikan Vokasional Wanita.

Kewangan Sektor Awam dan Swasta

70. Ekonomi negara digerakkan oleh kedua-dua sektor awam dan swasta. Di dalam era globalisasi pelaburan asing dan perdagangan antarabangsa juga memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara.

71. Pengalaman di Malaysia menunjukkan ekonomi negara digerakkan 25% oleh sektor awam dan 75% oleh sektor swasta. Di dalam sektor awam Kerajaan Persekutuan dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) masing-masing menyumbang 43% daripada jumlah keseluruhan pelaburan awam. Baki 14% disumbang oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.

72. Data mengenai economic drivers ini penting supaya kita dapat memahami sejauh mana strategi belanjawan negara dapat mempengaruhi kegiatan ekonomi. Keupayaan strategi belanjawan mempengaruhi kegiatan ekonomi bergantung kepada berbagai faktor. Adakalanya pengguna dan industri respon secara berkesan. Adakalanya respon pengguna dan industri tidak seghairah langkah belanjawan yang diperkenalkan. Ada juga berlaku seperti di Jepun, pengguna dan industri menjadi lali dan tidak respon kepada langkah belanjawan dan kewangan. Pakar ekonomi mengistilahkan fenomena ini sebagai Perangkap Kecairan (Liquidity Trap). Walaupun kerajaan Jepun memperkenalkan berbagai langkah fiskal dan kewangan sehingga kadar faedah jatuh pada angka sifar pengguna dan industri di Jepun tidak bangkit untuk mengulangi kehebatan silam.

73. Malaysia perlu realistik di dalam memperkenalkan langkah belanjawan dan kewangan. Pemimpin perlu ada kesungguhan politik untuk mengubah dasar atau mengubah keutamaan program supaya mendapat impak optima.

74. Malangnya di Malaysia dasar ekonomi dan kewangan berhubung rapat dengan muslihat parti pemerintah mengekalkan kuasa. Bajet 2004 akan menjadi Bajet Pilihanraya. Menteri Kewangan dijangka akan terus mengumumkan projek baru dan berbagai hadiah yang akhirnya akan membebankan rakyat.

75. Projek baru akan diumumkan bukan kerana rakyat memerlukannya tetapi kerana rakan dan penyokong parti terus memerlukan projek dan kontrak. Apabila sekolah, hospital, kem tentera, makmal komputer, sistem perparitan dan jalanraya siap dibina berbagai kekurangan dapat dikesan dan wang rakyat terpaksa dibelanjakan berlipat kali ganda untuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan dan infastruktur.

76. Jika ditakdirkan, Barisan Alternatif mengambilalih kuasa selepas ini, kita akan menanggung berbagai beban sebagaimana kerajaan Terengganu terpaksa menanggung beban peninggalan pemerintahan yang lalu.

Kapasiti berlebihan

77. Negara hari ini berhadapan dengan situasi kapasiti berlebihan (over capacity). Fenomena kapasiti berlebihan ini akan menjadi beban kepada belanjawan Kerajaan Persekutuan. Sudah wujud kebimbangan tentang beban penyelenggaraan aset kerajaan dan projek mega pada masa akan datang. Sehubungan dengan itu, Barisan Alternatif bersependapat dengan Kementerian Perumahan bahawa perlu diwujudkan satu Dasar Negara bagi Pengurusan Aset.

Pertahanan

78. Menangani ancaman keganasan antarabangsa dan serantau, BA mencadangkan perbelanjaan pertahanan negara dibuat dengan cermat dengan memberikan tumpuan kepada membangunkan sendiri industri pertahanan negara. Sehubungan itu BA akan memberikan tumpuan kepada pembangunan kepakaran sumber manusia di dalam bidang ketenteraan.

Perbelanjaan Pembangunan

79. Menjelang pembentangan Bajet 2004 Barisan Alternatif juga sedang memerhatikan dengan rapat peruntukan pembangunan bagi tahun 2004 dan 2005. Tempoh RMK8 yang bermula pada 2001 akan berakhir pada 2005. RMK8 telah memperuntukkan perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM110 billion.

80. Mengikut perancangan asal perbelanjaan pembangunan sehingga akhir tempoh RMK8 akan menurun sehingga RM18.2 billion bagi tahun 2005. Adakah kerajaan akan mengekalkan perancangan asalnya atau mencipta projek baru dan menyebabkan defisit lebih buruk di dalam kewangan Kerajaan Persekutuan?

81. Barisan Alternatif juga sedang memerhatikan sama ada kerajaan akan mengotakan janjinya untuk mengemukakan belanjawan berimbang mulai tahun 2005. Jika kerajaan serius dengan janjinya, Bajet 2004 sepatutnya memberi isyarat yang jelas. Jika ini tidak berlaku jelaslah negara akan terus dibebani dengan hutang yang lebih tinggi dan kedudukan antarabangsa negara akan menjadi lebih terancam.

Hasil dan Perbelanjaan

82. Kerajaan BA jika diberikan peluang berkuasa akan melaksanakan belanjawan berimbang. Kami berpendapat tahun 2004 merupakan waktu terbaik bagi kerajaan untuk membentang belanjawan berimbang setelah melalui defisit 6 tahun berturut-turut. Berdasarkan prestasi sektor korporat yang lebih baik, Kerajaan Persekutuan dianggarkan dapat memungut hasil disekitar RM93.4 billion. Belanja mengurus boleh dikawal supaya tidak melebihi RM70.8 billion. Dengan memperuntukkan RM21.2 billion bagi perbelanjaan pembangunan kerajaan akan mempunyai lebihan hasil sebanyak RM1.4 billion. Dengan baki tunai di akaun semasa hutang Kerajaan Persekutuan boleh dikurangkan.

