Seruan Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 6:44 PM

Tindakan Mahkamah jika doktor berdegil

Peguam Dato' Seri Anwar Ibrahim Sankara Nair, telah mengeluarkan sepucuk surat meminta pihak penjara berbuat sesuatu terhadap rawatan Anwar dalam penjara.

Sankara dalam suratnya memberitahu, bahawa Anwar berada dalam keadaan sakit yang tenat dan mengadu kepada pihaknya, bahawa beliau telah meminta Dr. Jeyaindran Sinnadurai untuk memeriksanya, akan tetapi apabila Pembantu Perubatan Hospital (Hospital Assistant) pergi berjumpa dengan Dr. Jeyaindran di Hospital Kuala Lumpur, Dr Jeya hanya memberikan arahan bagi mendapatkan pil yang disyorkan tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk memeriksa Dato' Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh.

Surat tersebut, membuat aduan rasmi terhadap Dr. Jeyaindran Sinnadurai dan menggesa supaya anak guamnya diperiksa dan diberikan rawatan yang sepatutnya dengan segera. Kegagalan pihak-pihak yang berwajib untuk berbuat demikian, akan memberikan alasan yang kukuh kepada pihak peguam Anwar untuk mendapatkan perintah Mahkamah.

Tindakan untuk dapatkan perintah mahkamah akan mendedahkan kepada umum, sikap sebenar pihak-pihak yang terlibat terutamanya pihak Penjara dan Kementerian Kesihatan.

Sankara mengulangi agar pihak penjara mengambil berat perkara tersebut dan tindakan segera hendaklah diambil serta rawatan yang sewajarnya hendaklah diberikan selaras dengan rawatan perubatan yang professional dan juga dengan Peraturan-Peraturan Penjara.