Seruan
Keadilan Online - Sunday, April 11, 2004 8:25 AM
Kenangan pahit pilihanraya
2004
Rumah
siap tetapi pahat masih berbunyi. Itu perkara biasa di negara kita.
Lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan pilihanraya. Yang kalah
akan marah dan berasa tidak puas hati. Yang menang tidak habis-habis
berpesta, senyum panjang hingga ada yang lupa diri.
Aman
Rais
Itulah
senarionya sekarang. PAS masih tidak dapat menerima hakikat kekalahannya
terutamanya di Terengganu. Umno tersenyum puas, namun masih ramai
yang berada dalam kejutan apabila keputusan di Terengganu dan Kelantan
melebihi jangkaan.
DAP
pula sedang merangka strategi untuk menghangatkan sidang Parlimen
dengan kembalinya dua " ubat yang luput tempoh " - Karpal
Singh dan Lim Kit Siang ke Dewan Rakyat. Manakala Parti Keadilan
Nasional sedang tercari-cari saki baki usianya setelah kalah teruk
di seluruh negara.
Post
mortem kemenangan dan kekalahan sedang dibuat. Pelbagai sebab dan
alasan sedang dicari dan dikumpul. Namun di celah-celah kegembiraan,
kejutan dan kekecewaan itu, yang paling malang nasibnya ialah Suruhanjaya
Pilihanraya - SPR.
Semua
parti menghentamnya kerana kegagalannya mengendalikan pengundian
yang lancar terutama di Selangor. Lebih memalukan SPR apabila ada
kertas undi yang tersalah cetak lambang parti di DUN Sungai Lembing,
Pahang. Tidak kurang juga menyalahkan SPR kerana kononnya wujud
lebih 60,000 pengundi hantu di Terengganu hingga menyebabkan kerajaan
PAS tumbang.
Sekarang
pilihanraya 2004 sudah masuk arkib. Tiada siapa boleh mempertikaikan
kesahihannya. Kerajaan yang memerintah telah dibentuk, barisan anggota
kabinet juga sudah diumumkan. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh
PAS untuk menukar balik keputusan yang dibuat oleh rakyat. Paling
kuatpun, PAS hanya mampu mengemukakan petisyen ke mahkamah. Khabarnya
banyak keputusan pilihanraya di Terengganu akan dicabar. Semoga
PAS berjaya dalam usahanya itu.
Sebenarnya
PAS tidak perlu meratapi kekalahannya. Sebaliknya ia perlu menilai
di mana kekuatan dan kelemahannya selepas kejayaan dalam pilihanraya
umum 1999. Adakah PAS berkerja untuk terus mengukuhkan kedudukannya
di seluruh negara atau hanya memasang angan-angan kosong merenung
teori domino untuk menawan Pahang, Kedah, Perlis dan Selangor?
Muhasabah
diri
Bagi
penulis, PAS tidak berkerja kuat selepas "menang besar"
pada 1999. Sebaliknya mereka terleka. Sedangkan Umno yang "kalah
besar" pada pilihanraya lalu, telah melakukan muhasabah diri.
Umno
menilai mengapa orang Melayu menolaknya. Lalu parti Melayu terbesar
itu mengambil beberapa langkah pro-aktif untuk mengembalikan semangat
dan maruahnya. Lalu ditubuhkan Puteri Umno . Ternyata pergerakan
yang dipimpin oleh Datuk Azalina Othman ini berjaya menarik golongan
wanita muda kepada Umno.
Selain
itu Umno mengurangkan "politiking" dalamannya dengan melarang
pertandingan dalam saf kepimpinannya. Malah, pemilihan pucuk pimnpinan
yang sepatutnya diadakan tahun lalu, ditangguhkan ke tahun ini.
Semua ini bagi memastikan perpaduan Umno kukuh bagi menghadapi pilihanraya
2004.
Selain
itu, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad
telah mengambil beberapa tindakan politik yang berkesan sejak tahun
2001. Antaranya melarang ceramah politik di tempat terbuka kecuali
dalam tempoh berkempen pilihanraya. Tindakan ini ternyata amat berkesan
kerana ia bukan sahaja berjaya menyekat penyebaran maklumat oleh
parti-parti pembangkang malahan mengekang kantung kewangan parti
berkenaan.
Sebelum
itu kutipan derma semasa ceramah menjadi salah satu sumber kewangan
utama PAS. Tindakan itu juga berjaya mematikan "momentum"
anti-kerajaan dan pro-reformasi kerana rakyat tidak lagi diapi-apikan
dengan sentimen benci, marah dan sangsi terhadap kerajaan. Malah
pada tahun itu juga kerajaan menahan aktivis-aktivis reformasi dari
parti Keadilan untuk disumbat di kem tahanan Kamunting.
Penahanan
Ezam Mohd Nor dan rakan-rakannya telah mematikan terus demonstrasi
jalanan serta melumpuhkan sebahagian kekuatan parti Keadilan. Tidak
cukup dengan itu, gerakan pelajar di kampus-kampus turut dikekang.
