Seruan
Keadilan Online - Sunday, April 11, 2004 8:53 AM
Kenyataan
Media keADILan
KEADILAN
PERSOAL PROSES DAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA
Parti Keadilan Rakyat (keADILan)
membantah sekeras-kerasnya prosedur dan penyelenggaraan pilihanraya
ke-11 yang telah berlangsung pada 21 Mac 2004. Pilihanraya ini ternyata
tidak bebas dan adil. Keputusannya boleh dipersoalkan.
Kami sangat tidak puashati
kerana terdapat banyak unsur penipuan, sesetengahnya mungkin dilakukan
oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan pengetahuan kalau tidak
arahan pucuk pimpinan pemerintah. Antaranya ialah:
a) Pihak SPR menggunakan
sekurang-kurangnya dua set daftar undi yang berbeza, bertarikh
13 dan 15 Mac 2004, sungguhpun yang rasmi seharusnya hanya satu;
b)
Ramai gagal mengundi kerana diberitahu nama mereka tidak terdapat
dalam senarai di saluran mengundi, sungguhpun diberitahu ada dalam
senarai di barung SPR;
c) Ramai dinafikan hak mengundi
kerana nama mereka telah dipindahkan jauh ke pusat undi, kawasan
ataupun negeri yang lain, tanpa pengetahuan mereka;
d) Terdapat bukti-bukti
pengundi-pengundi sama boleh mengundi lebih dari sekali di saluran
atau kawasan berlainan, dan banyak alamat rumah digunakan oleh lebih
100 pengundi;
e)
Tempoh mengundi di Selangor telah dilanjutkan secara mengejut, dan
pengundian di Sungai Lembing terpaksa ditangguh oleh kerana kecuaian
SPR.
Pilihanraya kali ini paling
kelam-kabut oleh kerana SPR tidak bersedia dan tidak cekap menjalankannya.
Pada 4 Mac, pimpinan BA telah menulis surat kepada SPR membantah
daftar pengundi tidak bersih. Lagi pula, SPR sering membuat tindakan
dan kenyataan yang jelas menunjukkan mereka tidak bebas dan kelihatan
seperti alat pemerintah.
Sehubungan
ini, kami mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Penyiasat yang bebas,
berwibawa dan telus hendaklah dibentuk bagi menyiasat segala peranan
yang dimainkan oleh SPR secara sendirian atau dengan kerjasama polis
serta jabatan pendaftaran, dn penggunaan jentera kerajaan oleh UMNO-BN.
Kami mendesak Pengerusi dan Setiausaha SPR segera meletakkan jawatan.
Kami tidak dapat menerima
sepenuhnya kesahihan keputusan pilihanraya kali ini. Kami menggesa
supaya diadakan pilihanraya yang baru. Selaku Presiden keADILan,
saya bersedia menghadapi pilihanraya baru yang terjamin bebas dan
adil.
Sementara
itu, kami akan mengambil dua tindakan. Pertama, mengadakan Penyiasatan
Rakyat dengan menganjur perhimpunan bagi mengumpul bukti-bukti penipuan,
dan kedua, mengemukakan petisyen melalui mahkamah seberapa segera
yang boleh.
Akhir sekali, kami menegaskan
keADILan akan terus hidup untuk berjuang menegakkan keadilan serta
reformasi. keADILan tetap relevan kerana ketidakadilan masih wujud
dan banyak sekali reformasi perlu dilaksanakan dalam pelbagai bidang,
termasuk ke atas SPR.
Dr
Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
keADILan
|