Seruan Keadilan Online - Saturday, April 10, 2004 8:31 PM

EDITORIAL

Bukan kalah hanya tewas

Keputusan pilihanraya ke 11 yang lalu cukup mengecewakan jika dipandang secara mata kasarnya. Tetapi sebenarnya jika diperhalusi, BA tidak kalah . Bak kata pepatah yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semuanya. Biarkanlah BN bersorak serata kampung bahawa mereka menang besar. Biarkanlah BN kata rakyat kembali menyokong mereka. Tetapi pokoknya kita tahu siapa dan apa yang memenangkan mereka.

Rakyat dah celik dan buka mata. Bagaimana cerita ribuan rakyat yang tidak dapat mengundi, seorang mengundi sehingga lima kali, nama tiada dalam daftar mengundi, tempat pengundian ditukar tanpa pengetahuan pengundi dan yang lebih mengharu birukan bagaimana tempoh pengundian di lanjutkan di Negeri Selangor selama dua jam dari pukul 5 hingga pukul 7. Ini tak pernah berlaku dalam sejarah pilihanraya di Malaysia.

Ini memang tidak menghairankan ,memandangkan kita bertempur disatu padang yang tidak rata yang jelas ditujukan  kepada peranan berat sebelah yang dimainkan oleh SPR. Kita telah tewas sebelum bertempur lagi. Sebelum pilihanraya lagi, keadaan memang jelas memihak kepada BN. Idea persempadanan semula SPR misalnya memberi satu kelebihan yang nyata kepada BN.

Sehinggakan dekat pilihanraya pun kita masih dipermain-mainkan.Contohnya bagaimana pondok panas yang pada asalnya tidak dibenarkan, bahkan peraturan ini dibuat sendiri oleh SPR,  tetapi dibenarkan semula oleh SPR menjelang hari pengundian. Pihak BA hanya diberitahu menjelang pada malam pengundian. Sedangkan pondok-pondok panas BN telah tersedia didirikan.

Ini tidak termasuk lagi peranan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan  peranan media utama. Lebih mengejutkan pendedahan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu DatoÕ Mustapha Ali yang mendedahkan terdapat lebih 30,000 pengundi luar yang mengundi di Terengganu. Bagaimana ini harus berlaku jika tidak dengan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Sebenarnya pakatan BA telah membuat keputusan yang bijak dan waras dengan tidak menerima keputusan pilihanraya ke 11 yang lalu. Tetapi apakah cukup dengan hanya setakat kita tidak menerima keputusan sedangkan masalah utama adalah seluruh proses pilihanraya ke 11 yang lalu penuh dengan penipuan? Bukanlah soalnya kita tidak boleh menerima kekalahan tetapi biarlah kekalahan kita sebagai anak jantan. Bukan atas dasar penipuan.

Rakyat masih bersama kita. Jika dianalisakan keputusan yang lalu, undi kita tidak jatuh teruk. Bahkan ada disesetengah kawasan, undi kita meningkat dan peratusan yang menyokong kita tinggi. Tetapi yang jelas ialah bagaimana peningkatan undi kepada BN yang meningkat begitu mendadak sekali.

Rakyat tidak menolak kita walau di Terengganu. Kita perlu lebih realistik. Mungkin kita menjangkakan akan kalah beberapa kerusi di Terengganu. Tetapi kalah hampir semua kerusi, ini sesuatu yang diluar jangkaan. Hanya BN  sahaja yang tidak terkejut dengan kemenangan besar di Terengganu.

Rakyat sesungguhnya amat memerlukan suatu perjalanan pilihanraya yang adil dan telus. Bukan pilihanraya yang penuh dengan penipuan. Sebab itu desakan BA supaya satu suruhanjaya bebas di bentuk bagi menyiasat segala bentuk penyelewengan, haruslah mendapat perhatian segera dari pihak terbabit.

Tetapi persolannya bilakah kita akan mendapat satu perjalanan sistem pilihanraya yang kita idam-idamkan? Selagi BN berkuasa, keadaan seperti ini akan terus kita lalui.Kita memerlukan keberanian khususnya di pihak SPR sendiri didalam membuat perubahan.

SPR badan yang kita amanahkan menjalankan suatu perjalanan pilihanraya yang adil dan telus, haruslah sebenar-benarnya telus dan adil. Bukan hanya setakat cakap sahaja .Kepada SPR, kembalikanlah kepercayaan rakyat. Keluarlah dari kepompong BN/UMNO. Jadilah anak jantan yang bermaruah.

Kepada semua pendokong BA, kita tidak kalah tetapi hanya tewas kepada kebobrokan sistem pilihanraya tajaan BN.