Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:53 PM

Kementerian Pertahanan serah tanah kerajaan kepada pemaju

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan kerajaan menghadapi risiko kerugian sebanyak RM314.3 juta ekoran tindakan Kementerian Pertahanan menyerahkan tanah milik kerajaan  persekutuan kepada syarikat pemaju yang gagal menyiapkan kontrak pembinaan yang diberikan.

Berdasarkan laporan berkenaan, tanah-tanah terbabit adalah Lot 81 dan Lot 108, Jalan Ampang, Kuala Lumpur  serta Lot 1876 Mukim Plentong dan Lot 139 Mukim Tebrau di Johor.

Penyerahan empat bidang tanah tersebut oleh Kementerian Pertahanan kepada syarikat pemaju dibuat sebagai bayaran atau timbal balas tanah (land swap) terhadap projek yang sepatutnya disiapkan oleh pemaju terbabit.

Kaedah timbal balas tanah tersebut dibuat oleh Kementerian Pertahanan bagi membina Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah di Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur dan pembinaan Kompleks 7 Briged, Kem Skudai Johor Bharu.

Menurut laporan berkenaan, bagi maksud pembinaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah di Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur, Kementerian Pertahanan telah menyerahkan tanah Lot  81 dan Lot 108, Jalan Ampang yang dinilai RM58.3 juta.

Manakala bagi pembinaan Kompleks 7 Briged, Kem Skudai Johor Bharu, Kementerian Pertahanan menyerahkan tanah di  Lot 1876 Mukim Plentong dan Lot 139 Mukim Tebrau di Johor yang dinilai RM256 juta.

Bagaimanapun laporan audit itu menyebutkan, hasil siasatan yang dibuat kerja-kerja pembinaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah di Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat pada  Januari 2002 hanyalah 19.7 peratus siap yang dianggarkan bernilai RM19.16 juta.

Ini bermakna, berdasarkan laporan audit tersebut, pihak pemaju yang diberikan tanah tersebut untuk projek berkenaan telah memperolehi pinjaman sebanyak RM84 juta dengan mencagarkan tanah kerajaan tetapi hanya menyiapkan 19.7 peratus kerja dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagi pembinaan  Kompleks 7 Briged, Kem Skudai Johor Bharu, laporan Ketua Audit Negara menyatakan, sehingga akhir 2002, kerja-kerja pembinaan hanya siap pada tahap 18.3 peratus atau dianggarkan bernilai RM40.42 juta.

Dengan itu, ini bermakna syarikat berkenaan memperolehi pinjaman sebanyak RM465 juta daripada Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dengan mencagarkan dua keping tanah kerajaan  di mukim Plentong dan mukim Tebrau tetapi hanya menyiapkan kerja-kerja yang dianggar bernilai RM40.42 juta.

Di samping itu Ketua Audit Negara turut membangkitkan persoalan bagaimana kontrak pembinaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah di Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur diberikan kepada syarikat yang hanya mempunyai modal berbayar RM3 juta.

Berdasarkan kedaaan tersebut, Jabatan Audit meragui bahawa syarikat yang dipilih itu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh sepertimana yang diperakukan oleh Jawatankuasa Penswastaan.

Persoalannya sekarang, siapakah di belakang syarikat-syarikat yang memperolehi kontrak pembinaan tersebut.