Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:12 PM

Pemimpin muda Umno tak layak memimpin

Sebelum bersara, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad menyeru pemimpin-pemimpin Barisan Nasional amnya dan Umno khususnya agar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Seruan tersebut disahut oleh Timbalannya Abdullah Badawi yang bakal menggantikan Mahathir.

Sudah pasti ramai pemimpin muda Umno tidak sabar-sabar menanti saat dan ketikanya nama mereka dicalonkan.

Namun, adakah pemimpin-pemimpin muda Umno layak untuk memimpin rakyat? Jika diperhatikan, Ketua Pemuda Hishamudin Hussein, walaupun telah menjadi menteri, masih tidak yakin berdepan dengan pemimpin muda Barisan Alternatif.

Sudah berkali-kali diatur majlis debat tentang isu semasa, ada saja alasan untuk tidak hadir.

Timbalannya pula terkenal dengan sentimen perkauman yang membuatkan bangsa bukan Melayu takut dan tidak selesa.

Ketua Puteri Umno Azalina Othman pula tidak banyak beza dari segi kemampuan kerana terlalu dikuasai emosi.

Lihat saja semasa berlaku kebakaran di dewan besar Universiti Malaya. Azalina terus menuduh pelajar yang tidak menyokong Umno bertanggungjawab ke atas insiden tersebut dan mendesak naib canselor meletak jawatan kerana tidak membendung kegiatan pelajar-pelajar tersebut.

Ternyata tuduhan dan dakwaan Azalina jauh tersasar apabila pihak bomba mengesahkan kejadian kebakaran itu berpunca dari litar pintas. 

Barisan pimpinan Puteri yang lain pula hanya harapkan rupa saja.  Menurut seorang wartawan tempatan, sepanjang pengalamannya menghadiri sidang media, ramai pemimpin muda Barisan Nasional khususnya Umno, tersekat-sekat untuk menjawab soalan dalam bidang yang mereka ceburi apatah lagi perkara-perkara yang berkaitan isu semasa dan isu nasional.

Ada pemimpin yang seolah-olah takut dengan media dan tidak kurang yang ‘terpusing-pusing’ mencari rakan untuk menjawab soalan yang mudah.

Ada juga yang mengeluarkan kata-kata retorik tanpa membuat kajian terlebih dahulu. Jadilah pemimpin muda ‘tong kosong’ yang syok sendiri, bising saja lebih tetapi kosong dari segi hujah dan pemikiran.

Pemimpin muda daripada Barisan Alternatif, walaupun tiada peluang mendapat pendedahan media, mereka terus mendapat perhatian jika berhujah dalam majlis-majlis penerangan dan ceramah-ceramah. Cabaran yang banyak dilalui membuatkan pemimpin BA sentiasa memperbaiki diri dan bersiap sedia dalam apa jua keadaan.