Seruan Keadilan Online - Sunday, March 14, 2004 7:02 PM

Minyak dan gas bisnes utama SCOMI

SCOMI akan mendapat 'durian runtuh' apabila telaga minyak Kikeh mula mengalir. Dengan tiba-tiba SCOMI menceburi bidang pengangkutan kapal marin dan transformasinya kepada syarikat menggerudi dengan kehadirannya di peringkat antarabangsa, akan mengalahkan pada satu masa dulu, anak-anak bekas Perdana Menteri Dr Mahathir

Dalam pembelian syarikat-syarikat oleh SCOMI, antaranya termasuk OBM Terminal Sdn Bhd, yang menyediakan kemudahan menyimpan hasil carigali, dan OilTools International, syarikat pengurusan sisa carigali yang mempunyai 29 cawangan di seluruh dunia.

Kebanyakan pengambil alihan dibuat pada separuh kedua tahun 2003 apabila ia disahkan bahawa Pak Lah akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri. Pada tahun ini, SCOMI dijangka membuat keuntungan sebanyak RM87 juta daripada pengambil alihan syarikat-syarikat. Satu lonjakan besar, daripada RM14.6 juta keuntungan bersih pada tahun 2002 dan keuntungan 2003 sebanyak RM20.5 juta.

Tahun depan (2005), SCOMI dijangka membuat untung bersih sejumlah RM108 juta. Ini termasuk penjimatan cukai tahunan sebanyak RM15 juta yang akan dinikmati daripada mengambil alih OilTools.

Ini bermakna bahawa syarikat akan melihat pendapatannya tumbuh sebanyak tiga hingga empat kali ganda sepanjang dua tahun, suatu yang tidak banyak syarikat-syarikat lain yang tiada hubungan dengan perdana menteri dapat harapkan.

Keuntungan SCOMI juga akan datang daripada kontrak barunya berjumlah RM320 juta (ditanda tangani setelah Pak Lah menjadi Perdana Menteri), membekalkan cecair menggerudi kepada Exxon Mobil, Shell dan Petronas Carigali selama dua tahun akan datang. Akan berlaku 60% lonjakan dalam pendapatan daripada kontrak RM320 juta ini. Tahun lepas, kontrak tersebut bernilai hanya RM160 juta setahun, berbanding RM100 juta setahun sebelumnya (sebelum diketahui bahawa Pak Lah akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir).

Kemudian dianggarkan terdapat RM200 juta sehingga RM250 juta nilai kontrak-kontrak sokongan kapal yang akan diperbaharui tahun ini. Berapa banyak daripada semua ini akan diberikan kepada SCOMI? Ini perkembangan yang menarik untuk dilihat dan adakah kaitan Pak Lah akan bantu SCOMI mendapat sebahagian besar bisnes tersebut?

Satu lagi langkah SCOMI yang menarik untuk diperhatikan ialah rancangannya menerbitkan waran bernilai RM44 juta, dengan harga tukaran sebanyak RM1.60 satu. Terdapat juga terbitan bonus sebanyak 66 juta syer kepada tiga syer baru untuk setiap lima yang dimiliki, dan pecahan satu syer kepada lima syer dengan harga 10 sen setiap satu setelah itu.

Semenjak 13 Mei 2003, pertama kali SCOMI disenaraikan, harga sahamnya melonjak lapan kali ganda dari RM2.01 kepada RM16 apabila Pak Lah ambil alih sebagai PM pada 31 Oktober. Jelaslah, status SCOMI  "pujaan ramai" disebabkan hubungan politiknya.

SCOMI sudah pastinya kelahiran baru yang akan menggantikan syarikat-syarikat milik Mirzan Mahathir, Halim Saad, Tajuddin Ramli dan Samsudin Abu Hassan dalam tahun 1990an.