Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:52 PM

Pihak berkuasa kesihatan nasional sebagai pembayar tunggal

Cadangan keADILan jamin khidmat kesihatan rakyat

Parti Keadilan Nasional mencadangkan penubuhan  pihak berkuasa kesihatan nasional sebagai pembayar tunggal yang dibiayai oleh sistem percukaian, insuran sosial yang wajib disumbangkan oleh majikan dan dari pendapatan pekerja berdasarkan gaji mereka bagi membiayai perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan Presiden keADILan turut mencadangkan agar perbelanjaan negara dalam aspek kesihatan untuk belanjawan negara ditambah dari 9.5 peratus kepada 13 peratus.

“Di samping itu kita mencadangkang agar gaji kakitangan yang terlibat di dalam perkhidmatan kesihatan dinaikkan sebanyak 30 peratus,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap membahaskan belanjawan untuk Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan rakyat pada 20 Oktober 2003 yang lalu.

Menurut Dr. Wan Azizah, kerajaan juga harus memastikan kalangan yang tidak bekerja, lanjut usia dan miskin mendapat manfaat dari sistem percukaian kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Malah katanya, bagi menyokong cadangan penubuhan pihak berkuasa kesihatan nasional sebagai pembayar tunggal bagi membiayai perkhidmatan kesiharan, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan menambah cukai bagi syarikat dan individu yang pendapatannya melebihi jumlah tertentu.

Dalam ucapannya beliau turut menyentuh mengenai perkhidmatan kesihatan negara dengan menyatakan, sejak kemerdekaan sistem kebajikan kesihatan negara telahpun diberikan dengan baiknya kepada rakyat Malaysia.

Katanya, indikator-indikator kesihatan negara telah mencapai ke tahap yang hampir sama dengan negara-negara maju kerana kunci kepada kejayaan tersebut adalah lantaran khidmat klinik dan hospital kerajaan yang mudah dan murah untuk didapati.

“Ini dapat dicapai kerana khidmat kesihatan dianggap sebagai hak asasi asas dan tabungan awam digunakan untuk membayar khidmat kesihatan di atas prinsip kesamaan dan keadilan sosial.

“Walau bagaimanapun, kini kita sedar langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk penswastaan sistem khidmat kesihatan negara. Walaupun lima kajian utama sejak 1984 dan janji ketetapan telah dibuat di dalam rancangan Malaysia ke-7 (1996-2000) bahawa kerajaan akan melaksanakan skim pinjaman kesihatan nasional, tetapi tidak ada cadangan lanjut untuk mereformasi skim pinjaman kesihatan tersebut.

“Sebaliknya pihak individu berkepentingan, syarikat kroni yang telah menanggguk peluang dengan membentuk organisasi berasaskan keuntungan (MCO) ke tahap yang membebankan bagi perkhidmatan kesihatan yang saksama buat rakyat seluruhnya,” ujar beliau.

MCO yang bermula di Amerika Syarikat (AS) telah memintas peranan yang merupakan hak istimewa doktor dan kini telah membuat keuntungan berlipat ganda di AS  serta dikritik hebat di sana. Manakala polisi insuran kesihatan adalah berisiko kerana ia dibentuk untuk menjana keuntungan yang berlipat ganda bagi syarikat insuran.

Oleh yang demikian, tambah beliau, negara mesti mempertimbangkan suatu sistem khidmat kesihatan yang mesra dan adil buat rakyat semua.

“Kita faham bahawa kerajaan di dalam proses untuk memformulasi dan melaksanakan suatu skim pinjaman kesihatan , namun  tidak ramai orang yang membicarakannya. Ia dianggap sebagai rahsia kerajaan, dan mungkin juga dimasukkan di bawah OSA. Mengapa ia dirahsiakan?

“Kita mendesak pihak Kementerian Kesihatan untuk lebih telus dan terbuka mengenai skim ini. Adalah amat wajar untuk diadakan siri-siri pertemuan sebelum skim ini dimaklumkan kepada orang ramai. Penglibatan orang ramai dan sektor swasta mestilah diberikan keutamaan. Perlu wujud kesungguhan dan keterbukaan pihak kementerian untuk membahaskan skim ini secara terbuka,” jelasnya.