Belanjawan Berimbang

83. Strategi belanjawan berimbang difikirkan wajar kerana sebarang langkah rangsangan melalui perbelanjaan pembangunan atau perbelanjaan mengurus dijangka tidak membawa kesan yang setimpal. Keyakinan pengguna dan pelabur sudah berubah. Pengguna lebih banyak menabung dari berbelanja. Pelabur pula mempunyai lain destinasi atau mengambil sikap tunggu dan lihat.

84. Strategi belanjawan berimbang dijangka mempunyai kesan positif di dalam tempoh 3 - 5 tahun. Keyakinan kepada pengurusan kewangan kerajaan akan bertambah. Melalui langkah galakan cukai dan insentif, sektor swasta akan kembali untuk menjadi enjin pertumbuhan negara. Inilah harapan kerajaan melalui RMK8 di mana perbelanjaan pembangunan kerajaan untuk tahun 2005 hanyalah sebanyak 18.2 billion.

85. Apabila keyakinan swasta kepada pengurusan ekonomi negara pulih, ekonomi akan digerakkan 80% oleh sektor swasta dan 20% oleh sektor awam. Dinamik belanjawan Kerajaan Persekutuan ke atas ekonomi negara perlu difahami dengan baik. Kecuali perbelanjaan pembangunan, kebanyakan perbelanjaan kerajaan termasuk bayaran faedah dan gaji sektor awam tidak boleh diubah. Pada keseluruhannya, hanya 30% daripada perbelanjaan kerajaan termasuk perbelanjaan pembangunan yang boleh diubah keutamaannya. Perubahan kepada keutamaan inilah yang membezakan Barisan Alternatif dan Barisan Nasional.

IMF

86. Kita sering diasak dengan cerita kononnya kita pulih dari Krisis Kewangan 1997 kerana menolak formula IMF. Dakyah juga dilemparkan kononnya bekas Menteri Kewangan merupakan seorang yang dipengaruhi IMF. Perlu dingatkan sewaktu krisis berlaku pengurusan kewangan Kerajaan Persekutuan telah diurus dengan cermat dan berhemat sehinggakan mampu membuat bayaran awal hutang (prepayment) sebanyak RM 9 billion. Negara tidak meminta bantuan pinjaman IMF dan IMF tidak perlu menawarkan sebarang pinjaman kepada Malaysia. Tidak timbul soal IMF mengenakan syarat dan negara terpaksa tunduk kepada kehendak IMF.

87. Tuduhan mengenai boneka IMF bermotif politik semata-mata. Tuduhan palsu dibuat kerana Kementerian Kewangan pada waktu itu telah memperkenalkan beberapa langkah kewangan yang tidak disenangi oleh beberapa pihak. Langkah menguatkuasakan peraturan badan pengawas seperti Suruhanjaya Sekuriti  tanpa memilih bulu cukup menimbulkan kemarahan mereka. Seterusnya pendirian bekas Menteri Kewangan untuk tidak berkompromi dengan langkah bail-out yang di cadangkan oleh Perdana Menteri telah  dianggap sebagai engkar perintah.

88. Pengurusan kewangan negara perlu diurus dengan cekap dan amanah. Disiplin pengurusan kewangan perlu untuk mengembalikan keyakinan pelabur dalam dan luar negara. Korea Selatan dan Thailand yang patuh kepada preskripsi IMF kini membangunkan semula ekonomi dengan pesat. Kita juga bersyukur kerana negara kita dijangka dapat mencapai pertumbuhan sederhana 4.5% .

Saiz Ekonomi dan Pasaran

89. Syarikat penerbangan negara MAS telah belajar dari kesilapan lampau apabila MAS mengembangkan destinasi ke seluruh pelusuk dunia. Banyak di antara laluan seperti ke Mexico dan Chile tidak menguntungkan. Hari ini MAS lebih fokus dan memberi tumpuan kepada laluan menguntungkan di Asia dan Eropah.

90. Untuk mewujudkan ekonomi yang mempunyai dayasaing dan berdaya tahan kita perlu tentukan saiz ekonomi dan saiz pasaran dunia yang boleh kita kuasai dan pertahankan. Kita wajar memilih bidang yang kita mempunyai kelebihan dan kepakaran dan kita asah kekuatan kita melalui program R & D yang melibatkan kerjasama erat antara industri dan universiti. Kita perlu sedar bahawa lain-lain negara juga berlumba-lumba untuk meningkatkan dayasaing. Globalisasi memaksa setiap negara supaya sentiasa cekap dan berdaya saing. Negara yang rakyatnya menjadi manja kerana kemewahan akan hilang dayasaingnya.

91. Melalui belanjawan 2004 ini dicadangkan supaya :

Galakan diberi kepada syarikat untuk menembusi pasaran baru.

Galakan diberi bagi kerja penyelidikan dan pembangunan (P & P) yang membawa punca hasil yang baru. Di sektor petroleum galakan cukai wajar diberi kepada syarikat minyak yang melakukan explorasi berisiko tinggi.

Galakan diberi bagi kerja P & P di dalam industri berasaskan sumber tempatan. Industri herba dan bioteknologi perlu dipergiatkan dan dikomersilkan di pasaran antarabangsa.

Hubungan pro aktif perlu diwujudkan di antara industri dan universiti. Industri perlu memanfaatkan kemudahan P & P di universiti. Universiti pula perlu memanfaatkan pengalaman tokoh industri. Galakan harus diberi kepada tokoh industri berkongsi pengalaman dengan universiti dengan bayaran yang kompetitif.

