Seruan Keadilan Online - Sunday, April 11, 2004 8:43 AM

KOMENTAR WANITA

DAP hanya mampu bertahan, jauh sekali menang besar

Piliharaya umum sudah menutup tirainya, dengan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, mencapai kemenangan besar. 'Gelombang Biru' serta 'Gelombang Pak Lah' telah mempengaruhi pola pengundian dalam pilihanraya kali ini. Di Dewan Rakyat sahaja, BN menggondol 198 daripada 219 kerusi yang dipertandingkan bukan setakat mendapat majoriti dua pertiga, tetapi mececah majoriti 9/10.

"Gelombang Hijau"  yang dipelopori PAS, yang pernah berangan untuk menakluki tampuk pemerintahan di Perlis, Kedah dan Pahang, nampaknya kurang bermaya melawan 'Gelombang Biru' dan 'Gelombang Pak Lah' sehingga PAS kalah teruk di Terengganu dan hampir tumpas di Kelantan.

Keadilan pula mengalami nasib yang lebih malang di mana presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail sahaja yang mampu pertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Manakala kebanyakan penganalisa politik bersetuju prestasi DAP boleh dikatakan bagus tetapi mereka juga sependapat bahawa senario politik tanahair telah kembali ke era pra-90-an yang lebih cenderung kepada politik perkauman.

Oleh itu, ada juga yang mengatakan bahawa senario politik tersebut bagaikan 'Cina di pihak pembangkang vs Melayu di pihak pemerintah'. Ada juga yang berasa kurang senang dengan kenyataan DAP, yang sama-sama berasa puas hati dengan parti-parti komponen BN berasaskan kaum Cina, dengan keputusan pilihanraya umum kali ini.

Pandangan umum ialah sebegini: sekiranya pengundi Cina mengundi Keadilan, maka peluang parti itu untuk memecah kebuntuan politik perkauman adalah amat cerah.

Sebab utama analisa-analisa sebegini muncul ialah harapan setinggi gunung yang diletakkan di bahu Keadilan untuk memecahkan politik perkauman tetapi harapan ini berkecai apabila senario politik tanahair sehingga kini pun masih belum dapat memecah kebuntuan ini.

Sebenarnya, kenyataan bahawa undi Cina telah kembali ke pangkuan DAP telah sekaligus menghancurkan idaman semua untuk memecah politik perkauman, adalah tidak begitu tepat. Kekaburan ini perlu diperjelaskan dengan memberi perhatian kepada prestasi DAP secara terperinci.

Adalah benar bahawa DAP memenangi 12 kerusi Parlimen, tetapi parti itu hanya sekadar mempertahankan kedudukannya di Dewan Rakyat. Ia muncul sebagai parti pembangkang teramai di Dewan Rakyat. Tetapi pola pengundian masyarakat Cina yang cenderung kepada DAP berbeza dari tempat ke tempat.

Pola pengundian masyarakat Cina memihak kepada DAP di Lembah Kinta, di mana parti itu berjaya memenangi dua kerusi Parlimen di Ipoh Barat, Ipoh Timur dan mempertahankan Parlimen Batu Gajah.

Ini adalah hasil 'Gelombang Kit Siang' yang melanda Lembah Kinta. Tetapi kesannya pula tidak menyeluruh kerana DAP tidak berjaya memenangi kesemua kerusi DUN di ketiga-tiga kawasan Parlimen tersebut.

Keadaan masih tidak berubah di Pulau Pinang di mana masyarakat Cina di pulau itu memilih BN bagi kerusi DUN dan pembangkang bagi Parlimen. Bagi Selangor pula, DAP turut gagal memenangi kerusi Petaling Jaya Utara, yang satu masa dahulu merupakan kubu kuat DAP.

DAP hanya mampu memenangi dua kerusi DUN di Selangor. Yang jelasnya, kebanyakan pengundi Cina yang berpendidikan Inggeris di PJ Utara, lebih termakan dengan 'Gelombang Biru' Pak Lah, daripada menyahut seruan DAP yang mahu diwujudkan keseimbangan perwakilan di Dewan Rakyat dan DUN Selangor.

Keadaan yang sama turut berlaku di Johor di mana DAP gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen mahupun negeri. Malah, setiausaha agung DAP, Kerk Kim Hock juga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Melaka yang selama ini merupakan kubu kuat DAP. DAP juga turut kehilangan dua kerusi DUN Melaka.

DAP mampu memecah monopoli BN di Negeri Sembilan di mana kerusi DUN Lobak dan Bahau kembali ke pangkuan DAP walaupun parti itu gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di negeri itu.

DAP boleh dikatakan berjaya menarik balik undi kaum Cina ialah kawasan Parlimen di Kuala Lumpur di mana hampir kesemua calon DAP kekal dengan majoriti lebih besar, kecuali Fong Kui Lun yang menang dengan majoriti 304 undi sahaja (Baca: Fong mendahului pesaingnya sebanyak 4,000 undi sebelum undi pos dikira).

Di Sarawak pula, Chong Chien Jeng yang merupakan naib pengerusi DAPSY, berjaya memenangi kembali kerusi Parlimen Kuching. Justeru, DAP hanya sekadar mengekalkan kekuatannya, bukannya DAP menang besar seperti anggapan para penganalisa.

Pendapat saya ialah, jikalau DAP berasa puas hati, maka kepuasannya ialah DAP berjaya mengekalkan kedudukannya walaupun dilanda 'Gelombang Biru' dan 'Gelombang Pak Lah', dan tidak mengalami kekalahan teruk sepertimana Keadilan dan PAS. Dan definisi ini berbeza dengan definisi kepuasaan parti komponen BN!