Seruan Keadilan Online - Sunday, April 11, 2004 8:41 AM

KOMENTAR WANITA

Semboyan bagi PAS: Bangun segera!

Lebih awal daripada pilihan raya umum, kita lihat ramai warga asing di pantai timur dan utara semenanjung.

Mereka datang dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Singapura, antara negara-negara lain. Walau bagaimanapun, mereka bukan yang berjemur di tepi pantai Rantau Abang; atau yang pergi ’shopping’ di bazar-bazar Kota Bharu.

Mereka bergerak dengan cepat. Kita lihat mereka berkumpul di kediaman menteri besar Terengganu atau bangunan pentadbiran negeri Kelantan. Sekali-sekala, mereka dilihat berkeliaran sekitar desa-desa di Alor Setar dan Perlis.

Dari rupa serius mereka dan kamera, perakam video dan buku nota dalam tangan, anda boleh agak, mereka bukan pelancong biasa.

Benar, mereka bukan datang untuk melancong. Mereka ke mari untuk mengumpul maklumat dan data.

Wartawan-wartawan daripada agensi berita antarabangsa, media asing dan media elektronik, dan penyelidik politik di kedutaan asing Malaysia, sangat berminat untuk mengetahui samada PAS akan mampu tawan utara semenanjung dan pantai timur dan muncul sebagai kuasa politik yang digeruni di negara ini.

Mungkin mereka telah ada tajuk bagi berita pilihan raya 21 Mac: "The First Islamists-Controlled Nation Post 9/11"

Namun, kekalahan teruk PAS pada pilihan raya 21 Mac, telah memaksa mereka menulis semula laporan mereka.

Hakikatnya, mereka bertumpu di Kota Bharu dan Kuala Terengganu dan bukan Kuala Lumpur, memberi gambaran bagaimana dunia luar melihat pilihan raya di Malaysia.

Dunia tidak melihat Barisan Nasional, DAP, Abdullah atau Anwar Ibrahim. Ia melihat pada PAS, Islamisasi dan perkembangan politik teokratik di sini.

Dimata dunia luar, Malaysia ialah negara yang sederhana dan ’Islam radikal’ sedang bertembung untuk mendapatkan kuasa politik. Jika PAS memperoleh kuasa negara ini, ia akan terkesan pada kuasa-kuasa Islam di Indonesia, Thailand, Singapura  dan Filipina. Bukan saja Asia Tenggara akan menjadi pusat ’Islam radikal’, seluruh dunia akan merasa kesannya.

Perkembangan politik Islam dalam abad ke 20 disebarkan dengan reaksi berantai. Daripada perang Israel-Arab pada tahun 60an kepada revolusi Iran dalam tahun 70an dan pergerakan PLA dalam tahun 80an, Islam radikal ialah interpretasi mereka yang ingin balik kepada ajaran asal Islam (Islamic fundamentalsm), telah berkembang di serata dunia.

Tetapi, pada 21 Mac rakyat Malaysia atau lebih tepat, orang bukan Melayu telah membuat keputusan. Mereka menolak sepenuhnya ’Islam radikal’ dalam bentuk PAS dan enggan menjadi bahan kajian teokratik. Ini adalah akibat daripada persepsi Islam yang radikal yang berjaya diterapkan oleh BN dan tidak kurang juga kelemahan PAS menyantuni kehendak semasa.

PAS mungkin tidak menduga yang ia terlalu memaksa dan salah tafsir kehendak rakyat. Kemenangannya pada tahun 1999 diperoleh kerana rakyat tidak berpuashati dengan pentadbiran pada masa itu, bukan kerana suka pada teokrasi versi PAS.

Parti tersebut telah memberi sokongan kepada Osama selepas 1999, memberi persepsi, parti ‘bersetuju’ dengan keganasan, merangka undang-undang Islam, mengumumkan dasar negara Islam, melaksanakan dasar-dasar diskriminasi terhadap kaum yang lemah (wanita) dan cuba campurtangan dalam urusan kehidupan orang bukan Islam. Bukan saja parti tersebut cuba mengubah struktur politik yang sedia ada, ia juga dirasakan, ingin mengubah nilai-nilai yang diterima dan cara hidup rakyat biasa di Malaysia.

Dan keputusannya? Ia dikejutkan dengan perasaan meluat kalangan pengundi, sehinggakan ia terpaksa menyerahkan kerusi ia menang pada 1999, dan terpaksa duduk di satu sudut di pantai timur.

Sudah tentu PAS tidak akan lenyap akibat itu. Walaupun begitu, tamparan yang dialami dirasakan berat dan cukup untuk menyelubungi parti buat beberapa ketika.

Atau mungkin, semasa tempoh pemulihan, PAS wajar buat post-mortem bagi mengenalpasti masalah-masalah dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan, dan muncul dengan imej yang mesra, pendekatan yang sederhana mengikut perkembangan semasa dan lebih terbuka bagi meneruskan perjuangan politiknya. Golongan profesional muda berlatar belakangkan Islam wajar diberi peluang meneroka dan menyumbang kepada perubahan ini.