Seruan Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 6:53 PM

Pilihan raya: permohonan rayuan Anwar ditangguh

Peluang Anwar Ibrahim untuk mendapat perbicaraan bagi permohonan ikat jaminnya akan terkesan daripada  pilihan raya umum akan datang, menurut peguamnya Sankara Nair.

Sankara memberitahu malaysiakini bahawa Anwar telah menyatakan kebimbangannya bahawa Mahkamah Persekutuan akan ditekan untuk menangguhkan pendengaran permohonan ikat jamin sehingga pilihan raya selesai.

 "Kami berharap mahkamah tidak akan jadi political kerana dengan itu, mahkamah akan berlaku tidak adil sebab mengutamakan suatu yang tidak relevan seperti pilihan raya, daripada kepentingan anak guaman saya. Kita berharap, mereka akan berlaku adil," katanya apabila dihubungi.

Sankara memberitahu bahawa Anwar telah menulis dua pucuk surat kepada Ketua Hakim Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, meminta mahkamah mendengar permohonan ikat jaminnya secepat mungkin.

 "Kami telah mengirim sepucuk surat minggu lepas bertarikh 20 ebruari bersama dengan surat peribadi Anwar kepada Ketua Hakim. Tetapi tiada jawapan, Anwar tulis sepucuk surat lagi yang dihantar semalam," kata peguam tersebut.

Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dipenjarakan sembilan dan enam tahun masing-masing pada tahun 2001 kerana meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isteri Anwar, Dr Wan Azizah Ismail.

Anwar telah memfail permohonan untuk ikat jamin kepada Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari, setelah Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk menangguh hukuman sementara menunggu rayuan terhadap hukuman liwat.

Dia dikatakan dalam keadaan kesihatan yang bertambah serius - slipped disc - sebagai asas untuk ikat jamin tetapi hakim-hakim Pajan Singh Gill, Richard Malanjum dan Hashim Yusof, memutuskan bahawa keadaan kesihatannya tidak kuat untuk diberikan kebenaran penangguhan hukuman.

Dalam suratnya, Anwar menyatakan kekecewaannya terhadap kegagalan mahkamah menetapkan tarikh walaupun ia sudahdua bulan semenjak permohonan difailkan.

 "Saya bimbang, kelewatan ini boleh dianggap sebagai kegagalan di pihak kehakiman memenuhi tugas dan tanggungjawabnya menegakkan keadilan tanpa takut atau merasa tertekan daripada pihak berkuasa politik," katanya dalam sepucuk surat.

Anwar merujuk kepada kelewatan selama sembilan bulan oleh Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan menolak permohonan ikat jaminnya, dan berharap layanan tidak adil itu, tidak akan diulang oleh mahkamah tertinggi di negara ini.

 "Mengapakah pihak kehakiman membenarkan sikap tidak adil ini berlaku ke atas saya? Dalam kes (pengerusi Perwaja Steel) Tan Sri Eric Chia dan (bekas menteri tanah dan pembangunan koperasi) Tan Sri Kasitah Gadam, mahkamah telah benarkan permohonan ikat jamin secara lisan oleh kedua-dua dalam masa setengah jam," katanya.

Chia yang menghadapi tuduhan penyelewengan dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta, sementara Kasitah hadapi dua tuduhan salahguna kuasa, diikat jamin sebanyak RM1 juta.

Walaupun tuduhan yang di hadapi oleh Chia dan Kasitah berbeza daripada kes liwat Anwar, Sankara menjelaskan bahawa ketiga-tiga kes, menuntut mahkamah mengambilkira pertimbangan yang sama sebelum membenarkan  ikat jamin.

 "Seperti tuduhan liwat, tuduhan penyelewengan oleh Chia membawa hukuman penalty maksima 20 tahun penjara dan ia kesalahan yang tidak boleh diikat jamin. Sementara, tuduhan ke atas Kasitah adalah di bawah Undang-undang Darurat - sama seperti kes rasuah Anwar - tetapi Kasitah diberikan ikat jamin sementara Anwar dinafikan hak ikat jamin dari awal. Di manakah keadilan?" dia bertanya.

SURAT

24 Februari 2004.

Ruj. Kami   : SNN/DSAI/Bail./FC/04

Ruj Tuan    :

Kamar Ketua Hakim Negara

Aras 5, Palace of Justice

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

Presint 3

62506 Putrajaya.

PER: MAHKAMAH PERSEKUTUAN RAYUAN JENAYAH NO:05-6-2003 (W) (MAHKAMAH RAYUAN-RAYUAN JENAYAH NO: W-02-64-2000

Dengan segala hormatnya, kami merujuk kepada perkara di atas.

Untuk makluman Y.A.A. Tan Sri, kami mewakili Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim di dalam kes ini.

Untuk pengetahuan Y.A.A. Tan Sri, kami telah melawat anak guam kami pada hari ini jam 2.30 petang di Penjara Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan.

Beliau masih dalam keadaan sakit dan merasa cukup kecewa disebabkan tiada sebarang berita daripada pihak Mahkamah sehingga kini.

Oleh yang demikian, beliau sekali lagi menulis sepucuk surat untuk perhatian Y.A.A Tan Sri.

Bersama-sama ini disertakan sesalinan surat anak guam kami kepada Y.A.A. Tan Sri untuk perhatian dan tindakan segera dari Y.A.A. Tan Sri.

Berdasarkan kepada surat tersebut, kami amat berterima kasih sekiranya  pertimbangan dan kerjasama segera dari pihak Y.A.A. Tan Sri dapat diambil.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

S.N.NAIR & PARTNERS

s.k:  1. Jabatan Peguam Negara Malaysia

      2. Datin Seri Wan Azizah

      3. Tetuan Aris Rizal Christopher Fernando & Co

      4. Tetuan Karpal Singh & Co.