Seruan Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 6:59 PM

Buktikan kerajaan telus: Siasat SCOMI

Polis diminta membuat siasatan dan laporan yang lebih telus dalam isu pasaran gelap komponen senjata nukleur yang melibatkan syarikat Scomi Precise Engineering yang dikuasai anak Perdana Menteri, Abdulah Ahmad Badawi.

AJK PAS Pusat berkata, cara tindakan terhadap pihak yang terlibat sangat berbeza dengan kes-kes sebelum ini.

"Cara tindakan terhadap mereka yang dituduh anggota KMN, JI dan Kumpulan Reformasi dan tindakkan terhadap kes ini adalah sangat berbeza dan menunjukan layanan yang lebih istemewa," kata Husam Musa, anggota Parlimen Kubang Kerian.

"Adakah ini kerana orang yang terlibat ialah anak perdana Menteri Malaysia?" soal Husam.

Dr Hatta Ramli pula berkata, cara laporan yang dikeluarkan oleh polis pula membayangkan seolah-olah mereka mahu melindungi Scomi yang dikuasai oleh anak Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Dr Hatta dan Husam mendesak agar kerajaan jangan menutup kes ini sebegitu mudah sebagaimana yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib.

Polis baru-baru ini mengeluarkan laporan khas berkaitan dengan siasatan mereka terhadap penglibatan Malaysia dalam pasaran gelap komponen senjata nukleur yang didakwa oleh Presiden Amerika, George Bush.

Bush berkata, 14 komponen centrifuges itu dibuat di kilang Scomi di Shah Alam sebelum dihantar ke Dubai dan seterusnya ke Libya.

Menurut kenyataan yang di keluarkan oleh polis, mereka berpuashati bahawa Scope, anak syarikat Scomi Berhad yang dikuasai anak Perdana Menteri, Kamaludin Abdullah tidak mengetahui 14 komponen yang dibuatnya adalah untuk senjata nukleur, dan di dalam laporan itu, pihak polis meletakkan kesalahan kepada BSA Tahir, seorang wargenegara Sri Langka.

Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak meminta jangan ada mana-mana pihak khasnya pembangkang mempertikaikan lagi isu ini.

Dalam kenyataannya Husam berkata, isteri BSA Tahir telah lama mempunyai saham dalam Scomi dan baru sahaja menjual sahamnya selepas agensi perisikan Eropah menyekat penghantaran 14 komponen itu.

"Jika B.S.A. Tahir memperdaya dan seterusnya berjaya mendapatkan alat tersebut dari Malaysia, kenapa pihak Keselamatan Malaysia tidak mengambil tindakan terhadap beliau sehingga hari ini," soal Husam.

Sehubungan itu, mereka meminta "Penjelasan dan siasatan yang lebih tulus hendaklah di lakukan oleh pihak pihak yang lebih bebas dan berwibawa."