Seruan Keadilan Online - Sunday, April 11, 2004 8:42 AM

KOMENTAR WANITA

Mesej Cina pada Umno

BN menang besar dalam pilihan raya umum ke 11. Bukan saja undi Melayu telah kembali kepada BN, ramai juga orang Cina yang mengundi BN.

Sementara itu, politik teokratik PAS, mengalami kekalahan. Rakyat Malaysia atau lebih tepat, bukan Melayu telah membuat keputusan yang bersejarah.

Terima kasih kepada undi simpati, DAP berjaya keluar sebagai juara kalangan pembangkang, walaupun dilanda krisis dalaman.

DAP tidak boleh terus wujud dengan undi simpati: Ia perlu lalui perubahan dan menyerap darah muda yang berkualiti dalam kelompoknya.

Lebih penting, DAP mesti mengubah taktik perjuangan politiknya, kerana iklim politik di negara ini sudah berubah dan pengundi sudah menjadi lebih  berilmu berbanding dulu.

Kini BN telah kembali berkuasa, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjamin semua wakil BN akan memberi khidmat mereka yang terbaik kepada negara. Ini, bersama dengan usaha memerangi rasuah dan sikap tidak berkompromi dengan birokrasi, akan membuatkan DAP tiada ‘peluru’ untuk menyerang  kerajaan. Jalan di hadapan akan bertambah susah bagi parti pembangkang tersebut.

Umno ialah pemenang terbesar dalam pilihan raya ke 11. Adalah diharapkan di bawah kepimpinan Abdullah akan muncul entiti politik baru yang sanggup mendengar rintihan rakyat dan tidak membesar-besarkan politik perkauman.

Melihat ke belakang dalam sejarah, apabila Umno menjadi terlampau kuat, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan akan berlegar sekitar orang Melayu (lebih tepat orang Umno), dengan suara Cina dan MCA diketepikan.

Apabila masyarakat Melayu berpecah, undi Cina sangat diharapkan, dan pada ketika itu MCA benar-benar diperlukan.

Dan kini Umno semakin kuat semula, ia suatu yang membimbangkan, samada Umno akan kembali kepada sikapnya yang lama.

Umno perlu sedar bahawa orang Cina di Malaysia tidak semestinya menyokong DAP, tetapi ramai daripada mereka sudah tidak tertarik dengan banyak dasar yang dilaksanakan oleh Umno, membuatkan mereka terpaksa berpaling kepada DAP.

Secara umumnya, ramai telah mengundi untuk Abdullah, natijahnya, inilah masanya bagi dia memenuhi janji-janji yang telah dibuat.

Sebelum pilihan raya, Abdullah berulangkali menekankan bahawa dia adalah perdana menteri bagi seluruh rakyat. Masalah yang banyak di hadapi oleh komuniti Cina mesti menjadi perhatian utamanya.

Komuniti Cina mahukan layanan yang adil, sebagai contoh dalam isu pendidikan rendah Cina. Abdullah patut bawa penyelesaian yang efektif.

90% daripada ibubapa Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina, Perdana Menteri sewajarnya mengambil ini sebagai isyarat bagi membina lebih banyak sekolah rendah Cina untuk memenuhi permintaan.

Umno tidak patut melihat isu pendidikan rendah Cina sebagai sumber polarisasi kaum. Dan Abdullah mesti hentikan pemimpin-pemimpin Umno daripada membuat dakwaan secara terbuka tanpa bertanggungjawab akan akibatnya.

Selain itu, bagi menjamin kempen yang berkualiti dalam pilihan raya akan datang, semua parti-parti politik mesti mula mencari bakal calon-calon di kawasan-kawasan yang mereka kalah, dan mula membentuk mereka.

Mereka tidak boleh tunggu sehingga saat-saat akhir, bergegas mencari calon-calon yang baik untuk turun padang.