Seruan Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 6:49 PM

Pemimpin-pemimpin Wanita tolak duit dari Umno

Sayap Wanita Parti Keadilan Nasional (Keadilan) hari ini berkata tiada daripada ahli-ahlinya yang termakan dengan pujukan Umno dengan tawaran wang.

Ketuanya Fuziah Salleh berkata, walaupun beberapa tawaran telah dibuat kepada beberapa ahli exco Wanita, tiada yang gelap mata dengan tawaran tersebut.

"Wanita Keadilan diserang oleh politik wang dari awal lagi. Saya menerima aduan daripada ahli exco saya, yang Umno memujuk mereka dengan menjanjikan habuan wang. Saya percaya serangan ini berterusan dan tidak akan henti," katanya apabila dihubungi.

Walau bagaimanapun, dia enggan beritahu siapa yang menerima tawaran wang dan jumlah yang ditawarkan oleh Umno.

"Cukup jika saya kata jumlah yang ditawarkan lebih tinggi daripada yang ditawarkan kepada ahli Pemuda. Saya langsung tidak terkejut dengan taktik kotor Umno ini, kerana politik wang memang sudah mendarah-daging dalam parti tersebut," katanya.

Fuziah mendedahkan, antara yang menawarkan bagi pihak Umno termasuk mereka dalam kumpulan 12 orang yang keluar parti bulan lepas.

"Sebelum mereka (yang 12) membuat pengumuman rasmi, mereka cuba memujuk pemimpin-pemimpin Wanita untuk bersama mereka. Saya beritahu mereka (pemimpin -pemimpin Wanita) supaya memikirkannya dengan sedalam-dalamnya, samada duit yang ditawarkan itu berbaloi dengan mereka meninggalkan perjuangan parti."

Wanita bernasib baik kerana pemimpin-pemimpinnya amat komited dan mereka memberi jaminan kepada saya bahawa mereka tidak akan pertimbangkan tawaran-tawaran seperti itu," tegasnya.

Semalam, 58 pemimpin akar umbi dari Keadilan mengumumkan keluar parti dan memasuki Umno. Ia disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Najib abdul Razak.

Kumpulan tersebut dipimpin oleh bekas pengerusi Keadilan Negeri Sembilan Ruslan Kassim, yang mendakwa lebih ramai ahli Keadilan akan meninggalkan parti.

Fuziah memberitahu bahawa daripada 70 ahli Keadilan yang masuk Umno semula, hanya seorang daripada Wanita, dan ahli tersebut ialah wanita bahagian yang tidak aktif dari Pahang.

"Saya tidak kesal dengan kemasukannya ke dalam Umno kerana dia tidak pernah terlibat dalam kegiatan atau aktiviti parti semenjak dua tahun yang lalu. Kita tidak alami apa-apa kerugian," tambahnya.

Ditanya bagaimana pemimpin-pemimpin Wanita mampu hadapi pujuk rayu dan tawaran Umno, Fuziah berkata Keadilan diberkati dengan wanita-wanita yang gagah, karakter dan prinsip.

"Dalam keadaan krisis, wanita telah membuktikan kemampuannya yang lebih teguh. Kaum lelaki dapati tawaran yang dibuat Umno sukar untuk ditolak terutama mereka yang dibebani hutang," tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Pulau Pinang Aminah Abdullah memberitahu bahawa Umno telah menawarkan RM50,000 kepadanya untuk masuk Umno.

"Salah seorang Ketua Wanita Umno Bahagian telah datang kepada saya, memberitahu saya bahawa mereka sanggup bayar jumlah tersebut jika saya tinggalkan Keadilan. Saya cuba memberi isyarat yang RM50,000 terlalu sedikit, dan saya agak terkejut apabila mereka kata mereka akan pertimbangkan untuk beri saya lebih dari itu."

"Tetapi oleh sebab saya tidak mahu ada salah faham, saya terus memberitahu mereka yang saya tiada keinginan untuk tinggalkan parti kerana duit," katanya.

Walaupun jumlah yang ditawarkan agak besar, Aminah berkata dia tidak terpedaya kerana dia sudah selesa dengan kehidupannya yang sederhana.

"Saya sudah biasa dengan kehidupan yang sederhana, duit tersebut tidak menawan hati saya. Memang duit penting, tetapi.. bagi saya, keikhlasan lebih berharga," kata suri rumah yang menjaga Wanita Keadilan Bukit Bendera.

Aminah juga memberitahu yang itu bukan kali pertama dia menerima tawaran seperti itu, ia pernah berlaku sebelum pilihan raya umum 1999.

"Saya belum lagi menganggotai Keadilan pada masa itu tetapi Umno sudah berminat mengambil saya sebagai ahli. Apabila saya tolak, mereka cuba dengan menawarkan kepada saya rumah, kereta dan elaun bulanan."

"Saya tanya mereka samada ini (wang)menjadi perjuangan Umno selama ini? Saya suruh mereka berikan saja kepada yang memerlukannya," katanya.