Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:56 PM
KWSP
rugi sebab kelemahan
Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menanggung kerugian RM675.87 juta ekoran
kegagalan badan itu membangunkan hartanah di 440 bidang tanah seluas
851.1 hektar.
Di
samping kerugian berkenaan, KWSP pada masa yang sama turut membayar
kos pegangan hartanah yang tinggi di samping beban cukai tanah dan
taksiran.
Menurut
Laporan Ketua Audit Negara 2002, disamping kerugian dalam bentuk
pelaburan tersebut, KWSP juga dikenalpasti membeli tanah sama ada
melalui tawaran awam mahupun melalui pelunasan hutang tidak melaksanakan
kajian terperinci sebelum membuat sesuatu pembelian.
Malah,
KWSP juga masih gagal memastikan tanah yang dimiliki oleh badan
itu mempunyai suratan hak milik kerana daripada 419 suratan hak
milik tanah yang didaftarkan atas nama KWSP, 416 suratan hak milik
masih lagi dipegang oleh syarikat pemaju.
“KWSP
hendaklah memastikan tanah yang dibeli bebas dari sebarang ‘encumbrances’
(tanggungan) termasuk setinggan bagi memudahkan pembangunan dan
mengelakkan dari menghadapi berbagai masalah.
“Selain
dari itu,kajian pulangan atas pelaburan, risiko dan keadaan pasaran
dan ekonomi hendaklah dibuat sebelum Panel Pelaburan meluluskan
perolehan hartanah dan bukan selepas kelulusan Panel Pelaburan,”
demikian menurut laporan tersebut.
Laporan
Ketua Audit tersebut yang dikemukakan kepada Parlimen baru-baru
ini antara lain turut memfokus pengauditan terhadap KWSP.
Laporan
yang bertajuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja – Pengurusan Tanah
memperincikan perolehan tanah oleh KWSP melalui pelbagai kaedah
sama ada pembelian melalui tawaran awam atau pun melalui perlunasan
hutang oleh agensi kerajaan dan syarikat swasta.
Melalui
laporan berkenaan didapati KWSP terpaksa menanggung beban sama ada
dalam bentuk tanah yang tidak dapat diteruskan pembangunan ataupun
masih belum dibangunkan.
Di
samping itu, laporan berkenaan turut memuatkan tanah-tanah yang
dipegang oleh KWSP masih didiami oleh setinggan dan juga ada yang
dipajak tetapi hasilnya tidak masuk ke dalam akaun KWSP.
Antara
contoh yang diberikan di dalam laporan berkenaan ialah tiga bidang
tanah di Mukim Pulai, Johor yang telah dipajak kepada pengusaha
ladang kelapa sawit dan ubi kayu.
Namun
sehingga laporan berkenaan disiapkan, perjanjian pajakan di antara
KWSP dan syarikat tersebut masih belum ditandatangani tetapi pemajak
telahpun menjalankan aktiviti perladangan di tanah tersebut.
Berdasarkan
laporan tersebut sehingga 31 Disember 2002, keseluruhan pajakan
ketiga-tiga keping tanah tersebut mencapai RM216 ribu.
Manakala
di Mukim Tebrau, dua keeping tanah milik KWSP dipajak untuk ladang
kelapa sawit tetapi perjanjian pajakan masih belum ditandatangani
dan sehingga 31 Disember 2002, tunggakkan pajakan telah mencapai
RM170 ribu.
Berdasarkan
senario tersebut, Jabatan Audit dalam laporannya menyatakan KWSP
bukan sahaja menangung kos pegangan yang tinggi ekoran pengurusan
tanah yang lemah tetapi pada masa yang sama kehilangan sumber pendapatan
termasuk pajakan tanah kerana kelemahan pengurusan badan berkenaan.
Di
samping isu pajakan berkenaan, laporan tersebut menjelaskan bagaimana
Panel Pelaburan KWSP bersetuju dengan harga tanah yang lebih tinggi
berbanding dengan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan
Perkhidmatan Harta (JPPH).
Sebagai
contoh sebuah agensi kerajaan Negeri Pahang menawarkan sebidang
tanah di Sektor 2 Bandar Indera Mahkota, Mukim Kuala Kuantan Pahang
sebagai penyelesaian baki pinjaman dan faedah berjumlah RM8.57 juta.
Menurut
laporan JPPH bertarikh Mei 1999, harga nilaian yang berpatutan dan
munasabah bagi tanah berkenaan ialah RM8.44 juta tetapi Panel Pelaburan
KWSP bersetuju dengan tawaran harga sebanyak RM9.45 juta iaitu kira-kira
RM 1 juta lebih tinggi.
Ini
bermakna bukan sahaja hutang KWSP dilunaskan melalui tanah tetapi
KWSP terpaksa membayar RM837,349 kepada agensi kerajaan negeri Pahang
tersebut kerana harga tanah lebih tinggi berbanding pinjaman mereka
kepada KWSP.
Berdasarkan
contoh tersebut maka tidak hairanlah KWSP tidak dapat menjamin pulangan
yang baik kepada pencarum kerana kelemahan pengurusan.
|