Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:55 PM

Hasil penjualan aset kerajaan

Menteri Kewangan Diperbadankan salah guna wang

Menteri Kewangan Diperbadankan  (MKD) sebuah badan korporat yang ditubuhkan di bawah Akta Menteri Kewangan Diperbadankan 1957 yang berperanan menjalankan perniagaan kerajaan dilaporkan menyimpan RM800 juta wang kerajaan di dalam akaun syarikat baru yang ditubuhkan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, mengikut Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan, ‘segala hasil wang bagaimanapun didapatkan atau diterima oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah di bayar masuk ke Kumpulan Wang Persekutuan Disatukan’.

Namun laporan itu mendapati, hasil penjualan pegangan ekuiti kerajaan di dalam Pos Malaysia Berhad yang berjumlah RM800 juta telah disimpan di luar Kumpulan Wang Persekutuan Disatukan.

Sebaliknya MKD yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menyimpan wang berkenaan ke dalam sebuah syarikat yang ditubuhkan melalui MKD dengan modal berbayar RM2 iaitu Piramid Pertama Sdn Bhd.

Ini menjadikan syarikat RM2 berkenaan dalam sekelip mata mempunyai tunai di tangan sebanyak RM800 juta.

Lebih teruk lagi ialah apabila Menteri Kewangan ketika itu, Dr. Mahathir, telah menggunakan wang perolehan hasil penjualan ekuiti Pos Malaysia Berhad tersebut membeli ekuiti di dua syarikat yang lain.

“Pada pandangan Audit, pembelian ini sepatutnya dibiayai daripada peruntukan yang telah diluluskan oleh Parlimen dan bukan daripada hasil jualan ekuiti sebagaimana yang diamalkan,” demikian menurut laporan Ketua Audit Negara.

Persoalan yang timbul kini ialah bagaimana Menteri Kewangan melalui MKD dibenarkan menggunakan wang penjualan ekuiti kerajaan bagi membeli ekuiti dalam syarikat lain.

Di samping itu bagaimana Menteri Kewangan yang dipegang oleh Dr. Mahathir boleh melanggar Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan yang telah menetapkan kaedah simpanan wang kerajaan.

Di samping isu berkenaan, laporan tersebut turut mendedahkan penjualan ekuiti kerajaan sebanyak 87.99 unit saham di dalam UDA Holdings Sdn Bhd telah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM118 juta ekoran kegagalan syarikat yang membeli UDA masih gagal membayar tunggakan berkenaan.

Menurut laporan itu, syarikat yang mengambil-alih UDA Holdings pada harga RM131.99 juta  sepatutnya membuat pembayaran sebanyak 10 peratus daripada harga jualan saham pada tarikh perjanjian jual beli saham ditandatangani dan menyelesaikan bakinya melalui tiga kali ansuran dalam tempoh tiga tahun iaitu RM39.60 juta bagi setiap pembayaran.

Bagaimanapun laporan itu mendapati, syarikat tersebut hanya menjelaskan kepada kerajaan sejumlah RM13.20 juta iaitu bayaran 10 peratus manakala bakinya RM118.80 juta masih belum dijelaskan sungguhpun tempoh tiga tahun bagi menjelaskan baki tersebut sudahpun luput.

Perkembangan ini sudah tentu menuntut kerajaan untuk menjelaskan kedudukan sebenar penjualan saham UDA Holdings itu dan tindakan segera harus diambil bagi mengelak negara mengalami kerugian angkara pemimpin yang bertanggungjawab dalam isu penjualan berkenaan.