Ekonomi Mapan dan Seimbang

92. Krisis kewangan 1998 merupakan satu pengajaran pahit bagi negara kita. Krisis tersebut mengajar kita supaya ekonomi diurus secara mapan dan seimbang. Berikutan krisis tersebut kerajaan telah menubuhkan Danaharta, Danamodal dan Corporate Debt Restructuring Committee (CDRC) untuk menyelamat sektor perbankan dan sektor korporat daripada muflis. Setakat ini usaha menyelamatkan bank dan korporat hampir selesai. Ramai tokoh korporat yang sudah diselamatkan kini ghaib dari dunia korporat tanahair. Kita berdoa mereka akan kembali untuk berbakti kepada rakyat.

93. Krisis Kewangan 1998 juga telah memaksa banyak syarikat distruktur semula. Pengstrukturan semula biasanya melibatkan penggabungan dan penutupan syarikat. Ada juga syarikat yang digulung kerana tidak lagi berdaya maju. Akibatnya ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan dan syarikat tak mampu bayar pampasan. Adalah dicadangkan supaya satu Dana Pampasan Pekerja diwujudkan untuk membantu pekerja yang tidak mendapat pampasan apabila syarikat majikan digulung. Bayaran pampasan ini adalah untuk tempoh tertentu sementara pekerja terbabit mendapat pekerjaan baru. Sumber dana adalah daripada caruman majikan dan pekerja dan diurus oleh SOCSO.

Keselamatan Awam

94. Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan berbagai jenayah yang mengerikan. Jenayah culik, rogol, bunuh dan bakar semakin menjadi-jadi. Pembunuh upahan mengiklankan khidmat mereka. Ceti haram atau Along bertindak ganas apabila wang pinjaman tidak dibayar.

95. Rakyat khususnya wanita tidak lagi berasa selamat untuk bergerak ke mana-mana. Perasaan takut dan bimbang sentiasa menghantui fikiran samada di rumah, di jalanraya atau di pusat beli-belah. Hambatan kehidupan moden, adegan ganas di televisyen dan nilai  moral yang rendah adalah di antara punca berlakunya jenayah.

96. Skim kredit mikro sebanyak RM500 juta merupakan langkah bijak untuk menyelamatkan peniaga kecil dari cengkaman Along. Diharapkan pelaksanaan skim ini menepati matlamat skim dan tidak diselewengkan. Belanjawan 2004 akan memastikan skim kredit mikro mempunyai dana yang cukup untuk membantu peniaga kecil.

97. Bangsa Malaysia perlu dididik dengan sifat yang mulia dari kecil lagi. Sifat kasih sayang sesama insan, sikap menghargai nyawa, darah dan maruah serta semangat perpaduan harus digalakkan. Polis dan pihak berkuasa undang-undang mempunyai tanggungjawab besar untuk mewujudkan suasana selamat di dalam negara. Tugas polis menjaga keamanan perlu diutamakan mengatasi apa-apa tugas risikan untuk kepentingan politik parti pemerintah.

Garis Kemiskinan dan Gaji Minima

98. Dasar Sosial Negara yang dilancar Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini telah menggariskan objektif menjamin setiap individu keluarga dan komuniti menikmati kesejahteraan hidup berterusan dengan persekitaran fizikal yang baik. Berlandaskan objektif tersebut serta penyiasatan perbelanjaan isi rumah yang kami lakukan serta disokong data pendapatan isi rumah RMK8 kami meletakkan pendapatan RM1,250 sebulan sebagai garis kemiskinan 2003 bagi Semenanjung Malaysia. Garis kemiskinan bagi Sabah ialah RM 1,700 dan Sarawak pula RM 1,450. Keluarga yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan layak mendapat segala bantuan persekolahan dan perubatan yang disediakan oleh kerajaan.

99. Sesuai dengan garis kemiskinan yang baru, kami mencadangkan gaji minima RM1,250 sebulan bagi semua sektor awam dan swasta. Pelaksanaan gaji minima ini diberi tempoh 2 tahun.

100. Pelaksanaan gaji minima dijangka mencetuskan inflasi yang boleh dikawal sekitar 5%-6%. Inflasi ini dijangka positif kepada ekonomi kerana akan menggalakkan perbelanjaan.

101. Pada tahun 2002, Badan Pencegah Rasuah menerima 8,298 aduan. Daripada jumlah tersebut 290 tangkapan dibuat dan 200 orang dihadapkan ke mahkamah. Kadar pendakwaan sebanyak 2.5% sangatlah rendah.

102. Buat masa ini setiap kontrak kerajaan memberi keuntungan yang jauh lebih lumayan.daripada kontrak di sektor swasta. Keuntungan yang lumayan ini menggalakkan amalam rasuah dan kick-back. Belanjawan 2004 wajar meningkatkan kecekapan dan keperluan tenaga professional Badan Pencegah Rasuah supaya wang rakyat dapat dijimatkan.

Industri Makanan dan Pertanian

103. Nilai impot makanan negara sebanyak RM12 billion setahun masih lagi tinggi. Walaupun langkah mengatasi kemelut ini diumum setiap tahun komitmen kerajaan bagi sektor makanan dan pertanian tidak setanding dengan komitmen kepada projek MSC dan pembangunan Langkawi. Seorang bekas Ketua Pengarah Pertanian pernah menyatakan kekecewaannya kerana program pertanian sering dianggap remeh. Industri pertanian disebut sebagai sunset industry. Kita juga merasa kecewa apabila Perdana Menteri dengan mudah mengumumkan bahawa projek Satu Kampung Satu Industri telah gagal. Nampak jelas industri kecil tidak menarik minatnya.

