Seruan
Keadilan Online - Sunday, April 11, 2004 8:24 AM
Jangan jadikan 'Cemerlang,
Gemilang dan Terbilang' satu temberang
Pesta
demokrasi telahpun berakhir. Sudah diketahui siapa yang menang besar,
siapa yang tewas dan calon mana yang hilang depositnya. Yang tinggal
sekarang hanya analisis, poster-poster di tepi jalan, bendera di
atas pokok dan janji-janji untuk ditunaikan.
Aman
Rais
Memang
proses pilihanraya 2004 kini masuk dalam lipatan sejarah tetapi
rakyat tidak lupa pada kata-kata manis yang diucapkan pada sepanjang
kempen. Rakyat kini menagih janji, mereka mahu melihat segala agenda
dalam manifesto dilaksanakan. Para pengundi juga akan menilai prestasi
para Yang Berhormat yang telah mereka pilih.
Sekarang
tiba masanya untuk berkerja. Bukan sahaja bagi para wakil rakyat
malah bagi seluruh rakyat. Setelah lebih seminggu bersengkang mata
berkempen, bersaing sesama sendiri, kini tiba masanya untuk kembali
berfikir secara rasional dan praktikal.
Diharapkan
"biduk lalu kiambang bertaut", semoga semua pihak menerima
kemenangan dan kekalahan dengan hati terbuka, secara "gentleman".
Elok kita lupakan seketika politik dan perbalahan yang merenggangkan
kita selama ini.
Pilihanraya
ke-11 ini bukan sahaja meninggalkan kenangan manis dan pahit tetapi
banyak hikmah dan iktibar. Hikmah yang paling besar ia menunjukkan
orang Melayu masih kaya dengan sikap luhur, toleransi, budi bahasa,
amanah dan mencintai agamanya.
Lantaran
kaya dengan sikap-sikap itulah maka Barisan Nasional (BN) menang
besar kali ini. Keterbukaan itu menyebabkan mereka menerima semula
BN yang mereka pinggirkan pada tahun 1999. Orang Melayu kembali
memangkah BN kerana mereka tertarik dengan sikap lemah lembut, toleransi,
ketelusan dan keihklasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Senario
yang lain
Yang
menang dalam pilihanraya kali ini ialah Pak Lah, bukannnya Umno.
Orang Melayu memangkah BN bukan kerana Umno, tetapi Pak Lah. Begitu
juga pada tahun 1999, orang Melayu meminggirkan BN dan Umno bukan
kerana bencikan parti-parti ini tetapi kerana mereka marah, meluat
dan muak dengan Datuk Seri (ketika itu belum Tun) Dr Mahathir Mohamad.
Kerana
tertarik dengan karisma dan keikhlasan Pak Lah maka rakyat kembali
ke pangkuan BN. Mereka tidak mempunyai alasan lagi untuk membenci
atau memarahi kerajaan kerana orang yang mereka benci sudah bersara.
Ramai
penganalisis berpendapat, jika orang lain selain daripada Pak Lah
yang menerajui kerajaan, senario pilihanraya 2004 akan berbeza.
Kalau Dr Mahathir masih mengetuai Umno dan kerajaan ketika pilihanraya
ke-11 ini berlangsung, PAS dan Keadilan tidak akan kalah teruk.
Pak
Lah adalah gelombang atau "swing factor" yang menyebabkan
rakyat khususnya orang Melayu berubah. Sama seperti faktor Anwar
Ibrahim pada tahun 1999 yang menyebabkan Umno tersembam. Kemunculan
Pak Lah dengan imejnya yang bersih, alim, tegas dan lemah lembut
telah mencairkan kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan dan Umno.
Peribadi
murni Pak Lah itu menyebabkan orang Melayu lupa pada Dr Mahathir
dan Anwar Ibrahim.
Janji
dan niat Pak Lah untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan serta
sikap mesranya terhadap agama Islam telah menyejukkan hati orang
Melayu. Tumpuan semulanya pada sektor pertanian dan luar bandar
adalah tonik yang mujarab.
Perhatiannya
pada masalah rakyat bawahan menyebabkan para petani, nelayan, peneroka,
kakitangan kerajaan, pemandu teksi dan golongan muda terbuka hati
untuk memberi mandat kepada beliau.
Gelombang
Pak Lah
Jelas
sekali Pak Lah tidak mahu mengulangi kesalahan dan kesilapan Dr
Mahathir. Beliau sedar sikap keras, konfrontasi dan provokasi bukanlah
pendekatan yang baik.
Perdana
Menteri Malaysia yang kelima itu tahu orang Melayu masih belum boleh
menerima cara hidup dan cara berpolitik Dr Mahathir itu.
Dengan
menggabungkan unsur-unsur kemelayuan, keIslaman dan muhibbah, beliau
cuba memadamkan api kemarahan terhadap kerajaan dan Umno. Akhirnya
terbukti beliau berjaya apabila "gelombang Pak Lah" berjaya
memenangi lebih 90 peratus kerusi parlimen dan kerusi-kerusi Dewan
Undangan Negeri.
Seluruh
ahli Umno dan BN sewajarnya meraikan kemenangan ini kecuali Dr Mahathir.
Bekas Presiden Umno itu sepatutnya berasa malu kerana Pak Lah terpaksa
mencuci segala kekotoran yang dipalitnya di imej kerajaan dan parti.
Kemenangan
besar BN itu sepatutnya menjadi tamparan besar bagi Dr Mahathir
kerana ia membuktikan rakyat menolak cara dan pendekatan keras,
konfrontasi dan provokasi yang beliau amalkan selama pemerintahannya.
Dr
Mahathir tidak berhak meraikan kemenangan Pak Lah dan BN ini kerana
beliau menjadi punca kepada segala kacau bila politik Malaysia sejak
lima tahun lalu. Beliau sepatutnya meminya maaf pada ahli-ahli Umno
dan rakyat!
Dr
Mahathir sepatutnya faham mesej rakyat itu.
Demokrasi
haprak
Pak
Lah telah berjaya memadamkan rekod buruk Dr Mahathir dengan slogan
"Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" nya. Kita berharap
ia bukan sekadar retorik pilihanraya.
Diharapkan
dengan mandat besar daripada rakyat beliau akan lebih berani membasmi
rasuah dan penyelewengan. Semoga beliau membalas sokongan padu pengundi
kampung dengan merancakkan lagi pembangunan di luar bandar dan sektor
pertanian..
Dr
Mahathir sudah membina cukup banyak mercu tanda di ibu negara dan
Sepang, kini tiba masanya Kampung Bantal di Tembeling, Ulu Renggol
di Raub, Cherok Tok Kun di Pulau Pinang, Memali di Baling, Air Baloi
di Pontian dan Manek Urai di Kuala Kerai dimajukan.
Kita
berharap slogan cantik "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang"
bukan sekadar satu "temberang" pilihanraya. Jangan biarkan
slogan itu menjadi satu "tembelang" yang sangat busuk.
Ingatlah pendirian rakyat boleh berubah semula dalam tempoh lima
tahun ini.
Kita
tunggu gelombang apa pula akan menyusul selepas gelombang Anwar
pada tahun 1999 dan gelombang Pak Lah pada minggu lalu. Semoga demokrasi
di Malaysai tidak menjadi satu demokrasi haprak!
Malaysiakini
|