Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:02 PM

Umno parti yang ‘tidak kukuh’ - Hadi

Menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hanya dua faktor yang meneruskan kuasa Umno iaitu manipulasi media dan amalan rasuah.

Abdul Hadi turut menafikan bahawa Umno terlalu kukuh untuk dikalahkan oleh PAS.

Kata beliau, musuhnya [Umno] tidak akan berjaya sekiranya pengundi dapat menilai PAS dengan betul semasa kempen pilihanraya.

“Kami tidak menganggap Umno sebuah parti yang kukuh. Ia terpaksa melakukan amalan salah untuk hidup dalam pilihanraya. Jika berjuang atas dasar sahaja, ia akan gagal sama sekali,” katanya sewaktu ditemubual oleh Malaysiakini baru-baru ini.

Beliau mendakwa Umno dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) berjaya menipu rakyat, terutamanya mereka yang miskin dan tidak berpelajaran, untuk mengundi mereka.

“Umno telah menyalahgunakan media untuk menakut-nakutkan orang dengan pembohongan mengenai parti pembangkang.

“Ia telah menggunakan sentimen bangsa untuk menindas yang bukan-Melayu.  Sebagai ‘caretaker government’ semasa pilihanraya, ia tidak berfikir dua kali untuk menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingannya sendiri,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan BN telah menguatkuasakan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), yang menghukum sesiapa yang berani mendedahkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Ia [BN] telah menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti untuk menghalang para akademik dan pelajar untuk menyatakan pandangan mereka”.

Bagaimanapun, Hadi berkata, taktik kotor hanya akan memancing undi-undi dari golongan ‘yang tidak berpengetahuan dan yang duduk atas pagar’.

“Dari segi sokongan dan tenaga kerja pilihanraya, kami lebih kuat dari Umno.

“Mereka perlu bergantung pada orang yang duduk atas pagar dan yang kurang berpelajaran, mereka memancing orang-orang seperti ini kerana senang untuk membeli undi mereka,” katanya.

Tidak seperti Umno, Hadi berkata, penyokong-penyokong PAS kebanyakannya datang dari golongan yang berpelajaran dan mempunyai latarbelakang ekonomi yang kukuh.

“Mereka menyokong kami kerana mereka mempunyai maklumat yang baik. Latarbelakang mereka membolehkan mereka mudah mendapat matlumat dari Internet.

“Mereka faham akan makna kerajaan yang baik dan tahu apa yang perlu diperolehi dari sebuah kerajaan yang demokratik,” katanya.