Seruan Keadilan Online - Saturday, April 10, 2004 8:29 PM

MINDA ANWAR

Keperluan kepada masyarakat madani

Saiz penduduk Islam di Asia Tenggara pada hari ini, sekitar 150 juta, menjadi alasan yang cukup bagi ia menjadi topik serius dalam bidang akademik. Tetapi natijah kontemporar Islam di sini tidak hanya terletak pada bilangan. Ia juga disebabkan kestabilan politik dan kerancakan ekonomi di rantau ini, di mana orang Islam memainkan peranan yang penting. Kita percaya pengalaman penduduk Islam Asia Tenggara mampu memberi impak kepada dunia Islam keseluruhannya dalam menghadapi cabaran dan khususnya menghidupkan kembali Ummah, yang telah sekian lama sengsara dalam kelesuan.

Salah satu ciri utama yang membentuk sikap dan orientasi umat Islam di Asia Tenggara, ialah kepelbagaian budaya yang wujud di dalamnya. Kepelbagaian dan interaksi yang berterusan oleh mereka yang daripada budaya, agama dan etnik yang berbeza telah mewujudkan ciri saling perlu-memerlukan antara satu sama lain. Ia bukan suatu yang keterlaluan jika dikatakan sebagai kehidupan “convivencia” – situasi yang hampir sama di zaman kegemilangan Islam Sepanyol, di mana orang Kristian, Yahudi dan Islam hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni. Jika zaman tersebut boleh melahirkan bunga-bunga intelektual yang tinggi, dengan itu, bukan mustahil dengan keadaan yang ada kini, jika dipupuk melalui pertukaran idea, akan melihat kemunculan Kebangkitan Asia. Sesungguhnya, sebagai umat Islam dan sebagai penduduk Asia Tenggara, kita menghargai kepelbagaian warisan budaya dan agama. “Kehidupan bersama” tidak mungkin berlaku tanpa sikap toleransi, hormat-menghormati dan sederhana serta pragmatik dalam mengendali setiap urusan.

Oleh kerana situasi ini agak unik di rantau ini, dengan itu kita perlu menyatakan dengan jelas pendekatan yang sederhana, terutama apabila mengendali isu-isu yang penting. Dengan menggunapakai pendekatan ini, kita bukan mencadangkan Islam dengan kepercayaan dan amalan yang berbeza daripada Islam di tempat lain di dunia, atau mengamalkan Islam mengikut apa yang Barat mahu. Islam samada di Asia, Afrika, Eropah atau Amerika sentiasa agama yang sama, yang ditentukan oleh Al Quran dan Sunnah. Dalam mengenengahkan Islam yang sederhana dan pragmatik, kita sebenarnya menganjurkan pendekatan dalam sosio ekonomi dan ruanglingkup politik. Istilah sederhana dan pragmatik amat relevan, malah penting, kerana permodenan, atau pasca permodenan, dan situasi khusus yang di hadapi, mendedahkan kita kepada cabaran yang hanya akan berjaya ditangani dengan mental dan orientasi budaya yang kita boleh kategorikan sebagai “sederhana dan pragmatik.”

Dengan bersikap sederhana dan pragmatik, kita jauh daripada bersikap kompromi dengan ajaran dan kesempurnaan Islam atau mengikut nafsu dan khayalan masa. Sebaliknya, kita yakin bahawa pendekatan sebegitu perlu bagi merealisasikan kesempurnaan sosial Islam itu sendiri, seperti keadilan, pembahagian harta yang sama rata, hak asasi dan kebebasan. Pendekatan ini dibenarkan dalam sabda Rasulullah yang membawa maksud “Jalan tengah adalah yang terbaik untuk ke hadapan.” Pendekatan yang serupa juga didapati dalam tradisi lain seperti Chun Yung dari Konfucius dan etika Aristotle.

