Seruan Keadilan Online - Saturday, April 10, 2004 8:28 PM

BICARA PRESIDEN

Mandat palus, harapan palsu

Kini bukan lagi satu rahsia bahawa mandat besar yang diwarwarkan BN sebenarnya adalah mandat palsu. Berbagai penipuan dan muslihat telah digunakan untuk memastikan kemenangan BN. Seluruh jentera kerajaan dan media massa telah digunakan telah untuk memastikan ini berlaku. Bagi mereka yang mengharapkan kepimpinan Abdullah Badawi akan menghasilkan era baru, pelaksanaan dan keputusan pilihanraya umum ke 11 nyata mengecewakan. Jelas sekali beliau tidak berbeza dari Perdana Menteri sebelumnya dalam kesediaannya menyalahgunakan kuasa.

Dan kita juga lihat bahawa SPR, sebuah badan yang sepatutnya bertindak bebas, sebenarnya dipimpin oleh boneka-boneka yang telah dikasi. Mereka telah menggadaikan maruah dan keutuhan diri untuk menjadi budak suruhan BN. Selain dari bertanggungjawab terhadap berbagai kepincangan semasa pilihanraya umum yang lalu, tindak-tanduk mereka selepas itu menunjukkan mereka hanya khaddam BN. Pada mulanya pengerusi SPR telah menyatakan satu siasatan bebas harus diadakan untuk meneliti masalah-masalah yang wujud pada pilihanraya yang lalu. Namun, apabila Abdullah Badawi menyatakan ini tidak perlu, pengerusi SPR pun menukarkan pendiriannya.

Seperti biasa, media massa digunakan sepenuhnya untuk memastikan kemenangan BN. Ini telah dilakukan ke tahap yang luar biasa dan menggilakan. Di antara perkara yang telah dilakukan RTM ialah memujuk Petronas mengizinkannya menukar warna logo Petronas yang disiarkan semasa perlumbaan Formula 1 dari berlatarbelakangkan hijau kepada berlatarbelakangkan biru (ala BN). Ini telah ditolak Petronas. Inilah tahap kebodohan juak-juak BN dalam memanipulasikan media.

Sekiranya kita meneliti secara terperinci keputusan pilihanraya yang lalu, sokongan untuk BA dibanyak kerusi sebenarnya telah meningkat. Kita tewas dikerusi-kerusi ini semata-mata kerana penipuan melalui pengundi-pengundi hantu. Pemimpin-pemimpin BN sendiri tahu bahawa kemenangan mereka adalah kemenangan palsu dan mereka sebenarnya tidak mendapat mandat besar dari rakyat. Mereka tahu bahawa rakyat masih tidak senang dengan mereka. Dan bagi UMNO, mereka juga tahu orang-orang Melayu masih tidak mengubah pendirian terhadap UMNO. Mereka tahu "sokongan" yang mereka perolehi hanyalah "mandat rekaan".

Sekiranya Abdulllah Badawi berharap ini akan menyatupadukan orang-orang Melayu dan meredakan kemarahan mereka terhadap UMNO, beliau tersilap congak. Sebaliknya, ia hanya mengukuhkan kebencian orang Melayu terhadap UMNO. Ia mengesahkan bahawa penyelewengan dan penipuan telah terbudaya di dalam UMNO pada peringkat akar umbi. Yakinilah, kemarahan ini yang seharusnya dapat diredakan melalui proses demokrasi yang adil dan tulin akan memuncak satu hari nanti. Ini  kerana proses demokrasi tidak lagi wujud di Malaysia. Satu hari nanti kemarahan ini akan meledak sebagaimana yang telah berlaku di Filipina, Taiwan, Korea Selatan dan Mexico. Sekiranya penindasan Israel terhadap rakyat Palestin telah menghasilkan intifadah, penindasan BN terhadap rakyat di Malaysia akan juga menghasilkan satu arus penentangan yang kuat. Penipuan BN adalah bidan yang melahirkan arus ini.

Perlantikan kabinet baru juga mengesahkan bahawa sebenarnya pentadbiran Abdullah Badawi masih merupakan kabinet dari acuan Mahathir. Watak-watak yang terbabit dengan kes-kes rasuah dan penyelewengan masih dikekalkan. Rakyat bukanlah bodoh dan tidak dapat melihat semua ini. Satu perkara yang turut nyata dari penyusunan kabinet ialah pemusatan kuasa sepertimana yang berlaku sebelum ini masih diteruskan. Dua kementerian yang merupakan umpil kekuasaan, iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri masih di bawah kuasa Perdana Menteri. Demikian juga, Jabatan Perdana Menteri kini mempunyai 5 orang menteri. Ini menunjukkan bahawa Abdullah Badawi, walau pun mendakwa mendapat mandat besar, masih tidak yakin dengan kedudukannya dan perlu memusatkan kuasa kepada dirinya secara peribadi. Barangkali inilah sebabnya Abdullah tidak dapat menyingkirkan Rafidah. Ura-ura yang tersebar di kalangan ahli-ahli UMNO ialah bahawa Rafidah tidak akan dicalonkan pada pilihanraya lalu dan akan digantikan oleh Dato Kamiliah Ibrahim. Abdullah terpaksa mengekalkan Rafidah untuk menjamin beliau mendapat sokongan Wanita UMNO.

Hakikatnya, kerajaan mandat palsu hanya memberi harapan palsu. Kerajaan ini adalah kerajaan yang terhasil dari acuan yang sama. Semua penyakit yang wujud sejak 20 tahun lalu akan terus wujud dan rakyat yang akhirnya akan menjadi mangsa. Kepalsuan ini akan membawa kegelapan yang menyelubungi masyarakat. Dan kegelapan ini akan menghasilkan konflik yang lebih tegang di masa akan datang.