Kebakaran Dewan Tunku Chanselor Universiti Malaya dijadikan alasan
untuk mengikat kegiatan politik pelajar.
Keadaan
menjadi lebih buruk selepas tragedi 11 September 2001 di New York.
Serangan berani mati itu dijadikan momokan untuk memburuk-burukkan
PAS. Malah para pemimpin parti itu dicop sebagai ala-Taliban.
Isu
keganasan
Sebelum
itu beberapa peristiwa domestik seperti kes Al-Maunah di Sauk, Perak
dan penahanan anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), juga dijadikan
isu untuk mengaitkan PAS dengan ekstremisme dan keganasan. Tindakan
kerajaan itu berjaya menjauhkan orang bukan Islam dari PAS.
Dr.Mahathir
yang belajar dari kekalahan dalam pilihanraya kecil Lunas pada tahun
2001, telah mengambil tindakan bijak untuk mengekang kemaraan PAS,
Keadilan dan DAP. Umno telah mengubah pendekatan dan strateginya.
Ia menjadi lebih mesra rakyat.
Di
Kelantan dan Terengganu, usaha dilipatkan gandakan untuk memikat
hati pengundi. Jutaan wang ditabur dan para pemimpin muda diketengahkan.
Tidak cukup dengan itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)
hampir setiap bulan turun padang ke negeri penyu bertelur itu.
Umno
tidak mensia-siakan tempoh empat tahun lalu - pelbagai langkah diambil
untuk memulihkan imej dan pengaruhnya. Dan tindakan yang paling
besar ialah pengumuman Dr Mahathir untuk berundur dari semua jawatan
politik pada tahun 2002. Pada Oktober tahun lalu beliau berundur
- dan serta-merta PAS dan Keadilan kehilangan satu isu berkempen
yang besar.
Tidak
cukup dengan itu, langkah pemulihan Umno ini turut dibantu oleh
proses persempadanan semula kawasan pilihanraya. Tindakan SPR menyusun
semula kawasan parlimen dan dewan undangan negeri itu banyak memberi
kelebihan kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya umum lalu.
Umno
dan semua pemimpin kerajaan nampaknya cuba menyembunyikan fakta
ini. Tanpa "bantuan" dari SPR itu, gelombang yang dibawa
oleh Pak Lah tidak mungkin menghasilkan kejayaan besar kepada Barisan
Nasional. Beberapa kawasan parlimen seperti Jeli, Baling, Pekan
dan Jerai (sekadar menyebut beberapa nama) tidak mungkin boleh dimenangi
dengan mudah oleh Umno tanpa persempadanan semula..
Jelas
sekali, Umno telah berkerja keras dengan menggunakan pelbagai saluran,
jentera, peralatan dan media kerajaan untuk mencapai matlamatnya.
Persetankan segala cemuhan dan kritikan pembangkang! Itulah politik,
matlamat menghalalkan cara!
Sokongan
padu
Namun
PAS tidak boleh mengeluh dan menyalahkan kerajaan semata-mata. Para
pemimpinnya perlu merenung diri mereka sendiri. Adakah mereka telah
berusaha keras menentang segala tekanan dan tindakan kerajaan ke
atas mereka?
Apa
yang mereka buat apabila kekerapan terbitan Harakah dihadkan? Apa
yang mereka lakukan apabila aktivis reformasi ditangkap di bawah
ISA? Mengapa para pemimpin PAS tidak memberi sokongan padu kepada
usaha penulis Lutfi Othman memerangi rasuah di Selangor? Mereka
seolah-olah redha apabila ceramah-ceramah politik diharamkan.
Di
samping itu cukup baikkah khidmat wakil rakyat mereka di Terengganu
dan Kelantan? Atau mereka jadi ego, lupa diri dan hanyut dengan
kemenangan semalam.
Sebenarnya,
parti-parti pembangkang harus juga menyalahkan dan memarahi diri
sendiri selain daripada menunding jari kepada pengundi hantu, tipu
muslihat kerajaan Barisan Nasional, media arus perdana dan SPR.
Memang
benar parti pembangkang turun ke medan perang dengan tangan terikat
di belakang. Mereka bertarung dengan BN di padang yang tidak rata.
Malah tiang gol juga diubah apabila pembangkang mahu menyumbat gol,
tetapi itu tidak bermakna kita perlu pasrah.
Sebenar
Barisan Alternatif tidak berkerja cukup kuat selepas "kemenangan"
tahun 1999. Mereka masih bergantung pada isu Anwar Ibrahim. Mereka
lupa bahawa orang Melayu mudah lupa!
Mereka
tidak nampak senario sudah berbeza. Mereka tidak perasan orang muda
kembali condong kepada parti pemerintah. Dan mungkinkah mereka tidak
sedar kemarahan rakyat pada kerajaan telah reda dengan bersaranya
Dr Mahathir?
Sebaliknya
Umno yang berkerja keras dengan pelbagai taktik serta strategi dan
akhirnya mereka mendapat hasil yang lumayan.
Sebenarnya
keputusan pilihanraya umum 2004 tidak mengejutkan. Ia sudah lama
tertulis di papan hitam!
Malaysiakini
|