104. Kita juga bersetuju supaya kejayaan industri makanan dan pertanian di Thailand dijadikan contoh. Kerajaan Thailand telah memberi komitmen yang tinggi kepada projek ala ‘satu kampung satu industri’. Setiap kampung atau kelompok masyarakat diberi peruntukan bersamaan RM100,000. Peranan koperasi desa di Thailand memudahkan bantuan disalur dan tidak disalahgunakan. Koperasi desa membantu memasarkan keluaran desa.

105. Belanjawan 2004 mencadangkan supaya projek ‘Satu Kampung Satu Industri’ digerakkan dengan lebih berkesan dengan pesertanya dari kalangan golongan muda berumur 40 tahun ke bawah. Program ini diharap dapat memupuk persefahaman di kalangan golongan muda dan mengurangkan  penghijrahan ke bandar.

Alam Sekitar

106. Bagi memastikan alam sekitar terpelihara, BA mencadangkan agar cukai bagi aktiviti pembalakan dinaikkan dan memberi insentif yang baik untuk usaha tanam semula. Di samping itu BA akan memperkenalkan perlepasan cukai bagi aktiviti kitar semula, pengendalian bahan buangan, perubahan kepada sistem pengangkutan awam dan insentif kepada industri menggunakan teknologi kawalan pencemaran.

Bursa Saham Kuala Lumpur

107. Bursa Saham Kuala Lumpur mula menunjukkan peningkatan urusniaga selepas Amerika menguasai Iraq. Dagangan di BSKL dijangka terus rancak menjelang pembentangan Bajet 2004 dan dijangka menurun seminggu selepas itu. Pasaran dijangka terus lembab sementara menunggu perletakan jawatan Perdana Menteri. BSKL sebagai pemangkin pasaran modal harus kekal sebagai institusi yang tidak memihak. Cadangan mengapungkan BSKL Bhd dibimbangi menyimpang dari tujuan asalnya.

Cukai Syarikat dan Cukai Jualan

108. Kami ingin mengulangi cadangan yang kami buat pada tahun lalu supaya syarikat yang mendapat untung di bawah RM100,000 dikenakan kadar cukai lebih rendah. Walaupun kerajaan telah menurunkan kadar cukai kepada 20% kami mencadangkan supaya bagi keuntungan RM50,000 yang pertama dikenakan cukai 10% dan bagi RM50,000 yang kedua dikenakan cukai 15%. Kadar cukai lebih menarik ini dijangka akan meningkatkan bilangan mereka yang tampil untuk membayar cukai dan menambah pendapatan negara.

109. Sebagai langkah tambahan, BA mencadangkan kenaikan cukai jualan sebanyak tiga peratus ke atas arak, alkohol, rokok dan tembakau. BA juga mencadangkan demi menjaga sensitiviti agama semua sumber kewangan kerajaan yang tidak halal disisi agama Islam disimpan dan dibelanja di akaun yang  berasingan.

Pengurusan Sumber Negara

110. BA memberi jaminan untuk memastikan sumber negara diurus dengan baik Namun sekiranya kerajaan sedia ada dikekalkan, amalan-amalan penyelewengan dijangka akan berterusan. Sehingga kini belum ada tanda-tanda kerajaan sedia ada sudah memberhentikan amalan bail-out. Berita sudah pun tersebar Khazanah Nasional akan membeli 40% aset Country Heights Holding Bhd yang menanggung hutang RM800 juta. Perniagaan Country Heights melalui Mines Convention and Exhibition Centre dijangka menurun selepas ini apabila Putrajaya Convention Centre menjadi pusat konvensyen pilihan. Persoalannya, kenapa Khazanah Nasional membeli syarikat yang diketahui akan terjejas perniagaannya?

Komitmen Barisan Alternatif

111. Belanjawaan 2004 merupakan komitmen kami untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui strategi pertumbuhan domestik dan peningkatan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Kami berpegang kepada prinsip janji dikota. Segala cadangan yang dibuat telah mengambil kira keupayaan perbendaharaan negara dan mengekalkan kewangan kerajaan Persekutuan pada tahap yang kukuh. Segala cadangan belanjawan yang dibentangkan pada hari ini akan kami laksanakan sepenuhnya apabila diberikan amanah dan tanggungjawab oleh rakyat dalam pilihanraya akan datang.

112. Kami yakin rakyat ingin menikmati taraf hidup yang lebih baik dan negara ditadbir untuk kebaikan mereka. Belanjawan ini memberikan pilihan kepada rakyat dan kami yakin rakyat bijak untuk membuat keputusan mereka.

Tinjauan Ekonomi Dunia 2003-04

Ekonomi Malaysia adalah sebuah ekonomi yang terbuka. Sebagai ukuran, jumlah eksport dan importnya sebanyak RM658 bilion (2002) merupakan tiga kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (2002: RM219.3 bilion). Oleh itu, perkembangan ekonomi antarabangsa khasnya di negara-negara rakan dagang Malaysia yang utama, pastinya menghadirkan pengaruh yang besar ke atas prestasi ekonomi Malaysia.

Walaupun sudah banyak usaha dijalankan untuk mempelbagaikan  geografi pasaran, namun kejayaannya masih terhad. Hala tuju eksport Malaysia masih bertumpu kepada beberapa buah negara khasnya Amerika Syarikat yang menyerap lebih daripada 20% daripada eksport negara (2002), Singapura (17%), Negara Kesatuan Eropah (12%), Jepun (11%) dan Hong Kong SAR, Republik Rakyat Cina dan Taiwan sebagai satu kumpulan (16%). Ini bermakna, sebanyak lebih daripada 75% eksport negara diserap hanya oleh tujuh buah negara menandakan bahawa agihan geografi eksport masih sempit.

