Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:06 PM

Penangguhan kes rayuan Anwar Ibrahim

keADILan akan jumpa Ketua Hakim Negara

Berikutan permohonan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim untuk mempercepatkan pendengaran rayuan-rayuannya, Parti keADILan tergerak mengatur satu perjumpaan dengan Ketua Hakim Negara.

Naib Presiden keADILan, Tian Chua berkata keputusan telah dicapai semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 19 Oktober 2003 lalu apabila pemimpin parti membincangkan perkembangan beberapa kes rayuan Anwar yang masih tertangguh.

“Delegasi pimpinan tertinggi daripada parti mahu berjumpa dengan Ketua Hakim Negara, untuk membincangkan kes Anwar serta kebimbangan kita terhadap kewibawaan institusi kehakiman.

 “Kami rasa perlu ada perubahan dalam institusi kehakiman untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadapnya,” katanya.

Tian berkata, permohonan parti akan dibuat kepada pejabat Ketua Hakim Negara secepat mungkin.

Kecewa dengan penangguhan yang lama untuk mendengar kesnya, Anwar telah menulis surat rayuan peribadi kepada Ahmad Fairuz pada 11 Oktober 2003 lalu, meminta Ketua Hakim Negara itu mengkaji perkara tersebut.

Dalam surat tersebut, Anwar, mengulangi bahawa beliau tidak bersalah, sebaliknya menjadi mangsa konspirasi politik serta dia tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Tambahnya, peguam beliau telah menggunakan segala saluran untuk mempercepatkan pendengaran kesnya tetapi tidak berjaya.

Sehingga kini, Anwar masih menunggu empat permohonan, termasuk rayuan terhadap hukuman ke atasnya kerana ‘rasuah’ dan ‘liwat’ serta permohonan untuk ikat jamin sehingga diputuskan rayuan-rayuannya.

Kini, Anwar sedang menjalani tahun pertama daripada hukuman sembilan tahun penjara bagi kes ‘liwat’.

Sementara itu, apabila disoal jika ada kemungkinan Ketua Hakim Negara bersetuju untuk berjumpa, Tian berkata, Ahmad Fairuz mempunyai tanggungjawab untuk berbuat demikian sebagai kakitangan kerajaan.

“Kita membawa perkara serius yang membimbangkan. Kita telah berusaha berkempen di peringkat antarabangsa dan dalam negara untuk menyedarkan hak rakyat untuk didengar.

Tian berkata masa untuk rayuan juga penting kerana ia berlaku semasa negara akan mendapat perdana menteri baru berikutan bersaranya Dr. Mahathir Mohamad pada akhir bulan Oktober.

Beliau berkata perdana menteri yang akan datang, Abdullah Ahmad Badawi, mesti bertanggungjawab memastikan institusi kehakiman bebas dan adil.

Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 8 Disember 2003 ini bagi mendengar rayuan ikat jamin Anwar.