Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 2:10 PM

Peruntukan RM500 ribu untuk Ahli Parlimen

Umno rampas wang hak pembangkang

Ahli Parlimen Tanah Merah, Saupi Daud (keADILan) mendedahkan adanya kebenaran yang diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menggunakan 10 peratus daripada RM500 ribu  peruntukan Ahli Parlimen tanpa perlu mengemukakan resit atau bil.

Katanya, arahan itu dibuat dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh Ahli-Ahli Parlimen BN yang membenarkan 10 peratus daripada peruntukan Ahli Parlimen digunakan sebagai wang poket.

“Saya hendak menarik perhatian kepada apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang (Datuk Noh Omar, Setiausaha Parlimen di JPM) mengenai peruntukan Ahli Parlimen.

“Bila sebut peruntukan Ahli Parlimen termasuklah peruntukan RM500 ribu setiap tahun, saya ingin bertanya kepada kerajaan ke manakah peruntukan RM500 ribu untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang itu pergi,” soalnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengambil bahagian membahaskan mengenai tuntutan elaun oleh Ahli-Ahli Parlimen yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Noh Omar mendakwa terdapat 14 Ahli Parlimen membuat tuntutan melebihi RM10,000 sebulan dan menyifatkna ia terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Bagaimanapun isu tersebut telah dijelaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen yang terbabit bahawa tuntutan tersebut adalah tuntutan biasa kerana menghadiri mesyuarat penuh Dewan Rakyat dalam bulan Oktober 2002 dan bukan tuntutan perjalanan seperti yang digembar-gemburkan oleh Noh.

Menurut Saupi, berdasarkan kepada surat yang dikeluarkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen, jelas disebut peruntukan untuk Ahli Parlimen boleh digunakan 10 peratus daripadanya sebagai wang poket.

“Saya pernah membaca surat itu mengatakan 10 peratus ini adalah kegunaan Ahli-Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional untuk memberi derma, ziarah kematian dan sebagainya yang tidak melibatkan resit. Ini pentakrifan yang dibuat oleh Barisan Nasional,” ujar beliau.

Malah lebih parah di Kelantan kata beliau, peruntukan RM500 ribu tersebut yang sepatutnya diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang telah diberikan kepada Ketua Umno Bahagian.

Peruntukan tersebut tambah beliau, bukan sahaja tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang tetapi tidak juga kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Terengganu dan Kelantan.

“Sebab itu ramai berebut nak jadi Ketua Umno Bahagian di Kelantan dan Terengganu kerana ada peruntukan RM500 ribu.

“Sehubungan itu semua pihak termasuk media jangan tuduh Ahli Parlimen pembangkang tidak mampu melaksanakan pembangunan tetapi harus bertanya ke mana wang peruntukan RM500 ribu itu pergi dan apa yang telah dilakukan oleh Ketua Umno Bahagian dengan peruntukan berkenaan,” jelasnya.