Oleh yang demikian, pemahaman mendalam mengenai keadaan, permasalahan dan cabaran ekonomi dunia khasnya rakan dagang utama Malaysia, adalah kritikal dalam  mencorak wajah belanjawan dan dasar ekonomi negara. Tinjauan yang dikemukakan di sini adalah berasaskan kepada “World  Economic Outlook” yang terkini yang dikeluarkan oleh “International Monetary Fund” (April 2003) dengan membuat rujukan tambahan kepada unjuran dan analisis yang dibuat oleh badan-badan penyelidikan ekonomi terkemuka yang lain.

Andaian

Unjuran garisdasar (baseline projections) yang dibuat oleh IMF adalah berasaskan andaian bahawa ketidaktentuan yang menyelubungi konflik di Iraq akan pada amnya selesai dalam jangka masa yang pendek dengan kesan limpahan yang kecil sahaja keluar melewati rantau yang terbabit dan impak konflik itu ke atas ekonomi dunia adalah terhad (“the uncertainties surrounding the conflict in Iraq are broadly resolved in the near term, with little spillover outside the region, and that the global economic impact is correspondingly limited”).

Setelah melihat dan menilai perkembangan selepas perang (postwar developments) - misalnya, tindakan ketenteraan berakhir dalam masa yang relatif singkat bertepatan dengan ramalan walaupun kekacauan masih terus berlaku, proses pemulihan ekonomi hanya berjalan secara perlahan dan sebagainya – maka andaian ini nampaknya boleh dipertahankan. Oleh itu, status unjuran yang dibuat oleh IMF masih lagi “reliable.” Juga, pengemaskinian yang dibuat oleh badan-badan penyelidikan ekonomi yang lain nampak tidak jauh lari daripada analisis dan unjuran yang dibuat oleh IMF itu.

Berasaskan andaian ini, IMF mengunjurkan bahawa pemulihan ekonomi dunia dijangka berterusan ke tahun 2003 tetapi pada kelajuan yang lebih sederhana (at a relatively subdued pace) dengan pertumbuhan pada 3.2%, iaitu, 0.2% lebih tinggi daripada tahun 2002.  Pemulihan berterusan ke tahun 2004. Namun, yang lebih penting bagi Malaysia ialah bagaimanakah keadaan ekonomi rakan  dagang utamanya?

Secara ringkas, perkembangan ekonomi di negara rakan dagang utama Malaysia (lihat Apendik 1) adalah seperti berikut:

Negera Perindustrian

Ekonomi Amerika Syarikat, rakan dagang utama Malaysia dijangka akan terus pulih dalam tahun 2003 walaupun pertumbuhan KDNK (2.2%) dijangka lebih rendah sedikit daripada tahun 2002 (2.4%). Maklumat terkini menujukkan bahawa ekonomi Amerika tumbuh pada kadar 3.1% dalam suku kedua tahun ini dengan peningkatan keuntungan korprat yang ketara sebanyak 15.3% pada asas tahunan.

Namun, halangan kepada pertumbuhan mapan masih wujud memandangkan masalah peningkatan dalam defisit akaun semasa, hutang peribadi yang tinggi dan kadar tabungan yang rendah. Setakat mana pemulihan ekonomi Amerika dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dunia masih diragui.

Pertumbuhan ekonomi di Rantau Euro dijangka akan mengecil dengan ketara memandangkan keadaan permintaan dalam negeri yang masih lemah, pengetatan dasar fiskal dan peningkatan nilai euro. Nilai pertukaran matawang Euro berbanding dolar Amerika telah meningkat sebanyak 11.5% sejak bulan September 2002. Ini melemahkan pertumbuhan sektor perkilangan. Di masa yang lepas sektor eksport menjadi enjin pertumbuhan tetapi kini ia dijangka akan menjadi “drag” kepada ekonomi dan keadaan ini dijangka berlanjut ke tahun 2004.

Ekonomi rantau Euro juga dihantui oleh masalah kekurangan daya saing. Masalah yang dikenali sebagai “Euro-sclerosis” ini telah dikenalpasti sejak tahun 1980an lagi tetapi ianya menjadi ketara sejak satu dekad yang terkini ini. Ianya berpunca daripada polisi kebajikan masyarakat yang melemahkan daya insiatif dan kreativiti.  Oleh itu, rantau Euro tidak dapat diharapkan untuk memberi impetus kepada pemulihan ekonomi dunia.

Pertumbuhan KDNK di negara Jerman  dijangka kekal di bawah satu peratus (memasukki tahun ketiga berturut-tutut) kerana kelemahan-kelemahan yang ketara di dalam sektor kewangan.

Pertumbuhan KDNK negara Jepun dijangka terus lemah kerana gejala deflasi yang berterusan dan pertumbuhan permintaan domestik yang terus mengecil. Tambahan lagi, Jepun dihantui oleh pinjaman bank bermasalah yang besar. Ini menakutkan bank untuk mengeluarkan pinjaman baru. Laporan terkini menunjukkan bahawa KDNK Benar hanya meningkat sebanyak 0.1% dalam suku pertama 2003 berbanding suku sebelumnya dan dijangka meningkat sebanyak 0.2% dalam suku kedua (April-Jun). Namun, pemulihan ini bersifat cyclical dan prestasi ekonomi dijangka merosot kembali selepas satu atau dua tahun.

