Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 6:43 PM
Kerajaan
BN Kedah abai nasib kaum India di estet
Dr.
A. Xavier Jayakumar
Naib
Presiden - keADILan
Parti KeADILan sangat dukacita
dengan sikap 'tidak ambil peduli' kerajaan BN Negeri Kedah terhadap
permasalahan penduduk-penduduk estet di Ladang Kok Seng kira-kira
4 km dari pekan Kuala Ketil, Baling, Kedah.
Estet
tersebut terletak di dalam DUN Kuala Ketil - Parlimen Baling, Kedah.
Estet kelapa sawit tersebut didiami oleh kira-kira 25 buah keluarga
rata-ratanya di kalangan masyarakat India dengan jumlah isi keluarga
kira-kira 157 orang. Rata-rata mereka terdiri dari penoreh getah,
buruh-buruh ladang kelapa sawit serta pekerja-pekerja kilang yang
di pekan/bandar-bandar berdekatan. Kebanyakan daripada mereka berpendapatan
rendah dan mempunyai ramai tanggungan. Dalam usaha untuk mendapatkan
tambahan pendapatan, mereka telah mengusahakan projek sampingan
ternakan kambing biri-biri di kawasan estet tersebut.
Estet persendirian tersebut
telah dimiliki oleh beberapa orang pemilik-pemilik perseorangan
dengan keluasan melebihi 50 hektar. Disebabkan pertelagahan 'dalaman'
di kalangan pemilik-pemiliknya - satu-satunya 'jalan tanah merah'
keluar masuk estet sepanjang kira-kira 3 ˝ km di kawasan tersebut
telah tidak diselenggarakan dengan sempurna oleh pemiliknya. Ini
mengakibatkan jalan tersebut terhakis dengan teruk serta membentuk
lubang-lubang yang besar dan dalam. Jalan tersebut akan berlumpur
dan tidak boleh dilalui disebabkan lumpur tebal setiap kali berlakunya
hujan yang lebat.
Keadaan
ini telah berlanjutan lebih dari 5 tahun yang lalu dan ini menimbulkan
masalah kepada penduduk setempat lebih-lebih lagi kepada anak-anak
mereka yang terpaksa berulang alik untuk ke jalan besar bagi menuju
ke pekan Kuala Ketil yang terletak lebih kurang 4 km dari jalan
besar tersebut.
Jalan
estet tersebut juga tidak mempunyai sebarang lampu-lampu jalan dan
ini telah menimbulkan masalah untuk penduduk setempat berulang alik
di waktu malam.
Pada 14 Februari yang lalu
Dr. A. Xavier .Jayakumar- Naib Presiden berserta dengan Ketua Bahagian
KeADILan Baling, Sdra Jamarudin Abu Hasan yang turut disertai oleh
Ketua Wanita Bahagian tersebut dan AJK kepimpinan bahagian telah
melawat estet tersebut untuk melihat sendiri keadaan dan permasalahan
penduduk setempat. Kepimpinan PAS kawasan Baling turut serta dalam
program tersebut.
Dalam
sesi perjumpaan tersebut, Dr. Xavier menegaskan bahawa parti BA
adalah komited untuk terus membantu penduduk setempat bagi mendapatkan
kemudahan-kemudahan asas tersebut- yaitu jalan estet bertar yang
sempurna dan lampu-lampu dari agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Tegasnya lagi sepatutnya ianya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk
menyediakan kemudahan-kemudahan tersebut demi kepentingan penduduk
setempat. Dalam masa yang sama parti KEADILan / BA akan menggunakan
saluran politik untuk terus 'menekan' pihak kerajaan Negeri untuk
segera mengadakan kemudahan tersebut di kawasan estet tersebut dalam
masa terdekat.
Perjumpaan tersebut telah
diadakan di dalam sebuah dewan orang ramai berdindingkan papan dan
separuh batu dan telah dihadiri oleh kira-kira 50 orang penduduk
setempat. Dewan tersebut telah dibina oleh wakil MIC setempat dan
telah siap beberapa bulan yang lalu. KeaDILan juga begitu kecewa
dengan penyelewengan MIC yang menyalahgunakan dana pembinaan dewan
tersebut. Mereka telah berbohong kepada penduduk setempat dengan
mengatakan bahawa dewan tersebut dibina dengan kos sebanyak RM40,000
sedang anggaran kasar penduduk setempat mengatakan bahawa kos pembinaannya
hanyalah dalam sekitar RM15,000 sahaja. Keadaan ini begitu jelas
memandangkan bahan-bahan bangunan dan kemasan yang digunakan adalah
dari mutu yang rendah dan tidak berkualiti.
Tambah menyedihkan lagi,
dewan tersebut tidak dibekalkan dengan pendawaian eletrik dalaman
(internal wiring). Tetapi dengan ehsan Datuk Taib Azamuddin (PAS)
- Ahli Parlimen Baling, beliau telah menyumbangkan kos pendawaian
tersebut di samping membekalkan beberapa buah kipas siling untuk
dewan tersebut.
KeADILan
juga tidak berpuashati dengan ketidak prihatinan kerajaan negeri
kerana telah gagal menyediakan bekalan air paip yang mencukupi ke
kawasan estet tersebut. Keseluruhan kawasan tersebut hanya dibekalkan
dengan dua batang paip bermeter sahaja yang disambung dari saluran
paip utama yang terletak sejauh 4 km dari jalan besar. Ini menyebabkan
kesemua 25 keluarga tersebut terpaksa berkongsi untuk mendapatkan
bekalan air tersebut secara bergilir-gilir. Keadaan menjadi lebih
susah apabila bekalan air ke kawasan tersebut terputus untuk beberapa
hari.
Oleh kerana nasib serta permasalahan
mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan
, penduduk setempat bersepakat untuk menyertai keADILan dan menubuhkan
sebuah cawangan di kawasan tersebut. Dalam perjumpaan itu juga Sdra
Dr. Xavier telah menerima 80 permohonan ahli-ahli baru untuk menyertai
parti.
Ini
jelas menunjukkan bahawa ramai masyarakat India di estet-estet tidak
lagi yakin terhadap kerajaan BN Kedah bagi membantu mereka dalam
menangani permasalahan mereka walaupun mereka telah memerintah lebih
47 tahun.
|