Kesederhanaan dan pragmatisme menuntut emosi yang keterlaluan tidak boleh dibiar bebas. Sementara kita mengiktiraf hak yang sah mangsa penindasan dan kekejaman menggunakan cara apa yang ada bagi membebaskan diri mereka, kita juga percaya bahawa umumnya, minda mesti menguasai hati, dan nafsu mesti tunduk kepada kewarasan. Jika sebaliknya, ia akan pastinya membuahkan keganasan dan kemusnahan. Dengan itu, hujah dan kebijaksanaan mesti ada, jika sekiranya kita mahu melihat setiap perkara dari perspektif yang betul dan meletakkan keutamaan dengan betul.

Permasalahan besar umat Islam ialah kegagalan melakukan yang di atas. Ramai yang kononnya mengaku menangani permasalahan ummah cenderung mengambil doktrin sosial, politik dan hal-hal ekonomi, tanpa mengambilkira realiti semasa. Oleh itu, kita perlu kepada para cerdik pandai Islam menyatakan dengan jelas versi Islam yang sensitif kepada situasi kontemporar Ummah. Dalam hal ini, ia perlu iktiraf, beberapa ulama mu’tabar seperti  Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain yang telah membuka jalan kepada pendekatan ini yang datang dari latarbelakang ulama Islam tradisi.

Sheikh al-Qaradhawi seorang yang menitikberatkan fiqh al-awlawiyyat, kefahaman akan keutamaan, sebagai asas undang-undang untuk merangka dasar-dasar sosial. Antara lain, dia menyeru umat Islam menangani segera isu sosial dan ekonomi seperti pembasmian kemiskinan dan buta huruf, penyediaan peluang pekerjaan, perumahan yang selesa dan keperluan sosial yang lain. Semua ini, sebelum kita memperkenalkan undang-undang berdasarkan peruntukan Shariah. Benar, pembinaan wajah luaran kerajaan Islam tanpa isi sebenar fizikal dan spiritual Ummah hanya memperolokkan maqasid al-Shariah – objektif agama. Ia boleh disamakan dengan, agama yang mepunyai bentuk tetapi tiada isinya, amalan yang dikritik oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.

 Tiada yang lebih diperlukan, meminjam daripada Edmund Burke, ‘kebijaksanaan tanpa renungan,” kesederhanaan dan pragmatisme dalam mencari kewujudan orde politik yang wibawa dan berkekalan. Dengan orde politik kita tidak bermaksud orde yang dipaksa ke atas rakyat dengan cara mengugut, keganasan ke atas majoriti penduduk atau proses tidak demokratik yang lain, yang hanya melibatkan beberapa yang menganggotai golongan elit pemerintah. Walau bagaimanapun, sementara kita bersikap kritikal terhadap situasi politik di kebanyakan negara Islam, kita tidak juga mengambil bulat-bulat barangan tiruan demokrasi Barat. Seperti Tocqueville, kita tidak percaya bahawa sebarang bentuk demokrasi sesuai untuk semua bentuk masyarakat dan cocok sepanjang zaman. Sementara masyarakat Islam perlu lalui perubahan politik, setiap masyarakat perlu mencari jalannya sendiri untuk wujudkan masyarakat madani.

Mungkin cabaran yang paling getir pada masa kini bagi masyarakat Islam dan masyarakat Asia dan Afrika yang lain, ialah penubuhan masyarakat madani. Tidak disangkal, sebahagian besar jika tidak semua masalah yang melanda penduduk benua ini – kemiskinan yang  berleluasa, keadaan hidup yang melarat, keadaan ekonomi yang mundur – semua berpunca daripada ketiadaan masyrakat madani. Petanda bagi ketiadaannya adalah penafian hak asasi, rasuah, penyelewengan harta negara, keruntuhan moral, penyalahgunaan kuasa, menyisihkan wanita, ketidakadilan, itu hanya beberapa yang dinyatakan. Beberapa institusi di Barat, seperti IMF dan World Bank, yang bekerja di bawah pandangan tersasar, bahawa terdapat penawar sejagat yang mudah kepada semua permasalahan tersebut. Hakikat kepada permasalahan tersebut, ialah tiada penawar yang menyembuhkan semua. Tiada satu penyelesaian kepada jaringan dan rangkaian penyakit yang dialami oleh masyarakat, dan setiap masyarakat mesti mencari dalam dirinya sumber moral dan budaya serta kekuatan untuk mengatasinya.