Ekonomi yang Baru Muncul (Emerging Markets)

Dalam tahun 2003, pertumbuhan KDNK bagi kumpulan negara-negara ini dijangka mengecil sedikit kerana keadaan yang tidak begitu cerah di negara-negara perindustrian.

Bagi negara-negara yang terkumpul dalam kategori Emerging Asia, pertumbuhan ekonomi melebihi unjuran dalam tahun 2002 khasnya di China dan diunjurkan akan kekal kokoh dalam tahun 2003 (lihat Apendik 2). Namun, pemerlahanan pertumbuhan dalam sektor IT global, jika berterusan, akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan Ekonomi Perindustrian Baru (NIE) dan negara ASEAN-4 (Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand). Kejadian wabak SARS baru-baru ini juga dijangka mendatang risiko kepada aktiviti ekonomi di beberapa negara. Permintaan dalam negara secara amnya semakin kuat tetapi dilihat tidak cukup memberangsangkan bagi menjamin pemulihan yang berterusan.

Negara Amerika Latin

Aktiviti ekonomi melihatkan pemulihan selepas terjerumus ke dalam kemelesetan yang teruk dalam tahun 2001-02.

Namun, negara-negara seperti Argentina, Brazil dan Uruguay masih terdedah kepada pelbagai “vulnerabalities.” Krisis politik menghadirkan impak negatif yang besar kepada ekonomi negara Venuzuela.

Timur Tengah

Banyak negara Timur Tengah mendapat manfaat daripada harga minyak yang meningkat. Namun, masalah keselamatan terus memberi impak negatif kepada kegiatan ekonomi serantau khasnya negara-negara yang ada hubungan rapat dengan Iraq.

Pertumbuhan KDNK Turki melebihi jangkaan. Perubahan tampok pemerintahan telah membawa natijah yang baik kepada ekonomi Turki.

Negara-negara Dalam Peralihan (Transition countries)

Pertumbuhan KDNK di negara-negara ini sebagai satu kumpulan kekal teguh tetapi Russia menghadapi prospek pelaburan yang lemah kerana kelewatan melaksanakan reformasi.

Negara-negara Eropah Tengah dan Timur menikmati pertumbuhan berterusan kerana aliran masuk pelaburan yang kukuh.

Negara-negara Miskin

Dikalangan negara-negara miskin, negara-negara Afrika terus mengalami pertumbuhan ekonomi yang teguh kerana dasar ekonomi makro yang lebih baik, peningkatan kestabilan, kemajuan dalam melerai konflik serantau, peningkatan harga komoditi dan penghapusan beban hutang di bawah program “Heavily Indebted Poor Countires (HIPC).”

Namun, negara-negara miskin sentiasa terdedah kepada “adverse shocks” seperti cuaca buruk, gejala AIDS dan lain-lain. Negara-negara di Afrika Barat  dan Tanduk Afrika (Horn of Africa) dilanda kebuluran yang serius melibatkan 38 juta penduduk. Huru-hara di Zimbabwe dan Cote D’Ivoire membawa impak negatif kepada ekonomi negara ini dan negara jiran.

Keadaan Inflasi Dunia

Inflasi dunia adalah rendah. IHP dijangka meningkat sekitar 2% dalam tahun 2003 di negara-negara maju dan 6% di negara-negara sedang membangun. Pemerhati ekonomi bimbang bahawa deflasi bermungkinan menjadi masalah besar. Jepun terus mengalami deflasi. Jerman merakam kadar inflasi sifar dalam setengah tahun kedua 2002. Risiko kejatuhan harga adalah besar.

Kadar inflasi rendah di dunia adalah akibat gejala deflasi kahsnya “assets price deflation”  di negara-negara utama dunia.

Penilaian Keseluruhan

Setelah mengambil kira semua faktor (on balance), pemerhati-pemerhati perkembangan ekonomi dunia termasuk IMF sendiri berpendirian bahawa perkembangan ekonomi dunia masih menghadapi “downside risks” yang masih besar dan ini termasuklah:

Konflik yang berpanjangan dan kemusnahan yang meluas di Iraq mungkin membawa impak negatif yang besar kepada ekonomi dunia. Walaupun pencerobohan sudah berakhir, namun konflik terus wujud dan berkemungkinan terus memuncak dan merebak.

Pemulihan ekonomi dunia nampaknya terlalu bergantung kepada prospek ekonomi Amerika Syarikat.

Kemungkinan kejatuhan di “mature financial markets” tidak boleh ketepikan sama sekali.

Beberapa negara di dalam kumpulan “emerging market countries” masih menghadapi “vulnerabalities.”

Ahli ekonomi Stephen Roach daripada syarikat pengurusan dana Morgan Stanley dalam analisis mengenai keadaan ekonomi dunia menyatakan kebimbangan bahawa perrtumbuhan ekonomi dunia sekarang hanyalah untuk jangka masa yang pendik sahaja. Ini adalah disebabkan ketidakseimbangan pertumbuhan di dalam ekonomi dunia. Untuk mencapai pertumbuhan sihat dan mapan, dunia memerlukan ekonomi yang seimbang. Sukar untuk diketahui bila ketidakseimbangan pertumbuhan ini akan berakhir Juga, kemungkinan “a disaster scenario of dollar crash” masih wujud. Ringkasnya, menurut Stephen Roach, pemulihan ekonomi yang kita saksikan sekarang bukanlah pemulihan yang berasas kukuh seperti yang diharapkan oleh pelbagai pihak (“the upturn we are seeing is unlikely to be the sort of solidly-based recovery for which everyone has been hoping”).

