Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:03 PM
Hasil
penyelidikan Kementerian Pendidikan dipertikai
Akademi
Sains Islam Malaysia (Asasi) mempertikaikan hasil kajian yang dijalankan
oleh Kementerian Pendidikan yang mendapati penggunaan bahasa Inggeris
telah berjaya meningkatkan prestasi pelajar dalam matapelajaran
Sains dan Matematik Sekolah .
Setiausaha
agungnya Prof Dr Shahrir Mohamad Zain berkata, hasil kajian itu
tidak bernilai sama sekali kerana mengandungi "bohongan statistik"
Beliau
yang juga profesor matematik fizik di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) berkata, ada sekurang-kurangnya empat sebab mengapa hasil
penyelidikan Kementerian Pendidikan boleh dipertikaikan.
Pertama,
katanya, penyelidikan itu tidak objektif kerana pengkaji yang ditugaskan
menjalankannya sudah tentu tidak memberi hasil kajian sebaliknya
kerana penajanya (kerajaan) telahpun membuat keputusan untuk melaksanakan
dasar tersebut.
"Kedua,
kajian ini bertentangan dengan kaedah sains (kaedah statistik) kerana
tiada kawalan yang meyakinkan, iaitu tiadanya sekolah yang menjalankan
kajian sains dan matematik dalam bahasa Melayu dalam persekitaran
yang sama (guru yang sama berkebolehan, satu kumpulan pelajar yang
boleh dibandingkan kemampuan mereka dengan kumpulan sasaran, alat-alat
yang sama dan sebagainya).
"Ketiganya,
jumlah ujikaji atau cubaan yang tidak mencukupi, iaitu hanya satu-dua
kali ujian/penilaian sahaja.
Andaian
palsu
“Keempat,
hasil kajian ini bertentangan dengan intuisi atau dengan deria biasa
pun, serta dengan kebanyakan hasil kajian yang dibuat di merata
dunia sejak tahun 1970-an lagi sehingga kita sewajarnyalah mempersoalkannya,”
katanya dalam satu kenyataan 22 Oktober 2003 lalu, yang turut ditandatangani
oleh Profesor Kejuruteraan Kimia UKM, Prof Dr Ir Wan Ramli Wan Daud.
“Yang
tidak kurang menjengkelkan ialah reaksi akhbar dan Perdana Menteri
(Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) terhadap hasil penyelidikan itu
sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar perdana pada 8 September
2003 (Utusan Malaysia dan Berita Harian).”
Katanya,
perdana menteri dilaporkan seolah-olah ‘memulangkan paku buah keras’
kepada penentang dasar tersebut sambil memberi ‘tambahan nilai’
terhadap hasil penyelidikan itu dengan berkata ‘bukankah lebih baik
lagi jika kita belajar ilmu dalam bahasa asalnya (maksudnya Inggeris).’
Tambahnya
lagi, perdana menteri kemudiannya dilaporkan merasionalkan lagi
hasil kajian itu dengan berkata ‘jika kita terus menterjemah, berfikir
dalam dua bahasa, maka kita akan dapati kemampuan kita untuk menyerap
ilmu kurang sedikit.’
Menurut
Prof Dr Shahrir lagi, perdana menteri juga berkata mempelajari (Sains
dan Matematik) dalam bahasa Inggeris juga mengurangkan kekeliruan,
contohnya ‘potassium’ yang diterjemahkan ‘kalium’ dalam bahasa Melayu.
“Andaian
bahawa bahasa asal ilmu ialah bahasa Inggeris adalah andaian yang
palsu yang datang dari jiwa-jiwa hamba yang tersekap mindanya, atau
jiwa-jiwa yang tahu sejarah sebenar sains dan matematik tetapi sengaja
mahu membuat fitnah demi kepentingannya sahaja," tambahnya.
Terjemahan
Prof
Dr Shahrir berkata, bahasa asal ilmu sains dan matematik sekolah
ialah bahasa Yunani, Arab, Latin dan Perancis, manakala Einstein
yang disinonimkan dengan teori kenisbian hanya menggunakan bahasa
Jerman.
