Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:00 PM
Enakmen
Kesalahan Jenayah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002
Tidak
sah, kata Zaid Ibrahim
Peguam
Datuk Zaid Ibrahim membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan baru-baru
ini bagi mendapatkan kebenaran mengemukakan petisyen untuk pengisytiharan
mahkamah bahawa Enakmen Kesalahan Jenayah (Hudud dan Qisas) Terengganu
2002 adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Dalam
permohonannya itu, Zaid, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan,
turut mengusulkan kepada mahkamah bahawa badan perundangan negeri
Terengganu tidak mempunyai kuasa untuk memperkenal atau meluluskan
apa-apa perundangan untuk menghukum perbuatan-perbuatan yang boleh
dihukum di bawah undang-undang persekutuan.
Beliau membuat permohonan
itu dengan alasan, mengikut Artikel 4 (4) Perlembagaan Persekutuan,
perbuatan yang hendak dikenakan hukuman mengikut enakmen tersebut,
adalah perbuatan yang boleh dihukum di bawah undang-undang persekutuan.
Maka,
katanya, negeri Terengganu tidak mempunyai kuasa perundangan untuk
membuat undang-undang sedemikian dan semua peruntukan dalam Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 adalah
tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana bertentangan dengan
Perkara 74 dan 75 Perlembagaan Persekutuan mengenai bidangkuasa
kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Di
samping itu, Zaid juga memohon apa-apa perintah lain yang difikirkan
patut dan/atau perlu oleh pihak mahkamah berhubung permohonannya
itu.
Beliau
mengemukakan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Zaid &
Co, di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Enakmen
tersebut telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu
pada 8 Julai tahun lalu, dan dilaporkan telah diperkenankan oleh
Sultan Terengganu.
Sehubungan
itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah
mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan enakmen tersebut
sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersara pada
hujung bulan Oktober.
Sebelum
ini, Zaid juga pernah mengemukakan petisyen yang sama terhadap Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan, tetapi kes itu sehingga ini
masih belum didengar oleh mahkamah.
Sementara
itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar di pejabatnya selepas menyerahkan
petisyen itu, Zaid berkata beliau mengambil tindakan tersebut kerana
kecewa dengan tindakan PAS yang berkeras mahu menguatkuasakan enakmen
tersebut walaupun ianya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Saya
kecewa dengan tindakan itu walaupun dalam laporan malaysiakini,
PAS berkata parti itu bersedia menerima keputusan Mahkamah Persekutuan
berhubung hal ini [kes Kelantan]," tambahnya.
Oleh
itu, beliau menyifatkan tindakan kerajaan PAS Terengganu telah secara
langsung mencabar Persekutuan.
Sambil
menyifatkan tindakan PAS itu sebagai sesuatu yang serius, Zaid berkata:
“Yang menjadi motif utama mereka adalah politik, untuk menggambarkan
yang mereka menjalankan undang-undang Islam, walaupun mereka tahu
cara mereka itu bertentangan dengan sistem dan perlembagaan yang
ada.
“Apa-apa
undang-undang jenayah, atas nama apa sekalipun, kalau kita benarkan
kerajaan Terengganu dan Kelantan gubal undang-undang jenayah sendiri,
negeri-negeri lain juga akan membuat tuntutan yang sama…ini bukan
yang kita setujui ketika merdeka dulu.
“Kalau
mereka (Kelantan dan Terengganu) dibenarkan (berbuat demikian),
ia akan menjadi punca kepada permasalahan undang-undang yang besar.
Jadi kita, sebagai rakyat Malaysia, mesti mengikut apa yang ada
dalam Perlembagaan Persekutuan...kalau mahu pinda, hendaklah mengikut
cara yang ada,” tambahnya.
Zaid
juga menjelaskan bahawa beliau mengemukakan permohonan mahkamah
itu atas kapasiti peribadinya dan bukannya mewakili mana-mana pihak
lain.
Ditanya
mengapa beliau seorang sahaja yang dilihat berusaha menentang usaha
kerajaan PAS melaksanakan enakmen tersebut, Zaid berkata, penentangannya
itu adalah berasaskan kepada hakikat bahawa tindakan parti itu adalah
bertentangan dengan perlembagaan negara. – Ehsan Malaysiakini
|