Seruan Keadilan Online - Sunday, April 11, 2004 8:32 AM

Penyelewengan PR:SPR minta badan bebas siasat

Pada 24 Mac 2004, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Rashid Abdul Rahman, meminta diadakan badan bebas menyiasat aduan-aduan bahawa agensi tersebut telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil dan baik.

Dia memberitahu sidang media di ibu pejabat SPR di Putrajaya bahawa dia akan mengalu-alukan diadakan sebuah suruhanjaya diRaja bagi menyiasat kekecohan dalam pilihan raya ke 11.

Lebih baik ada suruhanjaya diRaja yang bertanggunjawab kepada Parlimen, kata Abdul Rashid apabila diminta menjelaskan apa yang dia maksudkan dengan ‘siasatan bebas.’

SPR sebuah badan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan yang neutral bagi pilihan  raya bebas dan adil sedang diperiksa dengan teliti akibat daripada banyak aduan pengundi-pengundi yang tidak dapat mengundi pada pilihan raya 21 Mac.

Pengundi menjadi kelam kabut di banyak tempat di serata negara, apabila nama-nama hilang daripada daftar pemilih mengakibatkan waktu mengundi dilanjutkan sehingga dua jam di Selangor.

Terdapat kesilapan dalam cetakan kertas undi di mana simbol parti yang salah dicetak menyebabkan penangguhan hari mengundi bagi Pahang DUN Sungai Lembing kepada 28 Mac.

Dalam pada itu, kertas undi di beberapa tempat di Melaka didapati berada di pusat mengundi yang salah.

Pembangkang juga telah membuat aduan kewujudan pengundi hantu dalam daftar pemilih.

Abdul Rashid berkata bahawa suruhanjaya telah mengarahkan siasatan dalaman ke atas kesilapan yang berlaku dan satu laporan akan siap dalam 10 hari.

Dalam penjelasan media tersebut, dia berjanji bagi pihak SPR memberi kerjasama sepenuhnya dengan badan yang dilantik, bagi mengkaji kelemahan SPR dalam mengendali pilihan raya ke 11.

Walaupun kritikan tertumpu kepada daftar pemilih, kami rasa kekuatan dan kelemahan SPR juga perlu dikaji supaya kewibawaan pengerusi-pengerusi dan ahli komisyener SPR tidak terjejas, kata Abdul Rashid

Pengerusi SPR mencadangkan badan penyiasat terdiri juga daripada wakil-wakil daripada parti pembangkang dan badan tersebut menyiapkan laporan yang menyeluruh, dengan fakta dan telus serta memaklumkan kepada umum.

Dia menekankan agar diwujudkan badan bebas bagi menyiasat kekecohan pilihan raya, sebagai langkah yang wajar, kerana kewibawaan dan kejujuran SPR kini tercabar.

Kerana rakyat tidak berpuashati dengan apa jua penjelasan yang kami beri oleh itu, kami fikir adalah lebih baik dilantik badan bebas melihat permasalahan yang timbul dan mencari jalan mengatasinya, katanya.

Ditanya samada penemuan badan penyiasat akan memberi kesan kepada kesahihan keputusan pilihan raya, Rashid berkata keputusan yang ada adalah rasmi dan hanya boleh dicabar dalam mahkamah pilihan raya.

Abdul Rashid juga berkata bahawa dia dan ahli komisyener SPR telah membuat keputusan untuk tidak tunduk kepada tekanan yang menyuruh mereka letak jawatan, ..kerana itu tidak akan membantu mencari jawapan kepada permasalahan yang dihadapi.

Rashid, walau bagaimanapun mengulangi kenyataannya yang awal, bahawa dia dan komisyener yang lain bersedia meletakkan jawatan masing-masing jika mereka diminta berbuat demikian.

 Kami semua orang tua-tua  warga emas sepatutnya saya sudah berehat di rumah dan menjaga kebun. Tetapi kami sudah bersedia untuk berhenti, katanya.

Wartawan berkumpul di pusat media SPR di Putrajaya seawal 10 pagi untuk hadir sidang media yang dijadualkan pada tengahari itu.

Walau bagaimanapun mereka terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum Abdul Rashid dan pegawai-pegawainya akhirnya muncul sedikit selepas pukul 2 petang.

Abdul Rashid memulakan sidang media dengan membaca peratus keluar mengundi semasa hari mengundi Ahad lepas.

Dia memberitahu purata keluar mengundi bagi kerusi parlimen sebanyak 73.33% dan bagi kerusi DUN 74.82%.

Negeri-negeri yang mempunyai peratus keluar mengundi yang tertinggi adalah Perlis (83.22%), Kedah (80.99%), Kelantan (80.99%) dan Terengganu (89.72%). Putrajaya, yang hanya ada 5,079 pengundi, mendahului negeri-negeri yang lain dengan peratus sebanyak 91.79%.