Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:14 PM

Gangsterisme: Kerajaan perlu jujur lihat kelemahan sistem pendidikan

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia digesa agar bersifat jujur dalam melihat kelemahan sistem pendidikan hari ini yang menyaksikan pelbagai masalah gangsterisme berlaku sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Gerakan Rakyat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sistem pendidikan yang sedia ada di negara ini tidak memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah kepada pelajar-pelajar.

“Kerajaan jangan cuba melindungi kelemahan yang terdapat dalam sistem pendidikan hari ini, tetapi perlu membuat semakan semula secara kritikal dari sudut lingkungan sekolah yang melihat kepada hubungan antara pelajar dengan pelajar, dan pelajar dengan guru,” tegas Azmi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian gangsterisme yang semakin berleluasa hingga menyebabkan kematian dua orang pelajar, baru-baru ini.

Pada 9 Oktober lalu, seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Temerloh, Norhaslan Hashim meninggal dunia setelah mengalami kecederaan di hati dan limpa akibat dipukul rakan seasramanya.

Manakala di Setiu, seorang pelajar tingkatan empat, Che Mohd Azuan Mohamad dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim juga meninggal dunia akibat ditikam seorang pelajar tingkatan lima dalam satu pergaduhan di dalam kawasan sekolah berkenaan, 16 Oktober lalu.

Menurut Azmi lagi, sistem pendidikan hari ini nampak ‘tempang’ apabila ia lebih menumpukan aspek kecemerlangan semata-mata hingga meminggirkan aspek keagamaan dan kerohanian.

Dalam perkembangan sama, Azmi mengatakan bahawa kepincangan sistem pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan yang meminggirkan faktor keagamaan menyumbang kepada ‘trend’ ibu bapa dahulu dan sekarang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama atau sekolah agama rakyat (SAR).

“Ibu bapa menjadi lebih cenderung untuk menghantar anak-anak ke sekolah agama apabila melihat pendidikan agama tidak diterapkan secara mendalam di sekolah-sekolah kebangsaan,” tambah Azmi lagi.

Katanya, situasi yang berlaku seperti di Temerloh dan Setiu itu merupakan jawapan kepada tuduhan-tuduhan pemimpin kerajaan yang mengatakan bahawa SAR merupakan sarang pengganas.

“Sedangkan, setakat ini, kes gangsterisme melibatkan pembunuhan ini hanya berlaku di sekolah-sekolah beraliran kebangsaan, dan tidak di sekolah agama,” kata beliau.

Sementara itu, Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI) turut meminta kerajaan agar jujur dan telus dalam melihat sistem pendidikan hari ini.

Pengerusi MPMI, Khairul Anwar Mohd Zuki berkata, pendidikan hari ini lebih menjurus kepada kecemerlangan dan seharusnya perubahan perlu dilakukan dalam modul sukatan pendidikan hari ini.

“Penyelidikan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan sistem pendidikan mampu memberi kesan seimbang untuk jangka masa panjang,” jelas Khairul.