Seruan Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 6:36 PM

BICARA PRESIDEN

Paradoks tabung yang dilancra ansara

Beberapa minggu yang lalu telah menyaksikan satu kempen mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar miskin. Kempen ini dianjurkan oleh ANSARA, iaitu persatuan bekas pelajar MRSM. Inisiatif ini, yang dinamakan Tabung Harapan Ihsan Pelajar, seharusnya dipuji dan disokong.

Namun, kempen ini juga menonjolkan paradoks yang wujud dalam masyarakat Malaysia. Ia menunjukkan walaupun ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan, masih terdapat golongan yang tercicir. Pemerintah telah gagal membantu golongan ini. Sebaliknya, rakyat diseru untuk tampil membantu golongan ini. Berbagai agensi kerajaan dan kementerian yang sepatutnya memainkan peranan dalam hal ini nampaknya telah gagal. Turut terserlah pada kempen ini ialah beberapa kes yang jelas menunjukkan kepincangan pada perkhidmatan kerajaan. Satu kes yang dipaparkan pada rancangan Edisi Siasat NTV7 ialah mengenai kesusahan yang dialami sebuah keluarga di Kelantan. Walaupun keluarga ini miskin, anak-anak dalam keluarga ini tidak mendapat bantuan buku teks. Sebab yang diberikan menggambarkan kelemahan pada proses pentadbiran sekolah dalam membantu keluarga ini. Keadaan sebegini bukanlah suatu yang terpencil. Kegagalan dan kepincangan pada program seperti Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) sudah lama diketahui.

Kenapakah keadaan ini wujud? Pada ketika yang sama, kita melihat satu lagi paradoks, 'Golongan miskin diabaikan dan rakyat diseru membantu'. Tetapi syarikat-syarikat besar dan jutawan-jutawan yang bermasalah dibantu dengan cepat. Pada tahun lalu Khazanah Holding telah membuat pelaburan besar ke dalam Country Heights. Alasan yang diberi ialah ia merupakan "pelaburan strategik". Persoalan yang timbul ialah apakah yang strategik pada Country Heights, jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat lain? Dan kenapakah "pelaburan strategik" ini dilakukan ketika Country Heights mengalami kerugian? Kenapakah tidak dibiarkan kuasa pasaran menentukan masa depan Country Heights? Jika ia benar-benar strategik kenapakah Khazanah tidak melabur ketika Country Heights menunjukkan prestasi yang menguntungkan? 

Selain dari pelaburan Khazanah dalam Country Heights, terdapat banyak lagi contoh dari masa lalu yang menunjukkan bagaimana pemerintah begitu ghairah dan cekap bila membantu syarikat-syarikat besar sebegini. Adakalanya ini dilakukan melalui Petronas. Malahan, Petronas boleh dikatakan berperanan sebagai badan kebajikan untuk orang-orang kaya yang menghadapi masalah dalam perniagaan mereka. Kenapakah tahap kecekapan ini tidak wujud dalam membantu golongan miskin?

Satu lagi paradoks yang wujud ialah sebahagian dari kepimpinan ANSARA terdiri dari mereka yang rapat dengan pemerintah, sama ada melalui jawatan yang mereka pegang atau hubungan kekeluargaan. Adakah sukar untuk mereka ini membawa kepada perhatian pemerintah masalah-masalah yang di hadapi rakyat selama ini?

Inisiatif ANSARA ini merupakan pengakuan bahawa pemerintah sebenarnya telah gagal dalam menjaga kebajikan golongan terlemah di dalam masyarakat. Ini samalah dengan Program Khidmat Negara yang merupakan pengakuan bahawa program Rakan Muda telah gagal, begitu juga program kupon tuisyen Kementerian Pendidikan mengesahkan bahawa sistem persekolahan gagal memberi pendidikan yang secukupnya sehinggakan murid-murid memerlukan tuisyen tambahan. 

Walau apa pun, kita masih menganggap inisiatif yang dilakukan ANSARA harus disokong demi membantu mereka yang kurang bernasib baik. Kita cuma berharap ia tidak dijadikan alat politik oleh kepimpinannya.