Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:07 PM

Kerana Dr M, rakyat tanggung hutang RM146 bilion

Akibat keghairahan untuk mengejar nama dan dicatat sebagai jasa-jasa sebelum berpencen, kerajaan Malaysia sewaktu kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad terpaksa berhutang dengan Bank Dunia sehingga mencapai RM146 bilion.

Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Norhashimah Deraman berkata, segala bebanan hutang itu akan ditanggung oleh 24 juta rakyat di negara ini.

Katanya, hutang tersebut diguna untuk melaksanakan agenda pembangunan mewah dan menampung semula wang yang lesap dari beberapa agensi seperti Tabung Haji, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Mara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Adakah tuan-tuan ingin terus melihat keadaan ini dibiarkan berterusan dilakukan pemimpin yang ada sekarang," katanya yang juga Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Pusat di satu majlis di DUN Chetok, Pasir Mas baru-baru ini.

Menurutnya, bermegah dengan projek adalah antara jasa-jasa yang sukar dilupakan rakyat negara ini terhadap Dr Mahathir.

Ini kerana katanya, bebanan hutang tersebut akan terus ditanggung sehingga anak cucu akibat silap pengurusan oleh bekas Perdana Menteri.

Beliau juga berkata, Dr Mahathir amat berharap dia dikenali sebagai seorang pejuang menegak negara Islam sehingga sanggup mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam pada suatu ketika dahulu.

"Bagi memaksa rakyat menerima segala ideanya mengenai Islam, pembantu-pembantunya menganjurkan Multaqa Ulama dengan menjemput ulama-ulama dari negara Arab dan meminta mereka memberitahu Malaysia benar-benar negara Islam,” katanya.