Implikasi Polisi

Berasaskan kepada keadaan ekonomi yang ada, IMF melihat bahawa keutamaan polisi adalah seperti berikut:

Polisi-polisi ekonomi makro di negara maju hendaklah terus berwajah “accommodative.”

Bagi negara-negara dalam kumpulan “emerging markets” polisi ekonomi makro harus menjurus kepada memperkukuhkan “external confidence.”

Harus ada rasa kesegeraan untuk melaksanakan polisi yang menjurus kepada pengurangan kebergantungan kepada Amerika Syarikat dalam jangka sederhana.

“Fiscal consolidation” harus diberikan keutamaan sewajarnya dalam pengurusan ekonomi di banyak negara.

Di kalangan negara-negara yang tergolongan dalam kumpulan “the pooerest countries” harus wujud polisi membasmi kemiskinan dan polisi-polisi ke arah mencapai lain-lain “Millennium Development Goals.”

Kita merujuk kepada laporan IMF bukannya bermakna kita bersetuju dengan policy prescriptions mereka. Kita akan menilai pandangan IMF secara kritikal dan akan menggunapakai cadangan-cadangan yang sesuai dengan kepentingan negara kerana di sana ada bukti-bukti yang menunjukkan bahwa negara-negara yang menerima bantuan IMF seperti Korea, Thailand dan Indonesia telah dapat melepaskan diri daripada kancah kemelesetan dan kini sedang mengalami pemulihan yang sihat dengan disiplin pengurusan ekonomi yang tinggi. Mereka juga telah berjaya melunaskan hutang mereka sepenohnya. Malaysia, walaupun secara lisannya menolak bantuan IMF tetapi dengan secara senyap-senyap telah melaksanakan policy priscirptions IMF dalam dasar pemulihan ekonominya.

Ekonomi Malaysia

Dari tinjauan di atas ternyata bahawa ekonomi dunia, walaupun sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, masih diselubungi oleh ketidaktentuan. Ini khasnya benar bagi negara-negara yang menjadi rakan dagang utama Malaysia seperti Amerika Syarikat, Rantau Euro dan Jepun. Ini bermakna, prestasi ekonomi Malaysia dalam tempoh sederhana ini masih dibelenggu oleh ketidaktentuan.

Setelah mengalami “stagnant growth” dalam tahun 2001, ekonomi Malaysia hanya berkembang sekitar 4.2% dalam tahun 2002 dan dianggarkan 4.5-5% dalam tahun 2003. Belum wujud keyakinan untuk membuat “upward revision” di dalam unjuran ini. IMF mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 5.0% (2003) dan 5.8% (2004) memandangkan dasar fiskal yang mengembang yang dilaksanakan. Tetapi kesan SARS yang dilaporkan membawa pukulan teruk kepada sektor pelancungan, penerbangan dan jualan runcit  belum diambilkira. Lagi pun, pelaksanaan langkah-langkah ekonomi di bawah belanjawan tambahan nampaknya tidak berjalan lancar.

Semenjak tahun 1998 “pump priming” menjadi dasar penting ekonomi negara bagi mengimbangi perkembangan sektor swasta yang pada amnya masih “sluggish.” Akibatnya, defisit belanjawan semakin membesar daripada –5.5% (RM18.4 bilion) dari KDNK dalam tahun 2001 ke -5.6% (RM20.3 bilion) dalam tahun 2002 dan anggaran -4.0% (RM15.5 bilion) dalam tahun 2003. Defisit sebenar dalam tahun 2003 dijangka melebihi tahap “prudence” 5% kerana ada belanjawan tambahan yang besar dalam tahun 2003.

Hutang awam (Kerajaan Persekutuan) terus meningkat daripada RM146 bilion (44% daripada KDNK) kepada RM165 juta (46%). Akibatnya, sebanyak 14-15% daripada belanjawan tahun negara pergi kepada pembayaran hutang dan bunga. Hutang luar negara meningkat setiap tahun sejak tahun pasca krisis (1998: RM134 bilion) menjadi RM156 bilion dalam tahun 2002. 

IMF mengunjurkan bahawa imbangan akaun semasa Malaysia akan terus mengecil daripada 8.3% daripada KDNK dalam tahun 2001 ke 7.7% (2002), 7.5% (2003) dan 5.5% (2004).

Berasakan kepada unjuran yang ada, prospek untuk ekonomi Malaysia kembali ke zaman pertumbuhan tinggi pra-krisis (melebihi 7.5% se tahun) dalam jangka sederhana belum kelihatan. Dalam jangka sederhana, dan mungkin juga dalam jangka panjang, Malaysia harus menerima hakikat bahawa kita akan hanya menikmati kadar pertumbuhan rendah sekitar 4-6% se tahun.

Oleh itu, cara pengurusan ekonomi dan cara kita berbelanja haruslah diselaraskan dengan realiti baru ini. Malaysia sudah tidak mampu untuk “berlagak seperti orang kaya” berbelanja besar dengan berhutang besar seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Malaysia amat memerlukan satu “order baru ekonomi” (new economic order) yang meletakkan kepentingan rakyat, pengurusan ekonomi yang berhemat dan dasar belanjawan yang berdisplin sebagai tonggak utamanya.

Halangan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia

Penelitian yang dibuat oleh IMF dan berbagai pihak yang lain telah mengenalpasti beberapa halangan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti  berikut:

Pasaran eksport yang sempit bertumpu kepada pasaran Amerika Syarikat,  Eropah, Singapura dan Jepun.

