Seruan Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 6:58 PM

Siasat semula SCOMI

Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendesak dibuka semula siasatan ke atas dakwaan tidak tahu-menahu atau tidak bersalah di pihak SCOMI dan Scope, oleh Suruhanjaya Pemilihan Parlimen. Begitu juga aktiviti perniagaannya dan rangkaiannya di Malaysia dan di serata dunia, bagi memelihara imej negara, maruah dan keselamatan Malaysia.

Keadilan berasa lega setelah pentadbiran Bush mengulangi bahawa ia tidak menuduh Malaysia atau kerajaann terlibat atau menggalak pembuatan senjata nuclear dan bahan-bahan yang boleh digunakan untuk senjata tersebut, yang membahayakan rantau dan keselamatan antarabangsa.

Apa yang jelas kini ialah, hanya SCOMI dan anak syarikatnya, Precision Engineering (SCOPE) di mana pemilik terbesarnya ialah tidak lain daripada anak lelaki tunggal Perdana Menteri Malaysia, yang terlibat.

Melihat dalam konteks ini, Datin Seri Dr Wan Azizah merasa amat kesal bahawa Menteri Luar, Syed Hamid Albar telah menyalahgunakan jentera dan sumber-sumber diplomatik Malaysia dari mula sehingga kini, membela SCOMI seolah-olah ia syarikat milik kerajaan atau badan statut.

Ini menyebabkan dunia membuat andaian yang silap bahwa Malaysia sebagai sebuah negara, terlibat dalam pembuatan dan penjualan bahagian centrifuge kepada Libya, dan ini yang telah dilakukan oleh Menteri Luar, seterusnya yang memburukkan lagi keadaan, media arus perdana menyerang pentadbiran Amerika  dan Presiden Bush.

Menurut Dr Wan Azizah, salahguna jentera dan sumber diplomatik untuk membela syarikat swasta yang dimiliki oleh anak Perdana Menteri Malaysia membuktikan bagaimana kronisme dan nepotisme tanpa segan silu, diinstitusikan dan menjadi budaya politik di Malaysia.

Datin Seri Dr Wan Azizah, dalam satu kenyataan, menyatakan rasa tidak puashatinya dengan rumusan yang diberikan oleh siasatan polis, bahawa SCOMI telah "ditipu" ke dalam perniagaan membuat dan menjual bahagian centrifuge kepada Libya. Alasan tersebut tidak dapat diterima kerana:

Pertama, sebagai Perdana Menteri dan bapa kepada pemegang saham terbesar SCOMI, Abdullah Ahmad Badawi juga ialah Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas Polis DiRaja Malaysia, dan dia telah secara peribadi, membela SCOMI sejak mula kes tersebut sehingga sampai ke pengetahuan umum. Bagaimana rakyat dan dunia akan mendapat siasatan yang adil?

Kedua, bagaimana mungkin, sebuah syarikat yang pemegang sahamnya termasuk antara lain, mereka-mereka dari lulusan Cambridge dan bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan seperti bekas setiausaha agong Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, begitu mudah percaya dan dibohong sehingga tidak tahu akan kegunaan bahagian-bahagian centrifuge tersebut.

Ketiga, ia tidak logic bagaimana, tiada seorang dalam SCOMI atau Scope yang tahu latarbelakang perniagaan BSA Tahir, yang dilaporkan sudah bergerak dan bergaul dalam masyarakat elit di Malaysia, buat beberapa tahun sebelum dia didedahkan baru-baru ini.

Oleh itu, dengan membuka semula siasatan, kali ini siasatan dibuat oleh Suruhanjaya  Pemilihan Parlimen dari pelbagai parti, dapat dipastikan samada SCOMI dan Scope benar-benar tidak tahu-menahu atau tidak bersalah dalam penjualan bahagian centrifuge di pasaran gelap.