“Sarjana
Inggeris sendiripun berkarya sains dan matematik dalam bahasa Latin
dan Perancis hingga abad ke-18. Sains dan matematik peringkat universiti
sedikit sahaja asalnya dalam bahasa Inggeris. Ambil sahaja fizik
universiti di mana fizik klasik asalnya hampir semuanya dalam bahasa
Yunani, Arab, Latin, Perancis atau Jerman.
“Satu
daripada unsur fizik klasik yang besar memang selalu disebut hasil
sumbangan ahli sains agung Inggeris, Newton, tetapi itupun asalnya
dalam bahasa Latin kerana beliau dan ahli sains Eropah pada zaman
itu masih mengguna Latin sebagai bahasa ilmu,” katanya
Menurutnya
lagi, unsur fizik klasik yang asalnya dalam bahasa Inggeris hanyalah
fizik elektromagnet klasik kerana jaguhnya, Faraday dan Maxwell
memang (orang) Inggeris yang berkarya dalam bahasa Inggeris pada
abad ke-19, iaitu abad (orang) Inggeris mulai sedar perlunya mereka
menggunakan bahasanya sendiri dalam Sains dan Matematik.
"Teori-teori
besar dalam Matematik seperti teori set, teori fungsi, analisis,
analisis fungsian, teori pengoperasi topologi dan homotopi, semuanya
bukan ciptaan/binaan/karya dalam bahasa Inggeris tetapi dalam bahasa
Jerman, Perancis, Russia, Belanda dan Poland. Sebenarnya, ilmu sains
dan matematik sehingga peringkat universiti yang kita cuba kuasai
itu semuanya ilmu terjemahan kepada bahasa Inggeris sahaja!,"
tambahnya.
Prof
Dr Shahrir juga menyifatkan sebagai "sesuatu yang sengaja diadakan"
andaian bahawa ketika Sains dan Matematik Sekolah diajar dalam bahasa
Melayu, pelajar dan gurunya asyik menterjemah, berfikir dalam dua
bahasa Inggeris-Melayu sehingga membantutkan pemahaman ilmu serta
mengurangkan kemampuan menyerap ilmu itu.
Bahasa
ibunda
Malah,
katanya, Sains dan Matematik Sekolah telah begitu lama diajar dalam
bahasa Melayu sehingga hampir semua guru begitu selesa mengajarnya
dalam bahasa berkenaan sahaja.
Katanya,
kemungkinan apa yang berlaku ialah apabila para guru dipaksa mengajar
dalam bahasa Inggeris dan pelajar pula amat sedikit menghayati bahasa
itu dalam kehidupan sehingga segala-galanya diproses dalam bahasa
Melayu atau bahasa ibunda lain terlebih dahulu, sebelum diluahkan
dalam bahasa Inggeris.
Menurut
beliau lagi, kekeliruan juga tidak mungkin berlaku dalam soal terjemahan
istilah kerana, pada amnya guru, apatah lagi pelajar, menerima sahaja
segala macam istilah dalam buku teks.
“Malah
sains dalam bahasa Inggeris pun banyak yang salah diterjemah (dari
Arab, Latin, Perancis dan Jerman) tetapi tidak pernah menjadi masalah
kepada pelajar dan guru Inggeris. Umpamanya, istilah dalam trigonometri
(daripada bahasa Arab) banyak yang disalah terjemah oleh sarjananya
dahulu tetapi dipakai hingga sekarang, tanpa masalah,” tambahnya.
Oleh
itu, katanya, Asasi tetap berpendirian bahawa dasar menjadikan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik
Sekolah adalah suatu kesilapan dan tragedi besar kepada rakyat Malaysia.
"Kami
kira umat Malaysia kini dan akan datang, akan bertambah sanjungan
dan penghormatannya lagi kepada kerajaan kini jika kerajaan tidak
teragak-agak mengaku kesilapan ini dan memperbaiki keadaan dengan
seberapa segeranya," tambahnya.
|