Sektor perkilangan berasas sempit tertumpu kepada keluaran barangan elektronik dan letrik. Juga, kerana keghairahan membangunkan sektor perkilangan, pembangunan sektor pertanian telah tercicir sehingga bil import bahan makanan meningkat dengan ketara.

Sudah 6 tahun krisis berlalu, sektor pembinaan khasnya subsektor hartanah masih dihantui oleh keadaan lebihan penawaran yang kronik.

Juga, sudah 6 tahun krisis berlalu, ekonomi negara masih mengharapkan “pump priming” untuk merangsangkan aktiviti ekonomi. Penerusan dasar “pump priming” akan membawa padah buruk kepada pengurusan kewangan negara di masa depan.

Malaysia mengalami kemerosotan dalam daya saing antarabangsa sehingga kejatuhan nilai pertukaran asing RM, walaupun besar, tidak mampu meningkatkan daya saing. Daya saing terkorban kerana belanja penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang rendah. Malah, Malaysia ketinggalan di dalam R&D dalam sektor pertanian. “Hidden costs of doing business” (akibat amalan rasuah yang merebak) di Malaysia juga tinggi.

Di antara akibat daya saing yang lemah ialah aliran masuk pelaburan yang mengecil kerana persaingan dari China dan “transition countries.”

Kualiti pengurusan ekonomi negara sudah merosot dengan ketara akibat penyelewengan sumber, gejala rasuah, ketidaktelusan, kurang mengamalkan tataurus yang baik, berbelanja secara tidak berhemat dan membazir dan kekurangan akauntabiliti. Kekurangan ketelusan dan akauntabiliti juga ketara di dalam pengurusan syarikat Perbadanan Awam Bukan Kewangan (PABK) sehingga kemampuan syarikat untuk menyumbang kepada hasil negara (dalam bentuk dividen) menjadi terhad.

Belanjawan Alternatif 2004-05 yang dibentangkan pada hari ini mengambil kira perkembangan ekonomi dunia khasnya negara-negara rakan dagang utama Malaysia dan isu-isu ekonomi yang telah dikenalpasti. Dasar dan langkah-langkah yang diperakukan di dalam kerangka Belanjawan Alternatif ini adalah bertujuan untuk menangani isu-isu besar ekonomi agar kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang sihat dan mapan dapat dikekalkan.

Belanjawan Alternatif menjanjikan satu belanjawan yang sehat yang mampu membawa keadilan untuk semua rakyat Malaysia. Belanjawan Alternatif ini dirangka di atas kesedaran bahawa rakyat tidak boleh membiarkan pemerintah yang korup, menyeleweng dan yang begitu rakus di dalam amalan menyalagunakan kuasa untuk terus berkuasa. Rakyat dan negara perlu diselamatkan dari terus dibelenggu oleh pengurusan ekonomi yang tidak berhemat dan tidak berdisplin. Inilah semangat yang menjiwai Belanjawan Alterntif 2004-05 yang kita kemukakan pada hari ini.  

Apendik 1

Jadual 1: Pertumbuhan KDNK Sebenar (%) Negara Maju

 

2001

2002

2003

2004

Negara Maju (Industri)

0.9

1.8

1.9

2.9

Amerika Syarikat

0.3

2.4

2.2

3.6

Kawasan Euro

1.4

0.8

1.1

2.3

Jerman

0.6

0.2

0.5

1.9

Perancis

1.8

1.2

1.2

2.4

Itali

1.8

0.4

1.1

2.3

Sepanyol

2.7

2.0

2.2

3.1

Belanda

1.2

0.3

0.6

1.8

Belgium

0.8

0.7

1.1

2.2

Austria

0.7

0.9

1.5

2.4

Finland

0.7

1.6

2.1

2.8

Grik

4.1

4.0

3.6

3.6

Portugal

1.6

0.5

-0.3

1.8

Ireland

5.7

5.9

3.3

4.5

Luxembourg

1.0

0.5

1.5

4.0

Jepun

0.4

0.3

0.8

1.0

United Kingdom

2.0

1.6

2.0

2.5

Canada

2.5

3.4

2.8

3.2

Korea

3.0

6.1

5.0

5.3

Australia

2.7

3.8

3.0

3.7

Taiwan

-2.2

3.5

3.2

3.7

Sweden

1.1

1.9

1.6

2.1

Switzerland

1.1

0.1

0.6

1.7

Hong Kong SAR

0.6

2.3

3.0

3.3

Denmark

1.4

1.6

1.4

2.1

Norway

1.4

1.6

1.5

2.0

Israel

-0.9

-1.0

0.5

2.2

Singapura

-2.4

2.2

3.0

3.5

New Zealand

2.4

4.2

2.7

3.0

Cyprus

4.1

2.0

2.2

4.3

Iceland

2.9

-0.5

1.6

2.9

Apendik 2

Jadual 2: Pertumbuhan KDNK Sebenar Negara – Negara Asia Terpilih
 

2001

2002

2003

2004

Negara Asia Baru

5.0

6.3

6.0

6.3

Hong Kong SAR

0.6

2.3

3.0

3.3

Korea

3.0

6.1

5.0

5.3

Singapura

-2.4

2.2

3.0

3.5

Taiwan

-2.2

3.5

3.2

3.7

Indonesia

3.4

3.7

3.5

4.0

Malaysia

0.4

4.2

5.0

5.8

Filipina

3.2

4.6

4.0

4.0

Thailand

1.9

5.2

4.2

4.3

Bangladesh

5.3

4.4

5.2

5.5

India

4.2

4.9

5.1

5.9

Pakistan

3.6

4.6

5.0

5.1